Sunday, April 26, 2009

Tiga pelajar Malaysia dapat penghormatan di Sweden



MOHD. Khairul Effendi Che Wan (kanan) bersama rakan-rakannya, Muhammad Fazrel Ashraf Azizan dan Som Jud a/l Muniandy (kiri) menunjukkan pingat emas yang dimenangi mereka di Joensuu, Finland, kelmarin. - UTUSAN/AZMAN MD. NOOR


STOCKHOLM (Sweden) 20 April - Selepas kejayaan menggondol tiga pingat emas pada Festival Sains, Teknologi dan Alam Sekitar di Finland minggu lalu, tiga pelajar Malaysia yang terlibat diberikan penghormatan membentangkan kertas kerja mengenai penanaman pokok di dua buah sekolah di bandar Upsala dekat sini hari ini.

Lebih istimewa, ketiga-tiga pelajar dan tiga guru pengiring mereka itu berkesempatan menaiki kapal mewah, Viking Line yang mengambil masa 16 jam untuk sampai ke sini.

Biarpun ketiga-tiga pelajar itu nampak keletihan, atas semangat 'Malaysia Boleh', mereka tetap bersedia memenuhi jemputan dua buah sekolah tersebut sekali gus menonjolkan Malaysia sebagai negara terbaik di peringkat antarabangsa dalam penanaman pokok dan penjagaan alam sekitar.

Dua buah sekolah terlibat Life Link Friendship dan MKFC yang terletak di pusat bandar ini, mahu mengetahui lebih dekat penglibatan sepenuhnya pelajar berkenaan dalam aktiviti penanaman pokok, perubahan cuaca dan kajian kualiti air.

Wakil pelajar, Muhammad Fazrel Ashraf Azizan, 15, berkata, jemputan itu merupakan satu kebanggaan buat mereka khususnya dalam menonjolkan imej negara di peringkat dunia.

"Kami gembira dengan jemputan ini sekali gus menaikkan nama kami pelajar Malaysia di persada dunia," katanya.

Rakannya, Som Jud a/l Muniandy, 16, pula begitu gembira dengan pengalaman yang dilalui di peringkat antarabangsa dan ia memberikan inspirasi kepadanya serta rakan-rakan dalam aktiviti alam sekitar.

Menurutnya, kemenangan itu juga adalah hadiah buat bapanya yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-43 pada 18 April lalu.

Sementara itu, guru pengiring, S. Kalaimani memberitahu, pihaknya berharap pengiktirafan dunia terhadap penglibatan pelajar Malaysia itu akan membuka lembaran baru dalam isu alam sekitar.

"Jemputan ini merupakan satu yang amat istimewa buat peserta negara kerana kemenangan kita sudah mula mendapat sanjungan dunia," ujarnya. - UTUSAN

No comments: