Sunday, April 26, 2009

Iran iktiraf 85 kursus Unisel


SHAH ALAM 22 April – Universiti Industri Selangor (Unisel) mencipta sejarah tersendiri apabila mendapat surat pengiktirafan terhadap kesemua 85 kursusnya daripada Kerajaan Iran semalam.

Surat pengiktirafan itu diserahkan sendiri oleh Canselor Penyelidikan dan Pengarah Hal Ehwal Pelajar Wilayah Pasifik Selatan Iran, Dr. Vahid Alli yang dalam rangka lawatan ke universiti itu minggu ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr. Halimah Ali berkata, Unisel merupakan universiti pertama di negara ini menerima pengiktirafan seumpamanya daripada Iran.

Beliau berkata, pengiktirafan itu bermakna graduan-graduan dari Unisel tidak akan menghadapi masalah untuk memohon kerja di Iran terutama rakyatnya apabila mereka pulang ke tanah air kelak.

“Perkembangan ini akan dimanfaatkan untuk menarik lebih ramai pelajar Iran belajar di Unisel kerana hanya terdapat 80 buah universiti di negara tersebut berbanding rakyatnya sebanyak 70 juta orang,” kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Susulan itu, menurut Halimah, Unisel akan melakukan kerja-kerja pemasaran di Sekolah Tinggi Iran di Malaysia pada Julai ini bagi menarik pelajar dari Iran selain melantik agen bagi membuka pusat pemasaran di Iran.

Tambahnya, terdapat kira-kira 40,000 rakyat Iran di negara ini dan hampir separuh adalah penuntut peringkat Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).

No comments: