Sunday, May 25, 2008

69 Komando sedia gempur musuh

69 Komando sedia gempur musuh

Oleh AMIR SARIFUDIN

JURULATIH 69 Komando (kiri) memberi taklimat kepada para pelatih pada latihan asas skuba pasukan itu di Pulau Perhentian.

BERGERAK senyap, menyusup ke kawasan musuh tanpa mengira waktu atau keadaan dan menggempur yang berakhir dengan menawan, semua ini sentiasa dipraktikkan oleh pasukan elit dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kemahiran yang dimiliki oleh pasukan elit ini termasuk pertempuran di hutan, menyelam di lautan dan seterusnya kebolehan menggunakan payung terjun.

Secara langsung keadaan ini berjaya membukitkan pasukan elit berkenaan iaitu 69 Komando, mampu bergerak sama ada di daratan, udara mahupun air.

Disebabkan memiliki kemahiran di tiga situasi berlainan itu, tidak hairanlah 69 Komando sentiasa dianggap sebagai tulang belakang dalam operasi atau gerakan PDRM.

Bagi kemahiran di laut, pasukan 69 Komando, Pasukan Gerakan Khas (PGK) memang terkenal dengan kepakaran dan keupayaan skuba ala komando.

Untuk bergelar seorang penyelam komando, anggota-anggota pasukan ini turut memiliki kemahiran dalam renang tempur. Ini kerana, kemampuan skuba komando ada kaitan dengan kebolehan berenang.

Tugasan menyelam atau skuba oleh anggota-anggota 69 Komando ini bukan sahaja melibatkan operasi kepolisan dan keselamatan, malah tanggungjawab terhadap masyarakat awam seperti mencari orang hilang di lautan, lemas dan sebagainya.

Bagi meneruskan rekod cemerlang pasukan berkenaan sebagai ‘komando laut’, baru-baru ini diadakan latihan asas skuba bertempat di sekitar Pulau Perhentian, Terengganu.

Kira-kira 25 pelatih bersama 20 jurulatih selam 69 Komando menyertai latihan berkenaan yang banyak menguji kesabaran dan ketahanan diri sama ada dari segi mental mahupun fizikal masing-masing.

Latihan asas tahunan itu secara langsung menguji kerjasama berpasukan selain menguji peralatan-peralatan selam yang baru dan tercanggih bagi kegunaan 69 Komando.

Sepanjang latihan tersebut, 69 Komando turut diberikan bantuan sokongan oleh pasukan-pasukan lain dalam PDRM seperti pasukan polis marin dan Unit Udara PDRM.

Bantuan sokongan dari pasukan polis marin dan Unit Udara PDRM itu untuk memantapkan lagi keberkesanan latihan asas berkenaan supaya mencapai tahap yang diperlukan.

Ini secara tidak langsung dapat menguji kemampuan pasukan polis marin dan Unit Udara dalam melaksanakan tugas yang diberi bagi memantapkan lagi PDRM sebagai sebuah organisasi cemerlang.

Sepanjang latihan berlangsung, Pegawai Turus Risik PGK, Deputi Supritendan Fisol Salleh dengan dibantu oleh Cif Inspektor Bingkok John sentiasa memantau latihan dan aktiviti yang dijalankan.

Antara latihan asas skuba yang dilalui oleh kalangan pelatih terbabit ialah renang tempur dari Pulau Perhentian Kecil ke Pulau Perhentian Besar.

Dengan jarak kira-kira dua hingga tiga kilometer meter, para pelatih terbabit terpaksa meredah gelombang yang tidak menentu selain bahang panas matahari.

Renang tempur ini dilakukan beberapa kali sebagai memantapkan lagi fizikal serta mental para pelatih.

Di samping itu, ketika berenang para pelatih terbabit ada yang terpaksa menahan pedih disebabkan terlanggar kumpulan obor-obor.

Apa juga halangan dilalui ketika renang tempur itu, para pelatih telah berjaya melakukannya mengikut waktu masa ditetapkan.

Renang tempur itu antara lain bertujuan mengajar para pelatih supaya lebih berani, berhati waja, sanggup meredah halangan serta menguji kesabaran mereka.

Latihan seterusnya ialah boat casting iaitu melompat ke dalam air ketika bot sedang bergerak laju. Ketika latihan baru-baru ini, 69 Komando menggunakan bantuan bot polis marin yang dikenali sebagai Penyengat.

Boat casting memerlukan teknik tertentu bagi mengelakkan sebarang kecederaan. Latihan sedemikian amat berguna dalam operasi-operasi penyusupan ala komando dan gerak pantas.

Di samping itu, para pelatih asas skuba berkenaan turut melakukan latihan helo casting iaitu penerjunan dari udara menggunakan helikopter.

Setiap pelatih yang lengkap berpakaian skuba bersama peralatan masing-masing membuat penerjunan dengan teknik tertentu.

Sama seperti boat casting, latihan helo casting juga menggunakan teknik tertentu bagi mengelakkan sebarang kecederaan.

Latihan sedemikian amat berguna terutama apabila pihak berkuasa mahu 69 Komando melakukan operasi pantas tanpa mengira tempat atau keadaan.

Sementara itu, sebelum latihan asas skuba di Pulau Perhentian itu, para pelatih berkenaan sudah pun melalui latihan menyelam di kolam renang ketika di daratan.

Latihan skuba di laut merupakan lanjutan dari latihan di kolam.

Pada latihan di Pulau Perhentian itu, mereka dibawa ke beberapa lokasi tertentu sebagai ujian selain memahirkan lagi kebolehan menyelam yang dipelajari.

Semasa latihan, pelatih didedahkan dengan pelbagai situasi melibatkan operasi gempur, menyelamat dan sebagainya.

Malah, menyelam di dasar laut itu sering kali berhadapan dengan arus deras dan sebagainya.

Selam komando turut mempamerkan keberanian, ketangkasan serta kepantasan dalam melaksanakan tugas bagi memastikan operasi yang dilaksanakan nanti mampu mencapai kejayaan.

Sepanjang latihan skuba, para pelatih turut diajar cara-cara menyelamatkan diri ketika berada di dasar laut jika berlaku kecemasan seperti kehabisan udara dan sebagainya.

Mereka juga diajar cara-cara menyelam yang berbentuk operasi pada kedalaman tertentu. Pengetahuan turut diberikan kepada setiap pelatih mengenai kehidupan laut yang boleh membahaya atau memudaratkan mereka ketika dalam sesuatu operasi.

Langkah itu penting kerana banyak kehidupan laut yang beracun serta boleh memudaratkan penyelam.

Semua pengetahuan ini amat penting bagi menghindarkan perkara-perkara buruk yang tidak dijangka yang boleh membahayakan nyawa penyelam.

Pada masa sama, latihan asas skuba itu menganjurkan para pelatih 69 Komando supaya sentiasa memulihara hidupan alam semula jadi di dasar laut.

Ketika latihan berlangsung, para pelatih berpeluang mengetahui cara-cara mengelakkan diri dari sebarang kemalangan sama ada pada diri sendiri mahupun rakan sepasukan.

Apa pun, latihan skuba ala komando itu sebenarnya menguji kemampuan pasukan 69 Komando yang dianggap perlu sentiasa bersiap sedia dan boleh diarahkan ke mana sahaja.

Dengan kombinasi melibatkan disiplin yang tinggi, kerjasama, patuh pada arahan jurulatih selain kesabaran, para pelatih terbabit berjaya menamatkan latihan dengan cemerlang.

Kepakaran skuba ala komando yang dimiliki mereka kini dapat digunakan untuk menjaga keamanan dan keselamatan negara serta membantu masyarakat awam yang memerlukannya.

No comments: