Sunday, May 25, 2008

Program perubatan MSU lahirkan pakar

Program perubatan MSU lahirkan pakar

SHAH ALAM 17 Mei - Management & Science University (MSU) yakin International Medical School (IMS) yang ditubuhkan di Bangalore, India mampu melahirkan ramai pakar perubatan dan membantu kerajaan mencapai matlamat meningkatkan modal insan dalam bidang berkenaan.

IMS ketika ini menawarkan program Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) adalah kampus pesisir pertama ditubuhkan universiti berkenaan di luar negara.

Dekan IMS, Datuk Dr. Abdul Ghani Mohammed Din, berkata, penubuhan sekolah itu selaras dengan usaha MSU untuk mengantarabangsakan pendidikannya pada peringkat dunia.

Katanya, IMS ditubuhkan hasil kerjasama MSU dengan MS Ramaiah Medical College, sebuah kolej perubatan yang tersohor di selatan India serta mempunyai kepakaran lebih 20 tahun dalam bidang pendidikan perubatan.

Malah, katanya, MS Ramaiah Medical College adalah kolej perubatan pertama di India dan antara sebilangan kecil kolej seumpamanya di dunia yang mendapat pensijilan ISO 9002.

Selain itu, kata Dr. Abdul Ghani, MS Ramaiah Medical College juga mendapat pengiktirafan majlis perubatan dunia termasuk Majlis Perubatan Malaysia, Majlis Perubatan Thailand dan Majlis Perubatan Awam Great Britain.

"Bangalore menjadi pilihan MSU untuk menubuhkan sekolah perubatannya kerana bandar raya ini mewarisi kekayaan India dari segi kepakaran dalam bidang pendidikan perubatan serta saintifik," katanya.

Bangalore juga dikenali dengan jolokan 'Lembah Silikon India' kerana ratusan syarikat teknologi maklumat dan komunikasi dunia dan tempatan menjadikan bandar raya itu sebagai pusat pembangunan dan inovasi serta out sourcing mereka.

Datuk Dr. Abdul Ghani juga berkata, selain belajar dengan tenaga pakar yang berpengalaman, pelajar yang mengikuti pengajian perubatan di IMS juga berpeluang mengikuti latihan serta mendapat pendedahan terbaik dalam bidang perubatan di MS Ramaiah Memorial Teaching Hospital dan Baptist hospital yang dilengkapi dengan peralatan canggih dan diperakui kebanyakan majlis perubatan dunia.

canggihSelain itu, katanya, pelajar akan menjalani sesi kelas dan amali anatomi secara efektif kerana bekalan mayat mudah diperolehi di bandar raya berkenaan.

"Gabungan antara peralatan canggih, pendedahan secara amali serta tenaga kepakaran yang ramai itu memantapkan lagi program perubatan yang ditawar oleh IMS," katanya.

Dr. Abdul Ghani berkata, IMS yang menerima kelulusan penubuhannya daripada MMC sentiasa menitik beratkan kualiti pendidikan yang dijalankannya serta menggunakan kurikulum yang dipersetujui majlis perubatan berkenaan serta majlis perubatan negara lain.

Dengan penubuhan IMS, katanya, MSU yakin dapat memberi sumbangan besar dan bermakna dalam membantu negara mencapai sasaran nisbah seorang doktor untuk setiap 600 penduduk menjelang 2020 kelak. Program MBBS IMS mengambil masa lima setengah tahun, merangkumi satu tahun program rotatory internship yang dilakukan di Bangalore.

Selepas tamat pengajian, pelajar perlu mendaftar dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan ditempatkan Kementerian Kesihatan di hospital awam di Malaysia bagi memenuhi perkhidmatan housemanship selama dua tahun. Pengambilan pelajar baru program MBBS KIMS dibuat pada Oktober setiap tahun dan dihadkan kepada 150 orang saja.

Datuk Dr. Abdul Ghani berkata, program ini dibuka kepada pelajar lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia, Foundation MSU, diploma, A-Level dan matrikulasi.

MSU melalui Centre for Foundation Studies turut menyediakan landasan awal kepada pelajar-pelajar yang berminat dan mempunyai kecenderungan yang mendalam untuk mengikuti pengajian perubatan di IMS. Walau bagaimanapun pelajar perlu mengikuti program Foundation in Biological Science/Health Science terlebih dahulu.

Katanya lagi, pelajar yang berminat mengikuti program MBBS di IMS wajib mendapat keputusan cemerlang dan calon yang berkelayakan perlu menghadiri sesi temuduga selain perlu menduduki Medical Entrance Test (MET) di MSU.

Datuk Dr. Abdul Ghani berkata, IMS merancang menambah lebih banyak lagi bidang pengkhususan dalam program pengajian yang ditawarkannya pada masa depan.

"Kita yakin IMS berupaya membantu negara untuk menghasilkan lebih ramai pakar dalam bidang perubatan dan seterusnya memainkan peranan positif dalam penyediaan modal insan kelas pertama di negara ini seperti dihasratkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi," katanya.

Pelajar yang berminat dan ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai program perubatan yang ditawarkan MSU boleh menghubungi International Medical School, MSU, Blok A, Jalan Equestrian 13/52, Off Persiaran Sukan, Seksyen 13, 40100 Shah Alam, Selangor. Mereka juga boleh menghubungi menerusi telefon 03-55106868, faks 03-55108668, e-mel: enquiry@ msu.edu.my atau melayari laman web www.msu.edu. my.

No comments: