Sunday, November 16, 2008

Dulu tentera biasa, kini bergelar Datuk



MUSTAPHA AHMAD MARICAN


PENUGASAN sebagai seorang anggota tentera menuntut pengorbanan yang bukan sedikit.

Ini termasuklah pengorbanan dari segi gaya hidup, masa, keringat dan darah. Biasanya, umum menganggap, apabila `terjebak' sahaja ke dalam bidang ketenteraan, kehidupan mereka juga perlu diacu lantas mengorbankan cita-cita lain yang ada di dalam dada.

Berbeza dengan Komander (B) Datuk Mustapha Ahmad Marican, 48, bertugas selama 29 tahun dalam angkatan tentera merupakan suatu kenangan yang indah dan tiada tolok bandingannya.

Beliau mula menyarung pakaian seragam tentera berwarna putih, lambang kebanggaan warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada tahun 1979 di bawah skim anggota lain-lain pangkat (LLP).

Mustapha yang gemar menulis dan berbakat dalam bidang itu pernah dilantik sebagai wartawan pertahanan di Kementerian Pertahanan pada tahun 1993.

Setelah melalui kehidupan selama lebih 10 tahun di dalam TLDM, beliau nyata tidak mensia-siakan semua peluang yang hadir terutama dalam bidang pendidikan melalui skim-skim pembelajaran jarak jauh dan separuh masa yang ditawarkan universiti-universiti tempatan.

Hasilnya, beliau ditauliahkan rangking pegawai TLDM pada 1995 melalui diploma dan kelayakan pendidikan lain yang diperoleh sepanjang perkhidmatannya.

Selepas pentauliahan tersebut, Mustapha berkhidmat sebagai Pegawai Perhubungan Awam (Laut) Kementerian Pertahanan sambil menyandang jawatan Pengarang Majalah Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Lebih membanggakan, beliau merupakan pegawai TLDM pertama yang menyandang jawatan pengarang majalah ATM berkenaan.

Tidak terhenti di situ, Mustapha yang obses mencari ilmu dan mengkaryakannya, meneruskan pengajian di Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada 1996 dalam bidang Pengajian Linguistik.

Setahun kemudian, beliau muncul sebagai pelajar terbaik keseluruhan program berkenaan.

Keupayaan anak jati Kampung Losong Megat Hussain, Kuala Terengganu ini dalam pencarian maklumat dan kecemerlangan, beliau menzahirkannya melalui penulisan perhatian Menteri Pertahanan (ketika itu) pada 1998, Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Kerana itu juga, beliau yang masih memakai uniform TLDM dipinjamkan daripada perkhidmatan ATM untuk membantu Syed Hamid sebagai Setiausaha Akhbar kementerian berkenaan dan berubah menjadi Setiausaha Akhbar Kementerian Luar apabila menteri tersebut bertukar portfolio setahun kemudian.

membantu negara

Semasa di Kementerian Luar, Mustapha menggemblengkan semua ilmu di dada bagi membantu negara memahami situasi politik bumi asing terutama yang sedang bergolak dan di dalam kesusahan.

Beliau kemudian kerap terlibat dengan misi-misi bantuan kemanusiaan di bawah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antaranya di Kosovo pada tahun 2000, Iraq (2001-2002), Timor Leste (2002), Kemboja (2003) dan Vietnam (2003).

Beliau yang cukup rapat dengan masyarakat Melayu di Perkampungan Cham, Kemboja seperti terikat dengan kehidupan di sana dan sering berulang-alik mencari dan menyampaikan sumbangan kepada mereka.

Sumbangannya itu dihargai oleh para pembesar negara tersebut apabila beliau dianugerahkan pingat Gold Medal First Class kerajaan berkenaan pada 2004.

Jasa, sumbangan dan kemahiran Mustapha turut mendapat perhatian pembesar-pembesar tempatan antaranya apabila menerima darjah kebesaran Pingat Jasa Kebaktian (PJK), Ahli Mangku Negara (AMN) dan Jaksa Pendamai (JP).

Pada 12 Oktober lalu, Mustapha menerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk sementara 11 hari kemudian, beliau dianugerahkan pingat Kesatria Angkatan Tentera (KAT) yang dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada TLDM khasnya dan ATM amnya serta kementerian-kementerian lain kerana segala tunjuk ajar dan peluang yang diberikan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurutnya, beliau yang kini bertugas sebagai Ketua Penerangan Persatuan Bekas Tentera Malaysia akan berkongsi pengalamannya dengan bekas-bekas teman seperjuangan untuk terus membangunkan diri masing-masing, bangsa dan agama.

“Jika ingin berjaya dan mencuba pelbagai perkara baru, lakukannya dengan bersungguh-sungguh tidak kira kita ini pegawai atau hanya LLP,” tegasnya.

OSS jimat RM32 juta kewangan negara


PUTRAJAYA 5 Nov. - Pelaksanaan inisiatif Perisian Sumber Terbuka (OSS) oleh agensi dan jabatan kerajaan berjaya membantu menjimatkan kewangan negara sebanyak RM32 juta, termasuk penjimatan RM10 juta bagi projek perintis dan pelaksanaan OSS di 15 buah agensi sejak empat tahun lalu.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan berkata, ia merangkumi RM22 juta yang meliputi penggunaan perisian OPenOffice ke atas 10,682 komputer dan pengunaan 174 produk Pusat Kompetensi Sumber Terbuka (OSCC).

Selain itu, katanya, peningkatan penggunaan OSS mampu meningkatkan perkhidmatan teknologi komunikasi maklumat (ICT), sekali gus membangunkan industri ICT tempatan secara keseluruhan.

''Peningkatan ini mampu menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta membantu melonjakkan negara ke status negara maju dengan lebih cepat.

''Penggunaan OSS juga merupakan penyelesaian alternatif yang lebih kompetitif, saling beroperasi dan menjimatkan perbelanjaan pelaksanaan ICT," katanya pada perasmian Persidangan Perisian Sumber Terbuka Kerajaan Malaysia (MyGOSSCON) 2008 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Datuk Normah Md. Yusof.

Mohd. Sidek berkata, penggunaan OSS boleh dikembangkan bagi meningkatkan perkhidmatan ICT institusi pengajian tinggi awam dan swasta menerusi gabungan bersama sektor awam dan swasta.

Menurutnya, terdapat banyak peluang untuk pakar-pakar perisian tempatan menguasai pengetahuan teknikal serta lebih berinovasi dan kreatif melalui OSS.

Justeru, syarikat-syarikat industri kecil sederhana tempatan seharusnya melibatkan diri secara aktif dalam penggunaan OSS kerana ia mampu membantu meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka.

Sementara itu, Mohd. Sidek mengingatkan agensi-agensi kerajaan supaya mengamalkan budaya berbelanja secara berhemat dengan menjadikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai contoh.

Menurutnya, dalam kehidupan seharian Perdana Menteri turut mengamalkannya dengan memastikan lampu-lampu di kediamannya dipadamkan apabila tidak digunakan.

''Saya berharap kita juga boleh mencontohi perkara yang sama (seperti Perdana Menteri).

''Jabatan dan agensi kerajaan perlu berhati-hati dengan membelanjakan peruntukan secara berhemat, selaras dengan kedudukan ekonomi global yang kurang mantap pada ketika ini," katanya.

Membina industri nuklear untuk tenaga



FADILAH Yusof diberi penerangan oleh Raja Abdul Aziz Raja Adnan (kanan) mengenai model reaktor nuklear ketika melawat pameran, pada majlis perasmian Rangkaian Keselamatan Nuklear Asia (ANSN), di Putrajaya, baru-baru ini. Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datin Madinah Mohamad.


TERMA nuklear seringkali dikaitkan dengan kuasa radioaktif berbahaya yang boleh memberi kesan buruk serta memusnahkan kehidupan.

Tanggapan itu timbul kerana kebanyakan masyarakat tidak menyedari bahawa kuasa nuklear sebenarnya memberi banyak manfaat jika diaplikasikan dengan kaedah yang betul.

Berdasarkan kajian, tenaga yang dihasilkan daripada kuasa nuklear adalah lebih murah dan bersifat mesra alam kerana ia tidak menghasilkan karbon dioksida serta gas beracun.

Namun, bukan mudah untuk mengaplikasikan program loji kuasa nuklear bagi penjanaan tenaga elektrik di sesebuah negara.

Ini kerana, ia mungkin akan menerima tentangan daripada orang awam yang masih tidak yakin dengan keselamatan penggunaan bahan tersebut.

Justeru, untuk meningkatkan kesedaran dan sokongan orang awam terhadap teknologi berkenaan, Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) telah menganjurkan program Rangkaian Keselamatan Nuklear Asia (ANSN) kelapan di negara ini yang pertama kalinya menjadi tuan rumah.

Majlis tersebut yang diadakan pada 20 Oktober lalu dan telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Fadillah Yusof.

Dengan tema ‘Meningkatkan kesedaran umum terhadap keselamatan nuklear’, beliau turut melancarkan laman web ANSN Malaysia sebagai pangkalan data untuk keselamatan nuklear negara.

Program itu dianjurkan bertujuan untuk berkongsi maklumat mengenai infrastruktur keselamatan nuklear dalam aktiviti berkaitan tenaga atom yang dibangunkan di negara-negara ahli ANSN seperti China, Korea, Jepun, Filipina, Thailand dan Vietnam.

Menurut Pengarah Urusan AELB, Raja Datuk Abdul Aziz Raja Adnan, ANSN mempunyai matlamat untuk menyebarkan maklumat mengenai keselamatan radiasi dalam industri nuklear dari pelbagai aspek seperti operasi, analisis, pendidikan, latihan, kecemasan dan pengurusan sisa radioaktif.

“ANSN merupakan platform untuk berkongsi serta bertukar maklumat mengenai keselamatan nuklear secara lebih telus dan terbuka.

“Tujuan utama kita adalah untuk memberi informasi yang lengkap kepada orang awam kerana tidak mahu ada salah faham apabila teknologi ini dilaksanakan kelak,’’ katanya pada perasmian program itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, baru-baru ini.

Setakat ini, terdapat beberapa negara Asia yang telah melaksanakan aktiviti loji kuasa nuklear secara aktif seperti Korea, Jepun dan China.

Untuk tujuan tersebut, banyak faktor dan prosedur telah diambil kira seperti penyelidikan, kawasan pembinaaan, kos, dan sebagainya.

Kebanyakan negara Asia yang terlibat telah menjalankan perkongsian maklumat dari segi rangkaian manusia dan juga sokongan teknikal bidang teknologi maklumat (IT).

Jepun misalnya, telah terlibat dalam aktiviti tersebut sejak tahun 1966 melalui pembangunan berkonsepkan kerjasama antarabangsa.

Setakat ini, sebanyak 60 peratus tenaga yang digunakan di Jepun dihasilkan menggunakan kuasa nuklear di 55 buah lojinya.

Apa yang menarik, bagi menunjukkan komitmen tinggi mereka, kursus dalam bidang nuklear turut ditawarkan di akademi pendidikan selain berkongsi maklumat menerusi program seperti ANSN.

Di Malaysia, AELB merupakan badan yang bertanggungjawab merancang pembangunan industri nuklear sama ada untuk aktiviti perubatan atau bukan perubatan.

Sejak dilaksanakan pada tahun 1985 sehingga 2008, sebanyak 3,176 aktiviti berkaitan industri nuklear telah dilaksanakan membabitkan 832 aktiviti melibatkan bidang perubatan dan 2,344 bukan perubatan.

Menurut Pengarah AELB, Azlina Mohammad Jais, untuk sepanjang tempoh tersebut, tiada sebarang kemalangan atau kejadian radiasi serius dilaporkan berlaku.

“AELB mempunyai lebih kurang 130 kakitangan teknikal dan sokongan yang membantu dalam pembangunan aktiviti industri nuklear.

“Kita juga bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti PDRM, Jabatan Imigresen, Kastam dan juga pihak berkuasa lapangan terbang di seluruh negara untuk memantau pergerakan aktiviti ini,’’ jelasnya.

Kesemua kakitangan AELB diberi pendidikan dan latihan yang mencukupi agar dapat membantu mencapai matlamat mengkomersialkan industri tersebut menjelang tahun 2020.

UiTM cipta kalkulator ramal tanah runtuh



Prof. Dr. Roslan Zainal Abidin bersama Badiah Sujak menunjukkan kalkulator dan carta ukuran tahap risiko tanah runtuh yang dicipta mereka di UiTM Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM 10 Nov. - Pusat Penyelidikan Pencegahan Bencana Antarabangsa (IRCDIP), Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang telah memenangi pelbagai anugerah inovasi antarabangsa sedang mencipta kalkulator khas yang boleh membantu memudahkan pengiraan ramalan kejadian tanah runtuh.

Kalkulator yang pertama seumpamanya di negara ini dan mungkin di dunia dicipta menggunakan perisian Carta RS iaitu carta yang berkeupayaan untuk meramalkan tanah runtuh dengan lebih tepat dengan mengambil kira taburan hujan dan jenis tanah.

Dengan saiz sama seperti mesin kira-kira biasa, kalkulator khas itu dijangka dipasarkan pada penghujung tahun depan dengan harga di bawah RM500.

Pengarah IRCDIP, Profesor Dr. Roslan Zainal Abidin berkata, idea mencipta kalkulator itu tercetus hasil pandangan serta komen yang diberikan semasa IRCDIP menyertai pertandingan peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, ia juga dicipta selepas pihaknya mengambil kira ketepatan dan keputusan pengiraan yang lebih pantas boleh diketahui jika ia siap dibina nanti.

''Kita telah berusaha untuk membina kalkulator ini dan kini perisiannya telah disiapkan.

''Kini, kita hanya menunggu mana-mana syarikat yang berminat untuk memasang cip bagi tujuan pasaran.

''Jika semuanya berjalan lancar, kita menjangkakan kalkulator yang bakal disiapkan pada pertengahan tahun depan ini berada di pasaran pada penghujung tahun," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Roslan memberitahu, pihaknya ada menerima tawaran daripada beberapa buah syarikat di luar negara yang berminat untuk memasarkan kalkulator ini.

Bagaimanapun, kata beliau yang membangunkan kalkulator itu bersama dua penyelidiknya, Badiah Sujak dan Wan Fatmasuriati Yahya, pihaknya akan mengutamakan syarikat-syarikat tempatan sebelum menerima tawaran luar.

''Kita menerima tawaran-tawaran tersebut semasa menyertai British Invention Show (BIS) yang berlangsung di United Kingdom pada 15 hingga 17 Oktober lalu.

''Pada pameran yang sama, Carta RS telah menerima pingat emas yang kedua selepas yang pertama di Pameran Antarabangsa Reka Cipta, Inovasi, Reka Bentuk Industri dan Teknologi (ITEX) ke-19," jelas beliau.

Oasis of the Seas kapal terbesar dan termahal



BEGINILAH suasana di anjung dek kapal yang ruang lingkupnya cukup besar seperti berada dalam sebuah bangunan.


SEBAIK disebut sahaja kapal pelayaran persiaran atau kapal cruise, tentu kita masih terbayangkan mengenai kemewahan kapal dinaiki Leonardo DiCaprio yang memegang watak Jack Dawson dan Kate Winslet sebagai Rose DeWitt Bukater dalam filem Titanic keluaran 1997.

Walaupun kapal yang menjadi kemegahan pembinanya pada 1912 itu tenggelam kerana terlanggar bongkah ais tetapi populariti kapal persiaran sebagai pilihan pelancong terus meningkat kerana kemewahan dan keunikan yang dimilikinya.

Kapal persiaran merupakan kapal penumpang yang digunakan oleh orang ramai untuk menikmati perjalanan di laut menuju ke sesuatu tempat sambil menikmati kemewahan yang ditawarkan di dalam kapal tersebut.

Disebabkan popularitinya, kapal persiaran semakin banyak dibina masa kini sama ada untuk kegunaan di Amerika Utara, Eropah atau Asia Pasifik.

Kapal cruise akan membawa penumpang pergi dan balik ke pelabuhan yang sama, manakala kapal cruise liner akan membawa penumpang dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain.

Kapal liner secara tradisionalnya dibina dengan mempunyai standard yang lebih tinggi berbanding dengan kapal cruise kerana ia kebiasaannya membabitkan pelayaran di lautan yang lebih luas seperti melintasi Lautan Atlantik.

Kapal liner terbesar yang beroperasi pada masa kini ialah Queen Mary II dan Queen Elizabeth II (yang akan menamatkan perkhidmatannya bulan ini).

Manakala, kapal cruise terbesar dunia ialah Freedom of the Seas yang dibina oleh Royal Caribbean International.

Royal Caribbean juga kini sedang membina sebuah lagi kapal cruise terbesar dunia yang akan dilancarkan tahun hadapan dengan nama Oasis of the Seas.

Panjang kapal bernilai AS$1.24 bilion (RM4.34 bilion) itu ialah 360 meter dan boleh membawa penumpang seramai 5,400 orang.

Ia merupakan kapal yang paling mahal pernah dibina dalam sejarah perkapalan dan sudah tentu ia juga lebih panjang, lebar dan tinggi berbanding dengan Queen Mary II.

Ia juga 43 peratus lebih besar daripada kapal cruise terbesar dunia, Freedom of the Seas dan sudah tentu berkali ganda lebih besar daripada kapal armada tentera laut yang boleh membawa pesawat.

Kapal yang dikenali dengan nama kod Projek Genesis itu terbahagi kepad tujuh bahagian dan mempunyai taman tropika yang terbuka.

Kapal tersebut sedang dalam pembinaan di Limbungan Aker, Turku, Finland dan dijangka siap sebelum akhir tahun depan.

Apabila siap kelak, kapal itu akan beroperasi untuk pelayaran persiaran Caribbean dan berpangkalan di Pelabuhan Everglades di Fort Lauderdale, Florida, Amerika Syarikat.

Yang pertama

Oasis of the Seas menawarkan pelbagai ciri-ciri yang pertama kepada penumpang kapal seperti suit para, amphitheater bersebelahan kolam renang dan sebagainya.

Penumpang juga boleh melakukan pelbagai aktiviti lasak menggunakan kabel-kabel yang dipasang merentangi kapal dan juga melakukan rock climbing.

Kapal ini akan mempunyai pekan dengan kehijauannya sendiri dikenali sebagai Central Park yang menawarkan pelbagai kemudahan membeli-belah, menikmati jamuan dan juga hiburan jalanan atau berbentuk konsert.

Bilik-bilik yang terletak pada ketinggian enam tingkat akan mempunyai ruang beranda yang membolehkan penghuninya melihat keindahan taman ini dari atas.

Penumpang boleh membuat pilihan sama ada untuk menikmati jamuan di restoran atau di kafe jalanan. Terdapat pelbagai pilihan restoran seperti restoran masakan Itali, steakhouse dan beberapa jenis bar.

“Kami mementingkan inovasi dan memberikan percutian pelayaran dan pengalaman terhebat untuk penumpang,” kata Presiden dan Ketua pegawai eksekutif Royal Caribbean International, Adam Goldstein.

“Central Park misalnya merupakan satu evolusi dalam rekaan dalam kapal persiaran kerana selain daripada memberikan kemudahan beranda kepada penghuni bilik, ia juga akan menjadi nadi kehidupan pada waktu siang dan malam,” katanya.

Tujuh bahagian

Selain Central Park, terdapat bahagian-bahagian lain dalam kapal ini seperti:

lBoardwalk

Kawasan ini merupakan tempat untuk keluarga berehat atau anak-anak berhibur dengan pelbagai jenis permainan, studio, kedai ais krim dan sebagainya. Tarikan utama di sini ialah AquaTheater yang mana tempat ini akan menjadi kawasan kolam renang dan permainan air pada waktu siang dan menjadi tempat konsert pada waktu malam.

lRoyal Promenade

Geladak persiaran ini akan menjadi tempat untuk penumpang kapal berkumpul sambil berborak dengan dihiburkan oleh hiburan ringan.

Ia juga mempunyai restoran dan lounge untuk berehat dengan pelbagai bar, kelab karaoke, kedai barangan kemas, kedai pakaian dan sebagainya.

lVitality at Sea Spa dan Pusat Kesihatan

Pusat Kesihatan dan Vitality at Sea Spa merupakan tempat penumpang untuk memanjakan tubuh mereka di samping menjalani latihan di gimnasium.

Kemudahan spa akan mempunyai beberapa jenis bilik sama ada untuk seorang atau berpasangan, sauna, bilik wap, spa kanak-kanak dan kafe.

lKolam dan Zon Sukan

Kapal persiaran ini akan mempunyai empat kolam renang dan 10 kolam mainan, termasuk tempat untuk permainan sukan air seperti bola tampar dan sebagainya. Kolam pantai yang dibina dengan konsep seperti berada di tepi laut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan berehat dan payung. Ia juga mempunyai tiga bar berhampiran kolam. Geladak sukan mempunyai pelbagai kemudahan termasuk bermain bola keranjang, rock clombing, mini golf, lungsur air dan sebagainya.

lEntertainment Place

Seperti namanya, tempat ini sememangnya akan menjadi kawasan paling diminati terutama jika kapal tersebut mempunyai persembahan-persembahan menarik. Selain daripada tempat untuk berhibur dan panggung, kawasan ini juga mempunyai tempat untuk orang ramai bermain pelbagai jenis permainan.

lYouth Zone

Bagi mereka yang meminati aktiviti lasak, kawasan ini akan memberikan mereka kepuasan untuk mencabar minda dan tenaga sama ada kanak-kanak dari 3 hingga 11 tahun atau orang dewasa.

atih graduan jadi usahawan ICT


SKALI E Venture Sdn. Bhd. (SEV) merupakan sebuah syarikat berstatus Koridor Raya Multimedia (MSC) yang dimiliki penuh oleh Alam Teknokrat Sdn. Bhd atau juga dikenali sebagai Skali.

SEV berpengalaman selama enam tahun dalam menguruskan dan sebagai platform inkubator termasuk memberikan dana dan memulakan dalam industri ICT menerusi Skali Netpreneur Accelaration Program (SNAP).

Sebagai sebuah syarikat e-perniagaan, SKALI melangkah setapak lagi dengan memainkan peranan sosial bagi melahirkan usahawan tekno di kalangan lepasan universiti.

Salah satu usaha adalah program yang dianjurkan oleh Skali adalah Spike.

Presiden Skali, Aimi Aizal Nasharuddin berkata, perkataan Spike adalah singkatan kepada Skali Pioneers and Innovators in the Knowledge Economy.

“Spike ditubuhkan bertujuan untuk melatih dan membangunkan usahawan teknologi maklumat dan maklumat (ICT) dengan meningkatkan kepakaran graduan dalam pekerjaan bagi memenuhi keperluan industri di masa akan datang,” katanya semasa ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Aimi Aizal berkata, objektif Spike adalah menyediakan graduan sama ada untuk memasuki alam pekerjaan dalam agensi kerajaan atau swasta mahupun menjadi usahawan.

Konsep Spike terdiri daripada tiga fasa.

Fasa 1 merupakan fasa pengenalan mengenai Spike dan Skali akan memberikan penerangan mengenai objektif, misi dan visi Spike.

Semasa fasa ini Skali juga akan memberikan ringkasan mengenai matapelajaran dan modul yang ada dalam program Spike seperti:

l Pengenalan kepada Maklumat Arkitektur (IA)

l Pengenalan kepada NF MX

l Kisah mengenai keusahawanan/ceramah kerjaya.

Ketika itu, pihak Skali akan meneliti Kertas Projek Tahun Akhir (FYP) bagi membangunkan projek dan test bed.

Aimi Aizal menambah, FYP direka bagi membolehkan penuntut mengenali teknologi dan mengamalkan kaedah IA SKALI.

Skali akan memasang NeoFission di universiti dan beberapa institut pengajian tinggi dengan harapan peluang berkenaan akan mencetuskan minat di kalangan graduan untuk mempelajari lebih lagi mengenai pasaran ICT.

Fasa dua pula adalah untuk melatih semua graduan mendalami salah satu daripada tiga kursus yang ditawarkan oleh Spike. Fasa ini terbahagi kepada dua bahagian:

a) Program peningkatan

Pelatih Spike akan menghadiri kelas teori dan praktikal selama tiga bulan.

Bagi memasuki program peningkatan, calon perlu lulus ujian kecekapan dan sesi soal jawab.

b) Program Perintis

Calon yang berjaya dalam program peningkatan akan menyertai program perintis yang mengambil masa 12 hingga 36 bulan.

Pelatih Spike akan melibatkan diri dalam projek yang dianjurkan.

Manakala Fasa tiga adalah untuk mendidik pelatih menjadi usahawan di mana mereka akan dilatih dalam program usahawan seperti pemasaran, aliran tunai dan kewangan, harta intelek dan penjenamaan.

“Pelatih yang berjaya akan menjadi Spiker yang boleh bergerak sendiri dan akan ditauliahkan sebagai usahawan yang secara automatik diiktiraf sebagai rakan kongsi strategik Skali atau francise sama ada sebagai rakan kongsi atau pengedar atau penjual produk dan perkhidmatan Skali,” katanya.

Sementara itu Kursus Latihan formal Spike pula bermula semasa Fasa dua program yang mana graduan berpeluang memilih daripada tiga jenis latihan yang ditawarkan iaitu pengaturcara, sistem IT dan bisnes dan multimedia.

Aimi Aizal berkata, mereka yang berjaya bakal mendapat pekerjaan dengan gaji lumayan, diberi pendedahan mengenai konsep dan strategi e-perniagaan.

“Mereka juga mendapat pengalaman latihan hands-on dan praktikal dalam teknologi laman web, mengurangkan siswazah menganggur.

“Peserta juga didedahkan kepada etika pekerjaan, skil bisnes dan usahawan yang sebenar dan diberi peluang perniagaan sebagai usahawan,” katanya.

Mereka yang berminat dan ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Spike boleh melayari laman web www.spike.com.my

PC berkuasa dan kos efektif



Lenovo ThinkCentre A62


PEMBEKAL teknologi komputer peribadi terkenal, Lenovo baru-baru ini memperkenalkan komputer ThinkCentre A62 dengan tawaran penyelesaian penjimatan kos dan juga prestasi yang stabil.

Dilengkapi pelbagai ciri menarik, komputer tersebut juga menerajui perkhidmatan dan sokongan industri serta bersifat mesra alam sekitar.

ThinkCentre A62 merupakan komputer peribadi terkini yang dilengkapi penyelesaian pengkomputeran perniagaan dengan kos yang efektif.

Menurut Pengarah Negara Lenovo Malaysia, Khoo Hung Chuan, komputer tersebut sesuai diaplikasikan oleh bahagian teknologi maklumat (IT) untuk sesebuah syarikat.

‘‘Komputer ini dibangunkan untuk melengkapkan pelanggan dengan aplikasi komputer peribadi yang mempunyai jangka hayat panjang.

‘‘Ia menawarkan nilai tinggi dari segi prestasi, pengurusan dan tanggungjawab kepada alam sekitar,’’ katanya.

Dari segi fungsi pula, komputer berkenaan membekalkan perkhidmatan yang stabil untuk kelas dan komuniti perniagaan.

Dengan pengendalian mudah, pengguna akan dapat menjalankan kerja-kerja seperti mengurus, mengaudit dan mengemaskini sistem.

Model tersebut turut dilengkapi dengan teknologi ThinkVantage yang dapat meningkatkan produktiviti pengurusan secara efektif.

Ia secara tidak langsung dapat memberi peluang kepada kakitangan IT memberi fokus sepenuhnya kepada isu-isu kritikal yang lain.

Implementasi komponen TVT pada komputer itu juga membenarkan proses membaikpulih dijalankan dalam masa yang singkat tanpa mengganggu sebarang aplikasi atau data.

Apa yang menarik, aplikasi komputer berkenaan juga dapat menjimatkan tenaga sehingga 40 peratus, selain 35 peratus rekaan bahannya boleh dikitar semula.

‘‘Komputer peribadi Lenovo ThinkCentre A62 ini juga mampu memenuhi keperluan organisasi untuk mencapai tahap produktiviti tertentu,’’ jelasnya.

Untuk prestasi grafik pula, ia dimajukan dengan teknologi DirectX10 Onboard yang disokong oleh pilihan DisplayPort4.

Ia juga didatangkan dengan monitor ThinkVision L197w yang dapat menjimatkan kuasa selain tawaran jaminan selama tiga tahun.