Friday, March 13, 2009

41,000 berpeluang ke IPTA


SEREMBAN 13 Mac - Sebanyak 41,000 tempat ditawarkan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau kelayakan setaraf yang ingin melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) negara ini.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dr. Hou Kok Chung berkata, jumlah berkenaan meliputi peluang pelajar yang berkelayakan untuk melanjutkan pelajaran dalam pelbagai jurusan di 20 buah IPTA di seluruh negara.

''Bagaimanapun, bilangan tersebut tidak termasuk tempat yang ditawarkan di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang merangkumi 41 universiti kolej dan 433 kolej di sekitar negara ini.

''Di samping itu, IPTS yang tidak mempunyai had pengambilan pelajar diyakini mampu menampung keperluan pengajian bagi pelajar lepasan SPM atau STPM di negara ini untuk melanjutkan pelajaran mereka,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum perjanjian antara Thompson Rivers University dan Legenda Education Group di sini hari ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya tentang kelayakan calon yang layak untuk merebut tempat di IPTA, beliau memberitahu, calon-calon bukan sahaja akan dinilai dari segi kecemerlangan akademik, malah dari aspek penyertaan kokurikulum.

''Kita mengambil kira 90 peratus dari segi akademik dan 10 peratus bagi keaktifan calon yang menyertai kegiatan kokurikulum semasa di sekolah.

''Oleh itu, saya ingin menyarankan lepasan yang memohon agar berhati-hati semasa memilih bidang kerana dikhuatiri permohonan tidak berjaya atau tidak dapat melanjutkan dalam jurusan pilihan utama yang diingini calon disebabkan tidak aktif dalam kegiatan kokurikulum." jelas beliau.

Dalam perkembangan lain, Kok Chung berkata, kementerian banyak menerima aduan berhubung agensi di luar negara mengenakan bayaran yang tinggi bagi pemeriksaan kesihatan sebelum melanjutkan pelajaran di negara ini.

''Sejak kebelakangan ini, saya menerima banyak laporan daripada pelajar asing yang terpaksa membayar dua hingga tiga kali ganda jumlah bayaran pemeriksaan kesihatan di luar negara berbanding di negara ini.

''Ini secara tidak langsung akan menjejaskan tarikan para pelajar asing untuk melanjutkan pelajaran di Malaysia," ujar beliau.

Katanya, kerjasama dari IPTS amat diperlukan bagi memaklumkan kepada agensi yang dilantik di luar negara bahawa pelajar asing dibenarkan untuk menjalankan pemeriksaan tersebut sebaik tiba di Malaysia.

''Undang-undang negara telah memperuntukkan bahawa pelajar asing boleh menjalankan pemeriksaan kesihatan di negara ini dalam tempoh 30 hari selepas mereka tiba di negara ini," jelas Kok Chung.

No comments: