Monday, June 30, 2008

Salahkah berbasikal ke Parlimen?

Ahmad Tajdid
Tue | Jun 24, 08 | 3:12:28 am MYT

Selepas puas memujuk rakyat mengubah cara hidup ekoran kenaikan mendadak harga minyak, nada seorang menteri kabinet kerajaan pimpinan Abdullah Ahmad Badawi tiba-tiba berubah.

Semuanya angkara empat Ahli Parlimen KeADILan berbasikal ke Parlimen pada Isnin, 23 Jun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menyifatkan tindakan empat wakil rakyat KeADILan itu sebagai kebudak-budakan yang langsung tidak mencerminkan tahap keupayaan pemikiran anggota Parlimen.

Nazri dilapor Utusan Online mendakwa ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat itu cuba mencari publisiti murahan sedangkan sebagai anggota Parlimen banyak lagi tindakan lebih matang boleh dilakukan bagi membantu kerajaan berhadapan dengan fenomena kenaikan harga minyak global.

�Dahlah kayuh pun setakat dari Bank Negara saja... saya harap kalau sungguh-sungguh sangat, teruslah berbasikal ke Parlimen setiap hari selagi kerajaan tidak penuhi tuntutan mereka (turunkan minyak).

�Jangan setakat kayuh hari ini sahaja, budak darjah enam pun boleh. Pada saya yang penting empat orang ini kena ingat, mereka adalah Ahli Parlimen, ruang tersedia untuk mereka berhujah bagi mengatasi masalah, bukan gimik macam ini.

�Apakah mereka ini ingat kalau dengan kayuh basikal kerajaan boleh turunkan harga minyak?� rungut Nazri kepada pemberita di lobi Parlimen, hari kejadian bersejarah itu berlaku.

Tian Chua (KeADILan-Batu), N. Gobalakrishnan (KeADILan-Padang Serai), Zulkifli Noordin (KeADILan-Kulim Bandar Baharu) dan Hee Loy Sian (KeADILan-Petaling Jaya Selatan) benar-benar mencatat sejarah.

Mereka tidak sepatutnya menjadi 'bahan belasahan' Nazri. Malah jika menteri itu benar-benar berfikiran rasional, beliau sendiri wajar ke pejabat dengan berbasikal untuk sama-sama merasai keperitan hidup rakyat yang semakin merana akibat kenaikan harga minyak dan barangan keperluan harian.

Hina sangatkah naik basikal ke pejabat? Di negara-negara maju khususnya negara-negara Scandinavia, berbasikal untuk ke pejabat bukanlah perkara yang pelik. Tidak payah cakaplah di negara-negara Asia seperti India, Pakistan, Cina, Jepun dan Korea.

Jika Nazri menganggap berbasikal ke Parlimen melambangkan sikap kebudak-budakan, beliau sebenarnya lebih dibuai sentimen daripada memikirkan tindakan itu dari aspek positif.

Apa salahnya kita membudayakan berbasikal ke pejabat? Dan yang patut memulakannya adalah para pemimpin negara yang hanya 'gatal-gatal mulut' meminta rakyat mengubah cara hidup.

Daripada bersesak-sesak dan berhimpit-himpit di dalam bas, komuter, LRT, Putra dan sebagainya, apa salahnya bagi warga kota Kuala Lumpur yang jarak antara rumah dan pejabat sekadar 5km radius menggunakan basikal ke pejabat?

DBKL khususnya perlu memikirkan mekanisme, infrastruktur dan kaedah yang sesuai bagi menggalakkan budaya ini. Ya lah! Kita bukan punyai sistem pengangkutan awam semaju dan seselesa negara-negara maju.

Jika Nazri dan menteri kabinet menggunakan bas, LRT, Putra, komuter dan teksi ke Parlimen, adakah mereka yakin tidak akan sampai lewat ke Dewan Rakyat jika bertolak daripada rumah pada jam 8.00 pagi? Jawablah... Jangan sekadar gatal mulut mahukan rakyat mengubah cara hidup!

DBKL contohnya boleh menyediakan laluan khas berbasikal di ibu kota. Apatah lagi majlis-majlis bandaran di Ipoh, Alor Setar, Pulau Pinang, Shah Alam, Johor Bharu, Kuantan dan jangan lupa Kota Bharu.

Sesekali rakyat mahu melihat YB Takiyuddin Hassan dan YB Husam Musa berbasikal ke Kota Darul Naim. Tak salahkan?

Dalam apa juga aspek kehidupan, soal pendidikan amat penting. Pendidikan berupaya menentukan personaliti dan tabiat manusia.

Jadi apalah salahnya jika kampus-kampus universiti awam memulakan budaya berbasikal ini. Para mahasiswa dan mahaguru di Universiti Putra Malaysia (UPM) yang dikenali sebagai 'Green Campus' sepatutnya boleh berbasikal di dalam kampus. Keadaan tapografi UPM yang rata dan landai membolehkan basikal dijadikan alat pengangkutan utama paling kurang pun di dalam kampus. Begitu juga di Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia dan lain-lain IPTA dan IPTS.

Tapi janganlah berbasikal di UiTM Shah Alam, nanti separuh pelajarnya akan patah kaki dan tangan kerana brek basikal cepat haus dek keadaan tapografinya yang berbukit-bukau.

Bak kata pepatah, alah bisa tegar biasa, nak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Berbasikal memang boleh diamalkan. Ia bukan idea budak-budak tapi cara paling praktikal untuk mengurangkan kesan kenaikan harga minyak di samping menyihatkan badan.

Nazri perlu memikirkan semula pandangan serongnya tentang basikal. Atau mungkin sejak dari lahir, pak menteri tu dah boleh tunggang motorsikal!_

Saturday, June 28, 2008

Penyelidik UTP cipta biodiesel biji getah

Penyelidik UTP cipta biodiesel biji getah

TRONOH 3 Jan. – Sekumpulan pensyarah Universiti Teknologi Petronas (UTP) hari ini berjaya menghasilkan biodiesel daripada biji getah yang terbukti lebih murah serta lebih berkualiti berbanding biodiesel yang dihasilkan daripada minyak sawit.

Apa yang menakjubkan biodiesel daripada biji getah ini bukan sahaja boleh digunakan di negara yang beriklim panas tetapi boleh digunakan di negara beriklim sejuk tanpa memerlukan pengubahsuaian kimia.

Ketua Pengkaji biodisel daripada biji getah UTP, Mohd. Tazli Azizan, 26, berkata, ini kerana biji getah yang berlambak di negara ini, terbiar dan tidak digunakan langsung di lebih satu juta hektar ladang getah, dapat menghasilkan biodiesel dengan lebih murah berbanding persaingan terhadap minyak sawit dan bahan tumbuhan yang lain.

Beliau berkata, pihaknya mengkaji produk ini sejak tiga tahun lalu, berikutan biodisel yang dihasilkan daripada minyak sawit dianggap terlalu mahal ekoran kenaikan harga komoditi itu di pasaran antarabangsa.

Katanya, daripada kajian yang dijalankan, setiap hektar ladang getah mampu menghasilkan antara 800 hingga 1,200 kilogram biji getah setahun.

Beliau berkata, daripada jumlah itu mengikut jumlah keluasan ladang yang terdapat di negara ini, Malaysia mengeluarkan lebih sejuta biji getah dengan kira-kira 450,000 tan isinya setahun.

‘‘Berdasarkan kajian, setiap sekilogram biji getah dapat menghasilkan satu pertiga atau sebanyak 300 hingga 400 gram minyak biodisel,” katanya kepada Utusan Malaysia di UTP di sini hari ini.

Hasil daripada kajian luar biasa Mohd. Tazli bersama dua lagi pensyarah iaitu Prof. Madya Dr. Suzana Yusup dan Prof. Madya Ir. Abdul Aziz Omar dan beberapa pelajar telah merangkul pingat emas di Pameran Innova Eureka di Brussels, Belgium baru-baru ini.

Beliau bersama pensyarah itu memperoleh pingat emas menerusi Penghasilan Biodiesel Daripada Biji Getah: Dalam Bentuk Transesterifikasi pada pertandingan inovasi antarabangsa itu.

Katanya, proses menghasilkan biodiesel daripada biji getah ini begitu mudah iaitu dengan terlebih dahulu biji getah dikisar halus dan dicampur bahan untuk mengurangkan asid lemak seperti alkohol dan katalis tertentu yang menjadi ramuan khas yang dicipta oleh pensyarah berkenaan.

Beliau berkata, alkohol dan katalis ini bertindak sebagai penapis mengeluarkan minyak daripada biji getah dan selepas itu melalui dua peringkat penapisan.

‘‘Apabila berlaku proses mengurangkan asid lemak maka tindak balas untuk menghasilkan minyak biodiesel berkenaan sudah selesai,” katanya.

Menurutnya, pada masa kini, kos penghasilan di makmal setiap kilogram biodiesel biji getah ini dianggarkan hanya RM2.60.

Mohd. Tazli, pensyarah Jabatan Kejuruteraan Kimia yang berasal dari Mata Air, Perlis itu begitu optimis penghasilan biodisel daripada biji getah ini boleh dikomersialkan dengan lebih serius pada masa depan berdasarkan beberapa maklum balas yang diperoleh daripada beberapa buah negara seperti Australia.

Katanya, pihaknya memerlukan peruntukan sebanyak RM3 hingga RM4 juta untuk membina sebuah loji penapisan biodisel ini.

‘‘Kami menganggarkan setiap 100 hektar ladang getah boleh dibina sebuah kilang berkapasiti sederhana untuk menghasilkan biodisel ini dan kilang ini boleh dibina dalam kawasan ladang getah itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata, apa yang penting sekarang ialah mencari kaedah untuk mengutip biji getah yang bertaburan di ladang bagi mengurangkan kosnya.

‘‘Saya berharap dengan berjayanya pencetusan biodisel ini, penyelidik pokok getah dapat mencetuskan pula bagaimana untuk menambah pengeluaran biji getah dari setiap pokok,” katanya.

Pendidikan percuma

Pendidikan percuma

Oleh: MARZITA ABDULLAH

MENGUKUR kepesatan pembangunan negara terutama pembangunan pendidikan, sememangnya ukuran sepanjang tempoh 50 tahun kemerdekaan memaparkan senario yang menakjubkan.

Mungkin bagi generasi sekarang perubahan itu suatu perkara yang harus berlaku atau ‘biasa-biasa’ seperti yang berlaku di negara-negara jiran.

Namun bagi diri ‘orang lama’ seperti Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang, dahulu dan sekarang dalam konteks pendidikan amat jauh bezanya dan bukan suatu perkara yang datang sendiri tetapi atas usaha banyak pihak.

Perkara utama iaitu izin Allah, diri sendiri, keluarga dan kerajaan memainkan peranan penting dalam pembangunan pendidikan.

Semua orang tahu rata-rata generasi lama berhempas pulas untuk memperoleh ilmu kerana situasi pada masa tersebut yang serba ketinggalan namun suatu perkara yang amat penting adalah kegigihan mereka.

Tidak dapat tidak kekangan yang dihadapi oleh generasi dahulu seperti Zulkurnain perlu dibuat perbandingan untuk generasi sekarang mensyukuri kemudahan yang telah tersedia.

Berasal dari Pasir Putih, Kelantan, Zulkurnain mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Sungai Petai, Pasir Putih pada tahun 1957, namun hanya bertahan dalam tempoh satu tahun kerana jalan yang sering becak.

Maka beliau bertukar sekolah yang hampir dengan rumahnya iaitu Sekolah Kebangsaan Bukit Awang, Pasir Putih bermula dari darjah dua hingga empat.

Jika dibandingkan dengan sekolah pertama, sekolah kedua ini terlalu daif dengan hanya berlantaikan tanah dan beratap nipah yang bocor manakala semua pelajar ditempatkan dalam satu kelas yang besar tanpa mengira tahap.

Tanpa sebarang pengetahuan tentang bahasa Inggeris, malah tidak ada pun mata pelajaran Bahasa Inggeris diajar di sekolah dan guru-guru yang tidak terlatih, hanya berkelulusan darjah enam namun berdedikasi, Zulkurnain terpilih untuk menduduki peperiksaan yang dikenali sebagai ‘Special Malay Examination’ semasa darjah empat.

‘‘Ujian ini menumpukan ujian IQ dan Matematik dan saya bersama dua orang lagi pelajar berjaya dalam peperiksaan tersebut namun kerana tidak tahu bahasa Inggeris maka dalam ujian itu saya diletakkan pada tahun 1B,” katanya.

Bermula saat itu, beliau ditempatkan di sekolah aliran Inggeris di Sekolah Rendah Inggeris Kamil, Pasir Putih tanpa pengetahuan tentang bahasa Inggeris dan bercampur gaul dengan pelajar yang mempunyai latar belakang yang lebih baik daripadanya.

Dahulu, beliau hanya membawa papan batu dan kalam.

‘‘Jarak sekolah kira-kira tujuh kilometer, saya berbasikal ke sekolah, basikal yang dibeli ibu setelah menjual gelang emas, tetapi sepanjang tiga kilometer terpaksa memikul basikal kerana jalan terlalu becak,” katanya.

Semasa tingkatan satu, beliau mendapat bantuan kerajaan melalui Biasiswa Kecil Persekutuan RM20 sebulan.

‘‘Duit ini dimasukkan dalam akaun di pejabat pos dan bukunya dipegang oleh guru dan duit itu saya gunakan untuk membeli peralatan sekolah,” katanya.

Dalam pendidikan, beliau menghadapi hari-hari yang sukar kerana perlu membiasakan diri memahami bahasa Inggeris sementelah semua mata pelajaran diajar dalam bahasa tersebut.

‘‘Guru-guru memang amat dedikasi dan garang, memukul pelajar seperti melempang adalah perkara biasa malah saya pernah diketuk menggunakan pembaris besar sehingga bengkak,” katanya.

Mengimbau kembali pada masa dahulu, beliau dan malah ramai rakan yang hanya mempunyai sehelai baju, seluar dan pelekat untuk ke sekolah.

‘‘Malah baju seragam sekolah itu pun, dibeli semasa Hari Raya jadi bila Hari Raya boleh berbaju baru,” katanya.

Zulkurnain meminati aktiviti kokurikulum pengakap tetapi tidak mampu membeli peralatan pengakap yang ketika itu berharga RM20.

‘‘Membandingkan zaman dahulu dan sekarang, hari ini, saya amat gembira kerana kerajaan meluluskan bantuan pakaian seragam bagi aktiviti kokurikulum kerana saya tidak mahu pelajar sekarang mengalami apa yang saya lalui di mana kemiskinan menghalang saya aktif kokurikulum,” katanya.

Secara umumnya, pada tahun ini, kerajaan melalui Kementerian Pelajaran memperuntukkan sebanyak RM188.8 juta setahun bagi Elaun Pakaian Seragam Unit Beruniform kepada lebih satu juta pelajar miskin di tahap dua sekolah rendah dan kepada 850,000 pelajar di sekolah menengah .

‘‘Sepanjang sekolah bermula dari sekolah rendah hingga sekolah menengah saya jarang ke kantin dan kalau pergi pun hanya untuk melihat apa yang dijual kerana saya tidak mampu,” katanya.

Namun bezanya sekarang, pelajar miskin diberi bantuan makanan melalui Rancangan Makanan Tambahan melalui peruntukan RM276 juta. Setiap pelajar mendapat RM1.20 sehingga RM2.05. Mereka juga diperuntukkan makanan berkhasiat seperti Program Susu Sekolah bernilai RM26.7 juta yang dimanfaatkan oleh 621,773 pelajar.

Bantuan makanan juga diberi kepada pelajar prasekolah melalui Bantuan Makan Khas Prasekolah yang bernilai RM50 juta untuk 171,550 pelajar.

Asrama

Manakala untuk pelajar di asrama, Bantuan Makanan Asrama dinaikkan daripada RM9.50 kepada RM12 menjadikan peruntukan pada tahun ini meningkat kepada RM1.08 bilion berbanding RM665 juta pada tahun lalu.

‘‘Bayaran untuk pelajar di sekolah berasrama disubsidikan, ibu bapa hanya perlu bayar RM1, kerajaan tanggung RM12 bagi setiap pelajar sehari dan peruntukan ini untuk 402,864 pelajar di asrama harian, sekolah berasrama penuh, sekolah teknik dan sekolah agama bantuan kerajaan,” katanya.

Zulkurnain adalah antara pelajar yang cemerlang kerana berjaya melanjutkan pengajian ke tingkatan enam di Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu.

‘‘Bermula tingkatan satu sehingga tingkatan enam Biasiswa Kecil Persekutuan diberi berterusan kepada saya malah dari RM20 semasa di tingkatan satu sehinggalah kepada RM70 di tingkatan enam,” katanya.

Tegas beliau, wang biasiswa banyak membantu memastikan beliau mendapat pendidikan yang lebih baik.

Konsistensi kerajaan memperuntukkan biasiswa melalui Biasiswa Kecil Persekutuan berterusan sehingga hari ini. Tahun ini, kerajaan memperuntukkan RM268.5 juta bagi Biasiswa Kecil Persekutuan, Biasiswa Kelas Persediaan Universiti dan Skim Biasiswa Sukan untuk 320,000 pelajar sekolah menengah.

Kata Zulkurnain, tanpa bantuan kerajaan seperti biasiswa bermula di peringkat sekolah sehingga peringkat PhD beliau tidak dapat belajar mahupun menjadi seperti apa yang ada sekarang.

‘‘Bermula merdeka sehingga 50 tahun hari ini saya boleh melihat perubahan yang begitu besar,” katanya.

Hari ini sekolah di pedalaman mana sekalipun, kerajaan membekalkan elektrik dan air bersih termasuk kemudahan peralatan canggih seperti komputer, Internet serta banyak bantuan lain.

Bagi persekolahan tahun ini sahaja kerajaan memperuntukkan RM3 bilion untuk bantuan tambahan iaitu 78 peratus lebih tinggi daripada peruntukan tahun lalu yang hanya RM1.68 bilion.

Daripada jumlah itu, RM200 juta diperuntukkan kepada Tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin untuk 931,673 pelajar dari Tahun 1 sehingga tingkatan satu. Manakala RM246.9 juta untuk Skim Bantuan Tuisyen (SBT) yang termasuk bantuan makanan kepada 478,778 pelajar SBT.

Malah untuk kemudahan perjalanan pergi dan pulang pelajar dan sebarang aktiviti seperti lawatan, kerajaan memperuntukkan RM9.1 juta bagi Bantuan Perjalanan dan Pengangkutan Murid.

Hari ini kata Zulkurnain, sepatutnya tidak ada si miskin yang tidak ke sekolah disebabkan kemiskinan kerana kerajaan menyediakan pelbagai bantuan.

‘‘Sepatutnya tidak timbul isu itu tetapi isu sebenarnya ialah masalah disiplin dan semangat belajar,” katanya.

‘‘Saya cuba bercerita kepada anak-anak mengenai kehidupan saya tetapi mereka tidak faham dan ini menunjukkan betapa pesatnya perkembangan pendidikan di negara ini dalam tempoh satu generasi,” kata Zulkurnain yang melakarkan setiap pengalaman hidupnya melalui lukisan.

Menurut beliau, jika ada orang meninggalkan negara ini sejak 50 tahun lalu dan kembali semula ke tanah air, mereka akan terkejut dengan perubahan yang melanda negara.

‘‘Keutamaan saya adalah di pedalaman seperti Sabah dan Sarawak kerana saya mahu melihat agar tidak ada siapa yang ketinggalan dalam pendidikan hanya disebabkan kemiskinan,” katanya.

Malah mulai tahun ini Kementerian Pelajaran mengadakan kelas-kelas percuma untuk ibu bapa dalam kalangan Orang Asli supaya hadir bersama anak masing-masing,” katanya.

Pelajar Malaysia terlepas hukuman mati di Mesir

17/01/2008 7:09pm
Pelajar Malaysia terlepas hukuman mati di Mesir

SHAH ALAM 17 Jan. - Pelajar tajaan Malaysia di Mesir, yang dituduh membunuh rakan senegaranya Jun tahun lalu terlepas daripada hukuman gantung sampai mati dalam keputusan perbicaraan di Mahkamah Mesir 14 Januari lalu.

Bagaimanapun, tertuduh yang merupakan pelajar tahun dua, Jurusan Bahasa Arab di Universiti Al-Azhar cawangan Mansourah itu dikenakan hukuman penjara 25 tahun atas tuduhan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Belia dan Mesra Rakyat Selangor, Datuk Abdul Rahman Palil berkata, keputusan tersebut pasti menggembirakan pelajar berkenaan yang selama ini merasakan bakal dijatuhi hukuman gantung sampai mati.

``Saya menerima laporan tersebut melalui kiriman pesanan ringkas (SMS) pegawai kita di sana, pagi ini yang memaklumkan pelajar berkenaan terlepas hukuman gantung.

``Selain itu, saya dimaklumkan, pelajar terbabit juga dibenarkan membuat rayuan bagi mengurangkan tempoh hukuman penjara yang dikenakan ke atasnya," katanya di sini hari ini.

Abdul Rahman enggan mendedahkan identiti pelajar yang berasal dari Dengkil, Selangor dan ditaja oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) itu.

Makan besar mengerat hubungan keluarga

Makan besar mengerat hubungan keluarga

JIKA anda masih belum mempunyai cadangan ke mana untuk membawa ahli keluarga pada cuti sempena Tahun Baru Cina minggu depan, apa kata bawa keluarga mencuba hidangan bufet istimewa di Tropicana Golf and Country Resort.

Terletak di daerah Petaling Jaya, Selangor, destinasi tersebut sememangnya pilihan yang tepat untuk aktiviti sekeluarga terutama untuk menjamu selera.

Siapa yang tidak terpesona melihat keindahan hidangan masakan Cina yang pastinya menjanjikan kelazatan. Tambah melegakan hati terutama buat orang Islam, ia merupakan hidangan 100 peratus halal.

Bersempena sambutan Tahun Baru Cina dan Hari Kekasih tahun ini, Palm Coffee House yang terletak di dalam kawasan rumah kelab ini, mengadakan promosi hidangan yang dinamakan Makan Malam Bersatu Tahun Baru Cina dan Makan Malam Hari Kekasih.

Seperti yang kita semua sedia maklum, Tahun Baru Cina bukanlah sekadar melihat tarian singa dan dentuman mercun, tapi paling utama ialah berkumpul bersama ahli keluarga untuk menikmati hidangan yang dinamakan ‘makan besar’.

Uniknya di negara ini, semua bangsa dapat turut sama meraikan tradisi kaum lain kerana ketelusan serta perpaduan yang terjalin erat antara kaum sejak dulu lagi.

Bagi yang teringin untuk merasai hidangan makan besar Cina, bolehlah memilih antara tarikh 1 hingga 6 Februari ini.

Hanya RM68 untuk dewasa dan RM48 untuk kanak-kanak untuk pilihan hidangan yang pasti memuaskan hati. Antaranya, tiram di atas ais, sashimi, sup sirip yu, gulai kawah ala masakan Cina, Lok Bak ayam dan banyak lagi.

Bufet makan malam bermula pada 7.00 petang dan berakhir pada 10.30 malam. Untuk tempahan boleh menghubungi talian 03-78048888 sambungan 306.

Pokok bantut kegilaan ramai bonsai

Pokok bantut kegilaan ramai


Memiliki sejumlah pokok bonsai menjadikan Fanny Lim puas dengan apa yang dilakukan.


Sejarah bonsai dipercayai bermula seawal 2,000 tahun lalu semasa Dinasti Han di China dan telah dibangunkan dalam bentuk baru di China, Jepun, Korea dan Vietnam.

Pada mulanya, masyarakat Jepun menggunakan pokok-pokok bantut yang ditanam dalam bekas untuk menghias rumah dan taman,

Semasa era Tokugawa, landskap taman menjadi semakin penting dengan pokok-pokok seperti azalea dan maples.

Pokok bonsai paling tua yang masih ada dikatakan dalam koleksi Happo-en (sebuah taman dan restoran eksklusif) di Tokyo, Jepun yang berusia antara 400 hingga 800 tahun.

Salah seorang ahli Persatuan Bonsai Malaysia yang boleh dikatakan sifu tanaman bonsai Fanny Lim berkata, pokok bonsai yang cantik dan menarik perlu memenuhi tiga kriteria utama iaitu umur pokok yang tua, daun yang kecil dan pokok yang tahan lasak.

“Pokok bonsai biasanya dipelihara semasa berusia tiga atau empat tahun ketika ukur lilit pokok sekitar tiga inci,” katanya yang mula bergiat dalam seni bonsai sejak berusia belasan tahun.

Fanny berkata, membuat bonsai merupakan satu kepuasan baginya yang tidak didapati dalam aktiviti-aktiviti lain.

Menurut beliau, aktiviti bonsai boleh menghilang tekanan seharian selepas seharian membuat kerja-kerja di pejabat atau perniagaan.

Fanny yang juga tuan punya Sanfong Bonsai and Art Garden yang terletak di Jalan Semenyih, Selangor memberikan khidmat mengajar membuat bonsai dengan percuma.

“Di sini 40 peratus pembeli terdiri daripada orang Melayu dan mereka boleh belajar membuat bonsai di sini.

“Saya tidak mengenakan sebarang bayaran tetapi mereka perlu melakukan semua sendiri,” katanya yang juga memberikan nasihat mengenai penjagaan pokok bonsai.

Fanny berkata, bonsai biasanya menggunakan pokok berdaun halus seperti asam jawa, kemuning, cucur atap, ara dan melati.

Pokok yang hendak dijadikan bonsai biasanya ditanam di dalam pasu yang kecil agar pertumbuhannya bantut.

Penjagaannya juga mudah, hanya memerlukan banyak air disiram dua kali sehari kerana pokok diletakkan di kawasan yang terdedah dengan cahaya matahari.

Baja pula perlu diletakkan seminggu dua kali bagi mengembalikan nutrien dalam tanah dan dibuangkan daunnya mengikut keperluan. “Pokok yang hendak dijadikan bonsai perlu diuruskan dengan melilit dawai pada dahannya agar mudah dibentuk.

“Selepas selesai dibentuk, dawai akan dibuka setelah empat bulan, pokok dicantas sekali lagi dan dahan dililit dengan dawai semula,” katanya.

Ini dilakukan berkali-kali sehingga pemiliknya berpuas hati dengan bentuk bonsai yang diinginkan.

Memandangkan bonsai mempunyai peminatnya tersendiri, terdapat Persatuan Bonsai dan Suiseki Malaysia yang menganjurkan Pertandingan dan Pameran Bonsai dan Suiseki Kebangsaan setiap tahun.

Pertandingan yang telah diadakan pada 24 hingga 28 Mei lalu menampilkan antara bonsai tercantik dan termahal.

Antara acara yang bakal menarik perhatian pengunjung adalah demonstrasi membentuk pokok bonsai oleh sifu dari Taiwan, esei kanak-kanak mengenai bonsai, ceramah mengenai batu dan penjualan pokok-pokok bonsai.

Mereka yang berminat dengan pokok-pokok bonsai bolehlah meluangkan masa ke sebuah pasar raya besar di Cheras.

UiTM Kelantan anjur sidang perabot antarabangsa

UiTM Kelantan anjur sidang perabot antarabangsa

KOTA BHARU 24 Jun - Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan dan Furniture Industry Technology Centre (FITEC) akan menganjurkan persidangan perabot antarabangsa di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 28 Julai ini.

Pengarah persidangan itu, Prof. Madya Zulkarnain Yusoff berkata, ia akan diadakan selama tiga hari dan dijadual dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Menurutnya, persidangan itu diadakan bagi memberi kesedaran kepada pengusaha industri perabot di negara ini mengenai kepentingan reka bentuk inovatif dan kontemporari dalam usaha menembusi pasaran antarabangsa.

Beliau berkata, persidangan tersebut juga akan membincangkan mengenai strategi pemasaran terkini bagi pasaran perabot global yang begitu kompetitif, kompleks dan mencabar.

"Ia akan dihadiri kira-kira 500 peserta dari dalam dan luar negara dan sempena program itu, kita juga akan mengadakan satu pameran perabot FITEC Showcase," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis UiTM Bersama Media Kelantan di sebuah hotel di sini malam tadi. Hadir sama, Pengarah Kampus UiTM, Datuk Prof. Dr. Hussin @ Mohamad Ab. Rahman.

Zulkarnain yang juga Timbalan Pengarah Kampus Hal Ehwal Akademik UiTM Kelantan berkata, persidangan yang bertemakan mengantarabangsakan reka bentuk perabot akan mengutarakan dua perkara asas iaitu reka bentuk serta pemasaran bagi pengeluaran perabot.

Katanya, ia bertepatan dengan perkembangan yang memberangsangkan eksport perabot negara ini yang dijangka mencatat jualan melebihi RM8.5 bilion pada tahun ini berbanding RM4.36 bilion, 10 tahun lalu.

"Dua penceramah terkemuka akan membentangkan kertas kerja mereka termasuk Karim Rashid, seorang pereka perabot terkenal dunia yang akan mengupas mengenai kepentingan reka bentuk berkualiti.

"Dr. Stefan Wille daripada Aktrin Furniture Information Centre pula akan membincangkan secara terperinci mengenai strategi pemasaran," katanya.

Menurut beliau, secara keseluruhannya, sebanyak 56 kertas kerja hasil penyelidikan akan dibentangkan.