Wednesday, January 14, 2009

Penyelidik UPM cipta ubat sembuh luka lebih cepat



DR. Suhaila Mohamed (kanan) menjelaskan keistimewaan Healex kepada pengunjung Program Promosi Penyelidikan UPM, baru-baru ini.


SERDANG 25 Dis. -Seorang penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya mencipta kapsul dan krim sapu daripada daun kelapa sawit, rumpai laut dan daun keledek yang mampu menyembuhkan luka dengan cepat.

Penyelidik tersebut, Prof. Dr. Suhaila Mohamed berkata, produk yang diberi nama Healex itu boleh meningkatkan pemulihan luka atau kecederaan tisu dan organ dalaman dalam masa lebih singkat.

"Healex mempercepatkan proses pemulihan terutama kepada individu yang mengalami kadar penyembuhan yang lambat seperti pesakit kencing manis.

"Produk ini boleh ditelan dalam bentuk kapsul atau disapu di bahagian yang luka dan tidak mempunyai toksik seperti produk lain yang menggunakan bahan kimia," katanya semasa majlis promosi penyelidikan UPM di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, produk itu juga membantu mengurangkan tekanan darah tinggi, kolestrol, penyakit kardiovaskular dan kanser.

Dr. Suhaila yang juga Profesor Kanan Fakulti Sains dan Teknologi Makanan berkata, kajian ke atas tikus menunjukkan Healex meningkatkan pemulihan pada tahap 30 peratus untuk pelbagai jenis luka yang dalam atau lebar.

Katanya, kajian menunjukkan pemulihan luka sebanyak dua sentimeter pada haiwan berlaku pada hari ke-15 berbanding dengan luka yang tidak disapu dengan produk tersebut.

"Bahagian luka yang disapu dengan produk itu juga akan mengalami kadar pengecutan, kematangan dan granulasi tisu lebih pantas bagi tujuan penyembuhan luka.

Dr. Suhaila turut membentangkan penyelidikannya yang kedua iaitu Addex iaitu bahan anti penyerap minyak yang pertama di dunia dan ia dapat mengurangkan 30 peratus penyerapan minyak dalam makanan bergoreng.

Katanya, produk itu terdiri daripada formulasi khas biophenol daripada ekstrak tumbuh-tumbuhan.

"Addex bersifat antioksida lemak semula jadi sehingga 85 peratus terhadap makanan, menghalang tekanan darah tinggi, anti alah, anti kejang otot, anti kuman, anti kolesterol, anti bengkak, anti kanser selain meningkatkan keranggupan dan rasa makanan tersebut.

"Penggunaan produk ini mengurangkan masalah kegemukan, kolesterol tinggi, kanser, tekanan darah tinggi dan penuaan yang disebabkan pengambilan lemak berlebihan," katanya.

Pada majlis tersebut, Prof. Madya Dr. Ishak Aris dari Fakulti Kejuruteraan memperkenalkan penyelidikan Sistem Imbasan Optikal Berbilang Pancaran yang menggunakan sistem laser bagi kegunaan dalam bidang perubatan terutama bagi rawatan kulit.

"Produk ini berupaya mengawal sistem kepala pengimbasnya dengan lebih anjal dan cekap," katanya yang menganggarkan produknya berharga separuh lebih murah daripada produk import.

Gigi palsu berinovasi baru



Adnan Bozdemir menjadi tulang belakang dalam penciptaan baru gigi palsu Turkom Cera.


Teknologi pergigian terutama gigi palsu biasanya menggunakan porcelin dan diikat dengan logam yang tidak nampak kosmetik dan kadang-kala menyebabkan alahan kepada pengguna.

Kini pengguna gigi palsu sudah boleh tersenyum dengan teknologi Turkom Cera yang bukan saja mudah dan cepat pembuatannya tetapi ringan dan mempunyai nilai kosmetik yang tinggi.

Produk gigi palsu hasil teknologi Turkom Cera boleh dilakukan pada kawasan makmal yang terhad dengan kemudahan ketuhar.

Segalanya bermula semasa pengasas yang juga Presiden Turkom-Ceramic (M) Sdn Bhd (TCM), Adnan Bozdemir yang telah lebih 20 tahun menceburi bidang gigi palsu kerana membantu ahli keluarganya dalam industri berkenaan.

Kira-kira 10 tahun lalu beliau melakukan solat istikharah sebagai memohon petunjuk mengenai apa yang perlu dilakukan.

"Selepas itu apa yang terlintas di fikiran adalah Kuala Lumpur, Malaysia dan saya sendiri tidak tahu di mana tempat berkenaan.

"Tetapi saya terus mencari nama tempat berkenaan dan pergi ke sana walaupun saya tidak tahu langsung," katanya.

Setelah mencari lokasi Kuala Lumpur dan Malaysia, beliau terus ke sana tanpa sebarang persediaan rapi.

Dengan menyewa sebuah rumah banglo dua tingkat, Adnan menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) mengenai kesihatan pergigian terutamanya pembuatan gigi palsu.

Berbekalkan pengalaman yang ada beliau berusaha melakukan yang terbaik dalam pembuatan gigi palsu yang bukan saja mudah tetapi teguh, ringan dan sesuai dengan pengguna.

Selama tiga tahun menumpukan usaha dalam R&D, TCM telah berjaya menghasilkan formulasi bahan gigi palsu serta penemuan teknik fabrikasi gigi palsu yang mampu memenuhi dua kriteria utama yang ditetapkan iaitu:

lPenyediaan bahan asas pergigian restoratif yang mempunyai ciri kekuatan dan ciri kosmetik yang menarik tanpa kesan sampingan negatif atau alahan kepada pengguna.

lPenglibatan aplikasi teknik fabrikasi pergigian yang mudah, ringkas, fleksibel dan kos yang kompetitif

"Aktiviti utama TCM adalah mengeluarkan gigi palsu atau prosthetic yang diperbuat daripada bahan berasaskan seramik.

"Kekuatan produk TCM bukan hanya terletak kepada ciptaan formulasi bahan pergigian yang diiktiraf sebagai semua bahan terdiri daripada seramik tetapi disokong oleh teknik fabrikasi gigi palsu yang dicipta khas bagi memudahkan pembuatannya, berkualiti tinggi dan menepati keperluan pasaran global," katanya.

Teknik fabrikasi pergigian ini sedang dalam permohonan paten antarabangsa bagi memelihara hak harta intelek keluaran TCM.

Sehingga kini TCM menanggung sendiri semua kos termasuk pendaftaran perlindungan harta intelek dan R&D.

Hasil usahanya sendiri kini TCM telah berjaya memasarkan produknya sehingga ke lebih 60 buah negara meliputi rantau Eropah, Asia dan Amerika Selatan.

Ini secara tidak langsung akan meningkatkan imej negara di peringkat antarabangsa dan menonjolkan imej negara sebagai kelompok kecil negara yang berupaya mengeluarkan produk pergigian seramik.

"Di sini, produk utama TCM, kit alumina dental Turkom Cera telah diterima secara rasmi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Malahan KKM telah mengambil inisiatif melaksanakan projek perintis di Makmal Pergigian Putrajaya bagi menguji aplikasi produk pergigian TCM bagi menghasilkan gigi palsu bagi kegunaan orang ramai," katanya.

Jika usaha projek perintis dengan KKM berjaya, Adnan berkata, sudah pasti rakyat negara ini dapat menikmati rawatan pergigian lebih maju dengan kos pembiayaan minimum.

Bagi menjayakannya, TCM telah melatih juruteknologi pergigian KKM Putrajaya sehingga mampu menghasilkan gigi palsu bermutu tinggi yang diperbuat daripada bahan pergigian seramik Turkom Cera sepenuhnya.

Bukan itu saja, TCM juga telah melaksanakan tanggungjawab sosial dengan mewujudkan program latihan pembantu makmal pergigian bagi pelajar Institut GIATMARA.

TCM juga telah lama menjalinkan hubungan dengan institut pengajian tinggi awam (IPTA) seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi R&D teknologi produk pergigian TCM.

"Dari konteks global produk pergigian TCM berpotensi menyumbang kepada peningkatan mutu rawatan di negara membangun.

"Tambahan pula ia tidak melibatkan kos yang besar kerana tidak memerlukan pelaburan infrastruktur baru," katanya.

Manakala di negara maju, TCM bukan saja menawarkan harga yang kompetitif tetapi juga dapat meningkatkan produktiviti juruteknologi pergigian dan menyelesaikan masalah kekurangan tenaga pekerja di Eropah dan Amerika Syarikat (AS).

Kini banyak klinik pergigian di negara ini telah pun menggunakan teknologi Turkom Cera di klinik mereka.

Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan maklumat mengenai produk pergigian Turkom Cera boleh menghubungi 03- 26818977 atau e-mel ke: info@turkom-cera.com atau layari laman web www.turkom-cera.com.

Agen antipenuaan dalam Kacip Fatimah



Dr. Zaini Ujang menunjukkan dua contoh serbuk dan bahan mentah Kacip Fatimah yang mengandungi agen antipenuaan di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 8 Jan. - Hasil kajian dua penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Dongguk, Seoul Korea mendapati herba Kacip Fatimah mempunyai nilai komersial yang tinggi berikutan penemuan agen antipenuaan dalam tumbuhan itu

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Zaini Ujang, agen antipenuaan dalam tumbuhan herba itu yang ditemui dalam kajian Profesor Dr. Mohamad Roji Sarmidi dan Prof. Dr. Chan Seo Park itu boleh digunakan untuk produk kosmetik.

Sebelum ini katanya, Kacip Fatimah hanya digunakan untuk kesihatan dalaman wanita seperti memberi tenaga tambahan, menstabilkan hormon wanita dan melancarkan perjalanan darah.

"Kajian ini adalah yang pertama direkodkan mengenai tumbuhan herba ini terhadap kulit dan analisis mendapati ekstrak daripada tumbuhan itu ternyata amat tinggi nilainya sebagai agen antipenuaan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu jelasnya, kajian makmal juga menunjukkan ekstrak Kacip Fatimah berupaya menghasilkan kolegen untuk mengatasi kerosakan kulit akibat pendedahan kepada sinar ultraungu.

Beliau memberitahu, kajian itu juga mendapati sesetengah ekstrak herba itu berupaya bertindak sebagai agen antiradang ke atas sel kulit di samping mengandungi agen pemutihan.

Menurut beliau, hasil daripada penemuan itu, UTM telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Dongguk pada November lalu.

Ditanya mengapa kerjasama itu dilakukan dengan Universiti Dongguk, Zaini memberitahu, universiti tersebut mempunyai makmal mengkaji kemujaraban sesuatu penemuan sementara UTM mempunyai kelengkapan penyelidikan berharga RM50 juta.

"Kita hanya akan menjual bahan-bahan mentah (ekstrak) Kacip Fatimah yang berharga dalam lingkungan RM1,000 sebotol kecil dalam bentuk cecair dan serbuk kepada yang memerlukannya,'' jelasnya.

Dalam pada itu katanya, walaupun mendapat permintaan daripada beberapa pihak dari luar negara namun UTM masih mengutamakan untuk menjual ekstrak herba itu kepada pengusaha tempatan.

Beliau juga memberitahu kajian ke atas Kacip Fatimah telah dilakukan sejak tahun 2007 oleh Loji Pandu Kejuruteraan Kimia (CEPP) UTM dan Jabatan Kimia dan Kejuruteraan Biokimia, Universiti Dongguk.

Sementara itu Prof. Madya Chang- Seo Park berkata, penemuan tersebut dijangka mendapat perhatian pembuat produk kosmetik pada Persidangan Kosmetik yang diadakan di Yokohama, Jepun Mac depan.

Beliau berkata, selama ini pembuat produk kosmetik sentiasa mencari bahan baru untuk agen antipenuaan yang tidak memberi kesan sampingan kepada pengguna.

Menurutnya Kacip Fatimah yang telah digunakan oleh wanita Melayu sejak 400 tahun lalu didapati mujarab dan selamat digunakan untuk kulit.

"Tumbuhan ini saya anggap unik dan penemuan terbaru terhadapnya dijangka mendapat perhatian dan sambutan dari kalangan pembuat produk kosmetik peringkat antarabangsa," tegasnya.

Sebelum berhijrah ke Universiti Dongguk, Seo Park pernah bekerja di syarikat Toosan Cosmetics di Korea dan merupakan seorang pakar dalam bidang farma

Kereta elektrik Aptera



KERETA ELEKTRIK APTERA.


APTERA merupakan kereta mesra alam pertama yang mampu bergerak dengan jarak yang panjang iaitu 193 kilometer dengan sekali cas sahaja iaitu dengan kadar hibrid 300.

Menerima jolokan 'kapal terbang tanpa sayap', kenderaan ini boleh memecut sehingga 97 kilometer sejam hanya dalam masa sepuluh saat.

Ia juga didatangkan dengan rekaan yang cukup cantik dan menarik.

Siri Aptera 2 (sebelum ini Aptera Typ-1) merupakan kenderaan penumpang paling menjimatkan dan kini di peringkat akhir rekaannya oleh Aptera Motors.

Penemuan baru UPM untuk kesihatan masyarakat



Produk berasaskan daun sawit termasuk teh yang dihasilkan oleh Dr. Suhaila Mohamed (tengah).


KEWUJUDAN pelbagai jenis tumbuhan di muka bumi ini sebenarnya menyumbang banyak kebaikan dan kelebihan kepada organisme-organisme daripada pelbagai aspek.

Manfaat tersebut sememangnya tidak dapat dinafikan lagi kerana sejak sekian lama tumbuh-tumbuhan telah dijadikan sebagai sumber makanan tidak kira kepada manusia atau pun haiwan selain digunakan untuk tujuan lain seperti perubatan, perhiasan dan juga sumber tenaga.

Melihat betapa banyaknya sumbangan tumbuh-tumbuhan ini, penyelidikan terhadap potensinya terus dijalankan oleh banyak pihak bagi mencari lebih banyak penemuan baru dengan harapan dapat meningkatkan kualiti kehidupan manusia.

Universiti Putra Malaysia (UPM) misalnya merupakan antara institusi pendidikan yang sering menjalankan penyelidikan dan pembangunan terhadap produk-produk berasaskan tumbuh-tumbuhan.

Penemuan terbaru UPM adalah sejenis produk makanan dan sapuan yang dapat mempercepatkan proses penyembuhan luka dan kecederaan pada kulit, tisu atau organ serta menggalakkan pertumbuhan bulu pada badan.

Produk yang diberi nama Healex itu dihasilkan daripada ekstrak daun kelapa sawit, rumpai laut tropika dan daun keledek itu mampu meningkatkan kadar pengecutan, kematangan dan granulasi tisu luka dengan lebih pantas.

Menurut penyelidiknya, Prof. Dr. Suhaila Mohamed, sifatnya yang tidak toksik membolehkan pengguna menelan Healex sebagai makanan atau disapu pada bahagian yang luka untuk mempercepatkan kadar pemulihan kecederaan tisu.

''Jika dahulu kebanyakan kita makan ikan haruan untuk tujuan menyembuhkan luka, namun melalui penemuan terbaru ini, manfaatnya adalah lebih daripada itu.

''Aplikasi produk ini dijamin memberi banyak faedah kepada pengguna seperti meningkatkan produktiviti dan mutu kehidupan selain mengurangkan kos dan masa penjagaan penyembuhan sembuh,'' katanya pada taklimat media Hasil Penyelidikan UPM di UPM, baru-baru ini.

Selain memulihkan luka, Healex juga mempunyai kelebihan untuk membantu pengurusan penyakit seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, kolestrol, penyakit kardiovaskular dan juga kanser.

Malah, produk yang mengambil masa penyelidikan selama setahun itu turut mempercepatkan proses pemulihan luka di kalangan pengidap penyakit kencing manis yang mengalami kadar penyembuhan yang lambat.

Dr. Suhaila yang juga profesor kanan Fakulti Sains dan Teknologi Makanan memberitahu, produk berkenaan sesuai digunakan oleh pesakit-pesakit diabetis kerana ia boleh mengurangkan kandungan gula dalam darah.

''Pada peringkat awal kajian Healex, ia telah diaplikasikan pada kulit tikus yang luka dan kadar pemulihannya menunjukkan peningkatan sebanyak 30 peratus berbanding kumpulan yang tidak dirawat dengan Healex.

''Pemulihan luka sebanyak dua sentimeter pada haiwan tersebut berlaku dengan lebih cepat iaitu pada hari ke-15,'' jelasnya.

Healex dihasilkan dalam bentuk kapsul dan juga minyak sapuan di mana ia boleh dijadikan sebagai makanan kesihatan tambahan dengan pengambilan satu hingga dua biji kapsul sehari.

Menurut beliau lagi, penggunaan Healex menyasarkan golongan pengguna di kalangan pesakit hospital yang terlibat dengan kemalangan atau menjalani pembedahan.

Pada majlis yang sama, Dr. Suhaila turut membentangkan penyelidikan keduanya yang dikenali sebagai Addex iaitu sejenis bahan perencat serapan minyak dalam makanan goreng yang pertama di dunia untuk tujuan kesihatan.

Addex dihasilkan daripada formulasi khas biophenol dari ekstrak tumbuh-tumbuhan yang digunakan dengan kadar 1:10 ketika dimasukkan ke dalam minyak masak.

Ia akan bertindak sebagai bahan anti oksida lemak semula jadi yang akan merencatkan penyerapan minyak oleh makanan sehingga 30 peratus.

''Kebiasaannya, kebanyakan pengguna sekarang menggunakan bahan sintetik untuk tujuan penyerapan minyak pada makanan goreng kerana ia juga bersifat anti oksida dan harganya juga murah.

''Namun, penggunaannya akan memberi banyak kesan buruk seperti merosakkan organ dan juga masalah kesihatan dalam jangka panjang,'' jelasnya.

Aplikasi produk tersebut juga mempunyai banyak kelebihan kerana ia tidak merosakkan minyak, malah mengekalkan mutu minyak masak yang digunakan sehingga penggunaan 40 jam atau seminggu.

Dari segi nilai kesihatan pula, Addex merupakan produk yang dapat menghalang masalah tekanan darah tinggi, anti alahan, anti kekejangan otot, anti kuman, anti kolestrol, anti bengkak dan juga anti kanser.

Penggunaan produk ini turut mengurangkan hidrolisis, masalah kegemukan, kolesterol tinggi, kanser dan penuaan yang disebabkan oleh pengambilan lemak berlebihan.

Berdasarkan kajian yang dijalankan selama setahun bermula 2006, Addex didapati mampu menyerap minyak sehingga 85 peratus pada keropok lekor dan 50 peratus pada donut.

''Ekstrak tumbuhan yang digunakan pada Addex menjadikannya berwarna hijau kegelapan dan ia akan mengeluarkan warna merah yang menarik apabila dicampurkan ke dalam minyak masak,'' jelasnya.

Produk yang membuatkan makanan goreng menjadi kurang merbahaya itu menyasarkan pengguna dari golongan pengusaha restoran dan juga katering.

Kekuatan domestik hadapi cabaran operasi luar negara


KUALA LUMPUR 13 Jan. - Syarikat petroleum negara, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menggunakan kekuatan, konsep integrasi dan penyepaduan di peringkat domestik untuk menghadapi cabaran-cabaran dalam operasi di peringkat antarabangsa.

Presidennya, Tan Sri Mohd. Hassan Merican memberitahu, dalam menghadapi risiko beroperasi di luar negara, syarikat itu juga membangunkan kebolehan dan keupayaan sumber tenaga manusia serta meningkatkan daya saing secara berterusan.

''Petronas memilih rakan kongsi atau membentuk usaha sama dengan menawarkan kekuatan dan kemahiran yang telah terbentuk selama beroperasi di Malaysia sebagai strategi di peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kertas kerja bertajuk Memperkasa Ekonomi Ummah Melalui Pemantapan Jaringan Tempatan dan Penerokaan Berkesan dalam Pasaran Global: Persiapan Mendepani Cabaran Baru Ekonomi Dunia pada Kongres Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3) di sini hari ini.

Kongres itu anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) dan Majlis Perundingan Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Kertas kerja beliau dibentangkan oleh Naib Presiden Bahagian Perkhidmatan Korporat Petronas, Ahmad Nizam Salleh.

Mohd. Hassan memberitahu, penerokaan yang dibentuk berdasarkan analisis dan kajian ke atas peluang-peluang meneroka dan berurus niaga yang belum maju, tetapi mempunyai potensi besar untuk membangun.

Katanya, Petronas beruntung kerana kebanyakan negara yang diberi tumpuan tidak menerima pelaburan daripada kuasa-kuasa besar yang mungkin disebabkan oleh faktor-faktor geopolitik.

''Petronas sentiasa sedar bahawa ia haruslah tulus dan ikhlas dalam proses menjalinkan hubungan dengan kerajaan-kerajaan tuan rumah dan cuba mengambil pendekatan yang berbeza daripada syarikat-syarikat minyak gergasi antarabangsa lain.

''Kami mengambil konsep kemakmuran bersama yang telah berjaya menyakinkan kerajaan-kerajaan tersebut untuk memberi peluang kepada Petronas melabur di negara mereka," katanya.

Jelas beliau, semua projek usahasama yang dilaksanakan oleh Petronas dipastikan untuk mendatangkan manfaat dari segi teknologi iaitu mengeksploitasi teknologi dalaman serta teknologi rakan niaga.

Tambah beliau, dari segi pasaran, ia perlu memberi laluan atau menghubungkan Petronas dengan pasaran baru serta memberi akses kepada lebih ramai pelanggan.

''Projek usahasama ini juga dipastikan akan dapat mencipta nilai kepada pihak berkepentingan, meningkatkan kebolehan dan kemahiran organisasi serta perkongsian dari segi sumber, risiko dan meningkatkan kuasa beli," katanya.

Contohi jaringan peniaga Cina seberang laut


KUALA LUMPUR 13 Jan. - Umat Islam perlu memperkasa ekonomi dengan memantapkan jaringan perniagaan dan perdagangan Islam di peringkat tempatan serta antarabangsa.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah sedemikian boleh dilakukan dengan mencontohi konglomerat Cina di seberang laut yang menjadi penyumbang modal terbesar kepada ahli perniagaan mereka di seluruh dunia.

Katanya, konglomerat Cina ini menubuhkan jaringan tidak formal dinamakan bamboo networking (jaringan buluh) berasaskan sikap saling mempercayai antara satu sama lain.

Bamboo networking ini telah menjadi nadi kepada pembangunan ekonomi masyarakat Cina di negara-negara Asia seperti di Singapura, Thailand, Indonesia, Malaysia, Filipina, Vietnam dan China.

''Kebangkitan negara China sebagai kuasa ekonomi dunia juga banyak disumbangkan oleh peranan masyarakat Cina seberang laut terutamanya di Asia Tenggara yang merupakan antara penanam modal utama di negara itu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kertas kerja bertajuk Memperkasa Ekonomi Ummah Melalui Pemantapan Jaringan Tempatan dan Penerokaan Berkesan dalam Pasaran Global: Persiapan Mendepani Cabaran Baru Ekonomi Dunia pada Kongres Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3) di sini hari ini.

Kertas kerja beliau dibentangkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Abdul Rahman Mamat.

Muhyiddin memberitahu, walaupun wujud perbezaan dari segi demografi, budaya dan agama, tetapi konglomerat Cina seberang laut masih berjaya dan umat Islam juga berpotensi untuk melakukan perkara yang sama.

Tegasnya, umat Islam di seluruh dunia berjumlah 1.8 bilion orang yang mana 61 peratus atau 1.1 bilion berada di Eropah, Amerika Utara dan Asia yang merupakan pusat-pusat utama pertumbuhan ekonomi dunia.

''Jumlah umat Islam ini merupakan pengguna utama barangan serta perkhidmatan yang ditawarkan oleh komuniti perniagaan dan perdagangan Islam di samping dapat membuka peluang membina jaringan perniagaan global," katanya.

Beliau memberitahu, industri makanan halal yang dianggarkan sebanyak RM2 trilion (AS$547 bilion) setahun berpotensi menjadi pemangkin kepada pemantapan jaringan global komuniti perniagaan dan perdagangan Islam.

Katanya, apa yang perlu dilakukan ialah mempergiatkan usaha membentuk jaringan kerjasama global yang meliputi aspek pemprosesan makanan, pemasaran, penyediaan modal, penyelidikan dan pembangunan.

Muhyiddin menambah, ahli perniagaan Islam juga perlu memberi penekanan kepada aspek penjenamaan untuk meningkatkan pemasaran produk atau perkhidmatan yang ditawarkan terutama dalam industri halal.

''Penjenamaan ini bukan sahaja menitikberatkan unsur syariah, tetapi termasuk tahap ataupun piawai penyediaan perkhidmatan serta barangan yang bermutu tinggi," katanya.

Berkaitan dengan penyelidikan dan penerokaan dalam industri baru, beliau meminta keutamaan diberikan kepada bidang tenaga alternatif seperti biofuel yang boleh menggantikan petroleum sebagai sumber tenaga utama.