Sunday, May 25, 2008

ICJ putuskan Pulau Batu Puteh milik Singapura

ICJ putuskan Pulau Batu Puteh milik Singapura

Harakahdaily

Fri | May 23, 08 | 7:00:17 pm MYT

THE HAGUE, 23 Mei - Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) hari ini menetapkan bahawa Singapura mempunyai hak kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh manakala Malaysia mempunyai hak kedaulatan terhadap Terumbu Karang Tengah.

Mahkamah itu juga, menurut laporan Bernama, menetapkan bahawa Terumbu Karang Selatin adalah milik negara di mana terletaknya perairan wilayah.

Penghakiman itu menamatkan pertikaian selama 28 tahun antara Malaysia dan Singapura berhubung pulau itu, yang dikenali di Singapura sebagai Pedra Blanca, dan juga dua terumbu karang itu.

Pulau Batu Puteh terletak 7.7 batu nautika dari pantai Tanjung Penyusuh di Johor.

Kedua-dua negara telah memberi jaminan akan akur dengan keputusan ICJ, badan kehakiman utama Pertubuhan Bangsa Bersatu.

Keputusan mahkamah itu adalah muktamad dan tidak boleh dirayu.

Malaysia dan Singapura juga berulang kali menyatakan bahawa apa sahaja keputusan tidak akan menjejaskan hubungan dua hala.

Penghakiman itu dibacakan oleh Naib Presiden ICJ Shawkat Al-Khasawneh, yang bersama dengan 15 hakim lain, telah mendengar penghujahan dari kedua-dua negara pada perbicaraan kes itu dari 6 hingga 23 Nov tahun lepas.

Keputusan itu disiarkan secara langsung oleh RTM1 mulai 10 pagi di sini (4 petang di Malaysia).

Menteri Luar Dato' Seri Dr Rais Yatim yang mengetuai rombongan Malaysia mendengar penghakiman itu di sini menyifatkan keputusan itu sebagai "menang-menang".

No comments: