Friday, March 13, 2009

10 1A hadiah untuk ibu


ALOR SETAR 12 Mac - ''Kejayaan ini untuk ibu yang banyak berkorban demi kami sekeluarga.''

Itu luahan perasaan Nurul Aini Md. Isa, 18, yang berjaya memperoleh 10 A1 dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008.

Nurul Aini yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Asma di sini menganggap kejayaan yang diperoleh adalah berkat doa ibunya, Mizah Hashim, 50.

"Ibu saya hanya pulang setahun sekali ke tanah air kerana bertugas sebagai jururawat di Arab Saudi.

"Malam ini dia akan kembali ke sana dan keputusan peperiksaan ini sekurang-kurangnya dapat membuatkan mama tersenyum untuk kembali bertugas di sana," ujarnya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut pelajar cemerlang itu, pengorbanan ibunya yang sanggup bertugas di luar negara demi menambah pendapatan keluarga membuatkan dia berazam untuk mendapat keputusan cemerlang dalam SPM.

"Ayah saya bekerja sebagai pemandu teksi dan sepanjang ketiadaan ibu, ayah yang membantu menguruskan keluarga kami.

"Jerih mereka untuk memastikan saya mendapat pendidikan sempurna amat dihargai," ujarnya.

Jelas Nurul Aini, dia berhasrat untuk meneruskan pengajian dalam bidang perubatan dan mahu bekerja sebumbung dengan ibunya.

No comments: