Sunday, May 25, 2008

PAS ketiadaan 2 tokoh utama di Parlimen

PAS ketiadaan 2 tokoh utama di Parlimen

Dr Rosli Allani Abdul Kadir

Fri | May 23, 08 | 7:57:13 pm MYT

Pencapaian pilihan raya umum ke-12 merupakan satu kejutan kepada banyak pihak. Bagi parti PAS, ia sudah pasti boleh dianggap pencapaian terbaik sepanjang penglibatan dalam kerja pilihanraya. Begitu juga dengan DAP yang dikira antara parti yang lebih tua dan berumur di dalam Pakatan Rakyat.

Namun pengalaman yang banyak di pihak parti PAS tidak dapat membaca rentak dan gelodak jiwa rakyat. Dengan hanya mensasarkan beberapa negeri seperti kebiasaannya dan berkubu di Kelantan dengan serangan yang bertubi tubi daripada pihak lawan, mereka tidak pernah menyangka untuk mempunyai tiga Menteri Besar!

Dan dengan target menafikan majoriti dua pertiga kerusi Barisan Nasional mereka tidak pernah terfikir betapa harapan rakyat itu mengatasi kebencian kepada keangkuhan dan permainan politik rakus yang diamalkan oleh kalangan pemimpin parti memerintah itu. Kemenangan di luar jangkaan itu membuat kepimpinan dan ahli ahli kita tergamam untuk seketika. Lantas bersyukur sebanyak banyaknya!

Maka kepimpinan tertinggi termasuk Naib-Naib Presiden, iaitu Dato' Husam Musa tidak bertanding kerusi parlimen, manakala Mohamad Sabu pula bertanding di parlimen Kuala Terengganu yang walaupun cukup berpotensi untuk menang, dikalahkan oleh perancangan baik oleh pihak Barisan Nasional Terengganu.

Dua tokoh yang cukup dikenali di peringkat parlimen ini sangat dihormati dan digeruni oleh kawan dan lawan. Ketiadaan mereka dirasakan di saat parlimen dikatakan bergegar dengan suara suara baru yang cukup bernas dan berfakta dari ahli ahli parlimen Pakatan Rakyat.

Pun begitu dengan sandaran 22 ahli parlimen PAS, strategi dan kekuatan parti tetap menjadi satu aset yang cukup meyakinkan. Menilai prestasi ahli-ahli parlimen PAS yang ada sekarang ini (walaupun mungkin dikira terlalu awal) kita dapat memberikan kredit kepada semua daripada mereka. PAS merupakan antara parti yang semua ahli parlimennya menghantar soalan ketika parlimen mula bersidang.

Dengan Presiden PAS sendiri merupakan di antara ahli parlimen yang cukup aktif dalam menyertai perbahasan di samping membawa usul usul yang dilihat cukup relevan oleh pelbagai pihak termasuk NGO NGO, PAS berjaya membuktikan kemampuan mereka menjangkaui politik kepartian yang sengaja dijadikan isu oleh sesetengah pihak.

Tentunya dengan dasar dan prinsip perjuangan yang jelas itu, PAS boleh meneroka ruang yang lebih luas untuk membayar balik kepercayaan yang diberi, sekaligus kemampuan untuk mentadbir dengan polisi dan pendekatan yang cukup sesuai dan praktikal.

Walaupun dua tokoh utama PAS itu tidak dapat bersuara di parlimen, kita yakin perjuangan dan idea mereka dapat diteruskan oleh ahli ahli parlimen PAS yang ada sekarang.

Dalam apa jua hal, bukanlah tempat yang membezakan validity sesuatu pandangan dan credibility seseorang itu, malah ianya banyak bergantung kepada ketajaman idea dan relevannya idea itu pada sesuatu masa.

Siapa jua yang merasa terpanggil dan bertanggungjawab untuk membela nasib rakyat yang tertindas dan tidak terbela, tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik mereka, pasti akan disanjung oleh masayarakat. Teras keadilan dan kesejagatan yang dipegang itu mengungguli segala teori dan praktikal yang disandarkan kepada faktor dan sebab musabbab semata mata.

Dengan kejujuran yang sejujurnya, pasti nilai dan aset yang menyumbang kepada kekuatan parti tadi diberikan pengiktirafan yang selayaknya demi kelangsungan perjuangan ini.

Moga kekuatan yang dijanakan oleh kepimpinan PAS dan ahlinya membawa kesatuan jiwa di kalangan segenap lapisan masyarakat yang mendambakan kedamaian hakiki.

No comments: