Saturday, December 6, 2008

Tanah runtuh: 4 terbunuh, http://www.blogger.com/img/blank.gif14 banglo tertimbus



KUALA LUMPUR, 6 Dis (Hrkh) - Empat terbunuh, 15 cedera manakala lapan dikhuatiri terperangkap setelah 14 buah rumah banglo tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa di sini awal pagi ini.

Iklan

Kejadian dipercayai berlaku pukul 4 pagi ketika penghuni sedang tidur apabila lereng bukit kira-kira 20 meter dari lokasi kejadian runtuh tiba-tiba.

Antara yang terbunuh adalah seorang ibu,30 dan anaknya berusia dua bulan dan pembantu rumah mereka.

Ketua Polis Selangor, Dato' Khalid Abu Bakar berkata mayat mereka telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur kira-kira pukul 6 pagi untuk bedah siasat.

Menurutnya, setakat ini seramai 93 mangsa telah diselamatkan dan ditempatkan di Surau Addinniah Jalan Bukit Antarabangsa.

Katanya, operasi yang disertai kira-kira lebih 160 anggota penyelamat masih diteruskan untuk mengeluarkan lapan lagi mangsa yang terperangkap.

Tambahnya, pasukan penyelamat terpaksa menggunakan Jalan Wangsa 9 sebagai jalan alternatif kerana jalan utama ke kawasan tersebut tidak boleh dilalui.

Mangsa yang terkorban dan cedera telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurut Bernama, mangsa yang cedera telah diberikan bantuan awal di Surau Addiniah sebelum dibawa ke hospital dan sekurang-kurangnya 12 ambulan telah kelihatan di kawasan tersebut.

Seramai 160 orang terlibat dalam gerakan menyelamat yang meliputi pihak polis, MPAJ dan pasukan perubatan.

Adun Bukit Antarabangsa, Azmin Ali yang ditemui di lokasi kejadian memaklumkan bahawa pergerakan tanah masih berlaku di kawasan tersebut dan bekalan elektrik di sekitar kawasan tersebut telah terganggu. - mks._

No comments: