Sunday, April 26, 2009

PSA lahirkan 23 graduan penyelenggaraan pesawat


SHAH ALAM 23 April – Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) di sini mencatatkan sejarah apabila berjaya melahirkan 23 orang graduan sulung peringkat diploma dalam bidang teknologi penyelenggaraan pesawat.

Mereka adalah antara 2,273 graduan yang menerima diploma dan sijil pada Konvokesyen ke-11 PSA yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Omar Abdul Rahman di sini hari ini.

Graduan-graduan berkenaan merupakan kumpulan perintis ke arah usaha institusi itu mempelbagaikan bidang pengajian selaras dengan pendekatan meningkatkan lagi pembangunan serta penggunaan teknologi tinggi di negara ini.

Salah seorang graduan yang mengikuti kursus itu, Carlson Linggang Collin Laja, 21, ketika ditemui menyifatkan bidang itu antara yang amat diperlukan negara sekarang kerana industri penerbangan sedang berkembang pesat di rantau Asia Tenggara.

“Ekoran perkembangan itu, pastinya bilangan tenaga mahir dalam bidang tersebut amat diperlukan sekali gus pasaran kerja lebih terbuka luas.

“Malah, sebelum konvokesyen, saya telah ditawarkan pekerjaan di Malaysian Airline System Bhd., (MAS) sebagai juruteknik muda,” kata anak kelahiran Sarawak itu.

No comments: