Sunday, June 21, 2009

Pelajar teruja saksi pelancaran MEASAT-3a



Dari kiri: Ahmad Ruiz Mohd. Asri, Lina Na’ilah Abdul Talip, Edmund Lau, Cliff Asher R. Ongil dan K. Chandra Sekhar melihat model roket Proton Breeze M yang digunakan unruk misi pelancaran satelit di Cyberjaya, baru-baru ini.


KUALA LUMPUR 17 Jun – Lima pelajar Malaysia yang terpilih ke pelancaran satelit MEASAT-3a di Baikonur, Kazakhstan berasa teruja bakal menyaksikan sendiri peristiwa bersejarah tersebut yang dijadualkan pada 22 Jun ini.

Ketika ditemui pemberita baru-baru ini, kesemua mereka yang merupakan pelajar tingkatan lima menyifatkan peluang tersebut sebagai sekali seumur hidup.

Justeru mereka kini seakan sudah tidak sabar menjejaki bumi Baikonur apabila dimaklumkan tarikh pelancaran satelit keempat milik Measat Satellite System Sdn. Bhd (Measat) itu telah diperoleh.

Bukan itu sahaja, pelajar terbabit, Ahmad Ruiz Mohd. Asri dari Kuala Lumpur, K. Chandra Sekhar (Johor Bahru); Cliff Asher R. Ongil (Beaufort), Lina Na’ilah Abdul Talip (Kajang) dan Edmund Lau (Kuching) juga berpeluang mengadakan lawatan ke lokasi industri angkasa Rusia.

Ini lawatan ke Star City, Moscow yang sememangnya tersohor di seluruh dunia sebagai pusat latihan angkasawan utama di peringkat antarabangsa.

Ia termasuk tempat Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor menjalani latihan tidak lama dahulu.

Di Baikonur pula, mereka akan dibawa melawat kompleks pelancaran roket terbesar serta menjejaki kehidupan angkasawan pertama di Muzium Angkasa Yuri Gagarin.

Pemilihan kelima-lima pelajar itu dibuat pihak penganjur berdasarkan pencapaian cemerlang pada Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2007 selain penglibatan aktif dalam aktiviti berkaitan sains dan teknologi.

Sepanjang lawatan itu, mereka akan diberi kamera video untuk merakamkan detik penting bagi dikongsikan pengalaman bersama dengan pelajar lain sekembalinya ke tanah air.

Measat dalam kenyataannya hari ini memberitahu, para pelajar itu telah diberi pendedahan berhubung penggunaan kamera video serta saat-saat yang penting untuk dirakamkan.

Sementara itu, Kaunsel Umum Measat, Farah Suhanah Ahmad Sarji berkata, pihaknya amat teruja untuk memberi peluang kepada pelajar terbabit menjelajahi kemajuan industri angkasa Rusia selain menyaksikan pelancaran MEASAT-3a.

No comments: