Thursday, January 1, 2009

Penyelidik UPM terima Anugerah Inovasi Penyelidikan


PUTRAJAYA Penyelidik dari Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM) memenangi Anugerah Inovasi Penyelidikan Antara Sektor Awam dan Swasta 2008 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) baru-baru ini.

Mereka ialah Prof. Dr. Mohd. Hair Bejo, Prof. Dr. Aini Ideris dan Prof. Madya Dr. Abdul Rahman Omar yang menjalankan projek penyelidikan bertajuk MyVAC UPM93 Infections Bursal Disease Vaccine.

Ketua kumpulan tersebut, Dr. Mohd. Hair berkata, projek itu merupakan vaksin untuk merawat wabak penyakit jangkitan bursa (IBD) atau gumboro pada ternakan ayam akibat virus IBD yang sangat aktif hingga menyebabkan kerugian lebih daripada RM72 juta setahun di Malaysia.

"Kerugian ini disebabkan oleh kematian tinggi dan kehilangan daya tahan pada ternakan ayam.

"Rawatan bagi IBD tidak berkesan dan penyakit itu hanya boleh dicegah dengan program vaksinasi dan biosekuriti. Dari situ, kami telah mengkomersialkan MyVAC UPM93 IBD sebagai vaksin yang selamat dan berkesan untuk ayam daripada dijangkiti di ladang," katanya.

Beliau berkata, vaksin itu telah lulus kesemua keperluan ujian makmal seperti ujian keselamatan, pembasmian kuman, berulang menjadi aktif dan bebas daripada virus lain.

Dr. Mohd. Hair berkata, kajian membuktikan MyVAC UPM93 IBD selamat, berkesan dan boleh menghasilkan paras antibodi yang tinggi dan melindung ayam.

Katanya, vaksin yang telah berada di pasaran sekarang itu juga tidak menganggu tumbesaran dan prestasi ayam.

Kumpulan tersebut membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM10,000 dan sijil penghargaan.

USIM juara cipta laman web


PADA 16 Disember lalu, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dinobatkan sebagai juara dalam pertandingan Laman Web Kategori institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pada majlis sempena Sambutan Hari Kualiti Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) 2008 menewaskan 19 IPTA yang lain.

Tempat kedua dimenangi oleh Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), manakala tempat ketiga disandang oleh Universiti Putra Malaysia (UPM).

Pasukan USIM pada pertandingan itu diwakili Pengarah Pusat Perkembangan Strategik dan Hubungan Korporat, Prof. Dr. Mohammad Alias, menerima trofi dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi , Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Sebanyak lima kategori dipertandingkan iaitu KPT/jabatan/agensi di bawahnya, IPTA, institut pengajian tinggi swasta (IPTS), politeknik dan kolej komuniti. Kriteria penilaian KPT berdasarkan kriteria penilaian dari Multimedia Development Corporation (MDeC) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).

Majlis yang bertujuan untuk memperkukuhkan nilai-nilai budaya kualiti dan memberi pengiktirafan terhadap usaha-usaha meningkatkan kualiti dan produktiviti agensi di bawah kementerian telah dirasmikan oleh Mohamed Khaled, sekali gus melancarkan tagline baru KPT iaitu Meneraju Kegemilangan Ilmu.

Mahasiswa UUM lawat China



Mahasiswa UUM bergambar kenangan sebelum berlepas ke Tanah Besar China.

SERAMAI 57 mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM), telah berangkat ke Tanah Besar China pada 27 November lalu dalam program Eksplorasi Intelek dan Budaya Ke China yang dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) universiti itu.

Program 10 hari yang berakhir 6 Disember lalu bertujuan memberikan pendedahan kepada mahasiswa UUM tentang kemajuan dan perkembangan negara tersebut dalam aspek pendidikan, ekonomi mahupun sosial.

Pengarah Projek, Nor Arlene Tan Khalid memberitahu, lawatan mereka juga bertujuan meneroka aspek kebudayaan masyarakat China yang mempunyai penduduk paling ramai di dunia dengan jumlah populasi mencecah lebih 1.3 bilion.

"Walaupun ia dilihat sebagai sebuah negara komunis, tetapi China kini menunjukkan kemajuan luar biasa dan banyak mendominasi dalam aktiviti perindustrian.

Arlene berkata, lawatan itu juga bertujuan mempromosikan UUM sebagai sebuah universiti yang bertaraf antarabangsa.

Selain melawat ke tempat menarik seperti Tembok Besar China, kilang perindustrian, kumpulan yang turut disertai pelajar antarabangsa ini juga membuat kunjungan ke Kedutaan Malaysia di China dan beberapa buah universiti antaranya Universiti Tsinghua dan Universiti Nankai.

Mereka juga mengambil kesempatan melawat ke perkampungan Islam (Muslim Hui) di Chang Zhou.

Majlis pelancaran dan pelepasan peserta disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Canselori, Mohd. Zaini Nasri di Foyer Canselori.

UiTM Kelantan perkenal pengajian pertanian


MACHANG 29 Dis. - Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan merancang untuk memperkenalkan pengajian baru dalam bidang pertanian bagi membantu membangunkan sektor tersebut di negeri ini.

Pengarahnya, Prof. Datuk Dr. Hussin @ Mohamad Ab. Rahman berkata, bidang pengajian itu dimulakan tahun depan di kampus tersebut bagi melahirkan modal insan yang dapat membantu menjana ekonomi negeri yang berteraskan kepada pertanian.

"Teras pengajian asal UiTM Kelantan ialah dalam bidang pengurusan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta seni reka.

"Untuk melangkah ke hadapan kita merangka bidang berorientasikan pertanian yang akan meneroka bidang seperti perkayuan, perhutanan dan peladangan.

''Ia disebabkan kita mahu membantu negeri ini yang ekonominya berteraskan pertanian," katanya di sini hari ini.

Hussin berkata, ia juga dirangka memandangkan sehingga kini masih tiada IPTA yang menawarkan kursus dalam bidang pertanian di negeri ini.

Katanya, perancangan itu juga dibuat bagi membantu orang Melayu yang tinggal di kawasan kampung membangunkan tanah mereka yang terbiar.

"Ia adalah cabaran kepada universiti untuk membantu penduduk kampung membangunkan tanah terbiar.

"Tanah terbiar boleh dijadikan sebagai sumber pengajian, jadi dengan kemudahan infrastruktur di kampus UiTM di Machang dan Jeli ia memberikan kita kelebihan untuk meneroka dalam bidang berkenaan," katanya.

Menurut beliau, universiti tersebut juga mengharapkan bantuan serta kerjasama daripada agensi pertanian seperti Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan Institut Penyelidikan dan Pertanian Malaysia (MARDI).

"Kalau ada kerjasama dengan agensi pertanian di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani ia amat bagus, satu langkah strategik dalam membantu membangun generasi muda di desa yang terabai," katanya.

10,000 pelajar China di Malaysia tahun ini

BEIJING 25 Dis. - Jumlah penuntut dari China di Malaysia dijangka melebihi 10,000 orang pada tahun ini, melonjak 30 peratus kedatangan pelajar baru, kata Kaunselor Pendidikan Kedutaan Malaysia, Chuah Chee Meng.

Beliau berkata, kira-kira 4,000 kemasukan baru dijangka antara Januari dan Oktober menjadikan jumlah keseluruhan 9,081 berbanding 5,962 orang tahun lepas.

Tiga suku daripada jumlah penuntut baru ini berdaftar dengan institusi swasta, katanya kepada Bernama di sini.

''Keseluruhan angka tersebut untuk tahun ini akan meningkat lagi kerana ada lagi kemasukan pada Disember dan saya jangkakan bilangan ini akan bertambah kepada 10,300 orang,'' katanya.

Peningkatan ini disebabkan krisis kewangan global, nilai yuan yang lebih kukuh dan promosi Malaysia sebagai destinasi pendidikan yang dijalankan oleh Unit Pendidikan kedutaan ini dan institusi pendidikan swasta di China yang menawarkan program berkembar dan kursus asas.

Chee Meng berkata, lebih ramai remaja China memilih Malaysia untuk tujuan ini kerana mereka boleh mendapatkan pendidikan berkualiti dengan kos yang munasabah malahan ini juga menarik siswazah baru mengikuti program ijazah lanjutan atau kursus lain di negara itu.

''Dengan kemelesetan ekonomi, ramai penuntut China bimbang mereka tidak dapat buat kerja sambilan untuk menampung kos yang tinggi jika mereka ke negara maju.

''Juga, ramai penuntut di sini yang tidak dapat tempat di universiti mereka sendiri kerana persaingan yang hebat,'' kata beliau.

Warganegara China merupakan kumpulan kedua penuntut asing terbesar di Malaysia selepas Indonesia.

Antara Januari dan Oktober tahun ini, jumlah penuntut China di institusi pengajian tinggi awam meningkat dengan mendadak kepada 2,189 orang daripada 598 tahun lepas sementara bilangan di institusi pengajian tinggi swasta ialah 6,892 orang berbanding 5,364 pada tahun lepas.

Pertandingan ceramah:Dr Zaghlul menang 'lawan' gurunya

Ustaz Zainudin Hashim ustazzain@harakah.net.my

"Kepetahan menyampaikan ceramah dengan gaya bahasa yang indah di samping menguasai hujah-hujah daripada al-Quran dan hais Nabi Muhammad s.a.w., pada mulanya beliau menolak tawaran itu kerana menyedari salah seorang gurunya di sekolah itu menyertai pertandingan yang sama, walau bagaimanapun nazir berkenaan tetap mahukannya menyertainya kerana alasannya bahawa guru berkenaan bukan mewakili sekolah tetapi atas tiket individu, akhirnya belaiu bersetuju dan mendapat tempat pertama sementara gurunya berada pada kedudukan yang ke-42."

Sesungguhnya Gerakan Ikhwan Muslimun bukan sahaja mendapat tempat di kalangan mereka yang bergelar ulama kerana pendekatannya secara langsung menyeru manusia untuk memahami hakikat sebenar penciptaan mereka, malah menarik minat golongan para saintis, pakar-pakar ilmu fardu kifayah dan lain-lain.

Kejayaan ini sebenarnya adalah disebabkan jiwa pengasas Ikhwan itu sendiri iaitu Imam Syahid Hasan al-Banna yang begitu akrab dengan Allah SWT, meletakkan segala kepentingan agama mengatasi kepentingan peribadi, justeru tidak mustahil, usahanya untuk mengembalikan kemuliaan Islam yang tercemar pada zaman hayatnya diterima banyak pihak melainkan mereka yang memang sudah sudah bersarang pelbagai penyakit dalam hati-hati mereka.

Latar belakang kelahiran dan keilmuan Dr Zaghlul

Dr Zaghlul an-Najjar dilahirkan pada 29 Rejab 1352H bersamaan 17 November 1933 di wilayah al-Gharbiah, Mesir. Datuknya seorang tokoh ulama yang bertugas sebagai imam masjid di kampungnya, menghafaz al-Quran ketika usia masih kecil kerana bapanya seorang yang terkenal dengan sikap tegas dalam hafazan al-Quran di kalangan anak-anaknya.

Pada usia sembilan tahun, Dr Zaghlul bersama bapanya ke kota Kaherah kerana mahu melihatnya belajar secara formal di salah sebuah sekolah rendah di sana, setelah tamat pengajiannya dinsitu iaitu pada 1946, beliau memasuki sekolah menengah di Syubra dan antara bekas pelajar pertama yang memperolehi kejayaan yang luar biasa hingga beliau ditawarkan oleh nazir sekolah untuk menyertai pertandingan bahasa Arab mewakili sekolah di peringkat kebangsaan.

Pertandingan bahasa Arab itu meliputi kepetahan menyampaikan ceramah dengan gaya bahasa yang indah di samping menguasai hujah-hujah daripada al-Quran dan hais Nabi Muhammad s.a.w., pada mulanya beliau menolak tawaran itu kerana menyedari salah seorang gurunya di sekolah itu menyertai pertandingan yang sama, walau bagaimanapun nazir berkenaan tetap mahukannya menyertainya kerana alasannya bahawa guru berkenaan bukan mewakili sekolah tetapi atas tiket individu, akhirnya belaiu bersetuju dan mendapat tempat pertama sementara gurunya berada pada kedudukan yang ke-42.

Setelah menamatkan alam persekolah, Dr Zaghlul memasuki Fakulti Sains Tulen di Universiti Kaherah, pada tahun kemasukannya di situ, pihak universiti telah membuka jabatan baru di fakulti berkenaan iaitu Jabatan Kajian Geologi, di mana terdapat salah seorang pensyarahnya berbangsa Jerman telah mendorongnya supaya memasuki jabatan berkenaan.

Selama empat tahun di situ, pada 1955 Dr Zaghlul berjaya meraih kedudukan pertama keseluruhan pelajar dalam bidang kaji bumi (geologi), sepatutnya beliau dipilih untuk mengisi jawatan penolong Dekan di fakulti berkenaan, tetapi perlantikannya dibatalkan kerana beliau terlibat dalam tunjuk perasaan bersama persatuan pelajar yang anti kerajaan.

Pada 1972, Dr Zaghlul memperolehi ijazah Sarjana Sains dengan kepujian di universiti yang sama sebelum melanjutkan pelajaran di peringkat Ph.D di Universiti of Wales, Britain dan berjaya mendapat kedudukan Zamalah /fellowship setelah menamatkan pengajiannya di situ.

Kerjaya dan kepakaran dalam bidang sains

Dr Zaghlul memulakan kerjaya atau kariernya di salah sebuah syarikat petroleum cari gali Sahara dan mengemukakan teori melalui kertas kerjanya yang lengkap bagi mengeluarkan hasil minyak mentah di Sungai Nil, namun pendapatnya itu ditolak oleh pengurusan syaraikat setelah mendapat nasihat daripada pihak berkuasa kerana beliau bukan sahaja disifatkan sebagai pembangkang, malah dipecat daripada syarikat berkenaan.

Menurut Dr Zaghlul, kajian yang telah dibuatnya sebelum itu adalah untuk kebaikan semua pihak, bukan sahaja syarikat yang akan dapat untung besar, malah pekerja dan negara juga akan terkenal dengan teknik baru yang diperkenalkan, tetapi atas dasar politik, pihak berkuasa menurutnya sanggup menolak bulat-bulat kajian dan pendapatnya.

Pengalaman akademik dan jawatan yang disandang

Selain bertugas sebelum ini dengan syarikat petroleum di Mesir, Dr Zaghlul pernah bertugas di Syarikat Cari gali dan Fosfat Sinai, Pensyarah Sains Geologi di Universiti Ain Syams Kaherah, Pensyarah King Fahd Universiti di Riyadh, Universiti of Wales, Britain, Universiti Kuwait, Qatar kemudian Syarikat Petroleum dan Galian King Fahd di Zahran dari 1978-1996, menjadi Profesor jemputan di Universiti Of California (Los Angeles) pada sesi 1977-1878, Penasihat Pengajian Tinggi Sekolah-sekolah di Arab Saudi antara tahun 1996-1999, Pengarah Universiti al-Ahqaf di Yaman 1999-2000, Pengarah Pengajian Tinggi Mark Field di Britain pada 2000-2001, Ketua Biro Kemukjizatan Ilmu Sains dalam al-Quran di Majlis Tertinggi Hal Ehwal Islam Mesir sejak tahun 2000 hingga sekarang.

Menganggotai zamalah Akademi Sains Islam yang beribu pejabat di negara teluk, haim pertandingan sains antarabangsa yang berlangsung di Jepun, pengasas Jabatan Geologi di Universiti Riyadh, Kuwait, Arab Saudi dan pernah menyelia 35 tesis peringkat M.A dan Ph.D dalam bidang Geologi di Mesir, Semenanjung Tanah Arab, dan Amerika Syarikat.

Anugerah sains yang diterima

Penglibatan Dr Zaghlul dalam dunia Sains tidak menghalangnya menyertai Gerakan Ikhwan Muslimun yang berpengkalan di Kaherah, Mesir. Namun hatinya tetap dengan alam akademik terutamanya Sains yang menajdikan tersohor bukan sahaja di dunia Arab, malah di Amerika dan Eropah terutamanya Britain. Anugerah yang diterima sepanjang terlibat dengan ilmu sains :


1- Orang pertama menerima ijazah penghargaan Sains Kementerian Pendidikan Mesir pada 1951. 2- Orang pertama menerima Ijazah Penghargaan Sains Kaji Bumi dari Universiti Kaherah pada 1955. 3- Menerima ijazah penghargaan penyelidikan sains dari Universiti of Wales pada 1963 dan 1967. 4- Menerima Fellowship Universiti of Wales pada 1963. 5- Menerima ijazah penghargaan kajian terbaik petrol di persidangan negara-negara Arab pada 1970 dan 1972. 6- Menerima ijazah pada persidangan atom, nukleur, kaji bumi di Geneva pada 1967 dan Rome pada 1970. 7- Menerima sijil penghargaan Persatuan Saintis Mesir. 8- Menerima pelbagai anugerah pingat dan penghargaan dalam ilmu sains dari beberapa negara seperti Kuwait, Qatar, Arab Saudi dan lain-lain. 9- Menerima ijazah kehormat Presiden Sudan dan pingat penghargaan pada persidangan antarabangsa seni dan sains moden pada 2005.

Sepanjang penglibatan Dr Zaghlul dalam dunia Sains, beliau telah banyak menghasilkan hasil-hasil karya tersebut dan menghubungkannya dengan mukjizat al-Quran bagi memandu manusia untuk kembali kepada Allah SWT.-azm

(Sumber rujukan ; http://www.marefah.com/mouk1.asp, www.ar.wikipedia.org/wiki) _
Iklan Teks

Perak beri dermasiswa RM 3.3 juta untuk 550 pelajar miskin

Ekmal Yusoff

IPOH , 1 Jan (Hrkh) - Kerajaan Pakatan Rakyat Perak telah menyumbangkan sejumlah lebih RM3 juta kepada pelajar-pelajarnya dari keluarga yang miskin yang melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Pemberian ini sekaligus menyangkal sekerasnya tuduhan pembangkang Umno-BN yang menidakkan usaha kerajaan negeri memberikan bantuan dermasiswa dengan dana yang tinggi untuk anak-anak Perak melanjutkan pengajian di universiti-universiti Islam luar negara.

Demikian ditegaskan oleh Exco Agama, Pendidikan Islam, Wanita dan Kebajikan, Mohd. Zainuddin Mohd. Yusof berhubung tuduhan tidak berasas itu.

Katnya walaupun Pakatan Rakyat baru berusia tidak sampai setahun 'jagung' tetapi tidak sekali mengabaikan tanggongjawab terhadap pelajar-pelajar dari keluarga miskin untuk menyambungkan pelajaran mereka di Universiti-universiti Islam luar negara dengan bantuan dermasiswa mengikut kadar dana mencukupi.

"Kini Kerajaan Perak dalam usaha murni itu telah menghantar seramai 550 pelajar ke beberapa Universiti Islam luar negara dengan dermasiswa sebanyak RM3,325,000.00 demi meringankan beban tanggungan keluarga mereka, katanya kepada Harakahdaily.

Zainuddin menjelaskan pecahan pelajar dan jurusan yang terdiri daripada 25 orang pelajar dalam fakulti Sarjana (Masters), 360 pelajar dalam Sarjana Muda (Mesir), 50 pelajar Sarjana Muda (Indonesia), 50 orang (Jordan), 25 orang dalam Sarjana Muda di negara-negara lain dan 40 menduduki Sarjana Muda Perubatan.

Manakala sumber dana kewanganya, tegas beliau, adalah dari Majlis Agama Islam Negeri Perak melalui bahagian Zakat yang dikutip pada sepanjang tahun dari Umat Islam negeri ini dimana hasilnya amat memberangsangkan bagi digunakan semula dalam pembangunan kehidupan ummah.

Zainuddin menyeru masyarakat Islam yang mampu menyumbang dana dan zakat disamping mendapat pahala yang besar disisi Allah SWT termasuk dapat meningkatkan ekonomi rakyat. - azm _