Sunday, November 16, 2008

Calon OKU tekad capai kecemerlangan



sebahagian pelajar cacat penglihatan menduduki SPM dengan menjawab soalan menggunakan Braille di Maktab Sultan Abu Bakar, Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 11 Nov. - Lima calon orang kurang upaya (OKU) yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Maktab Sultan Abu Bakar di sini, bermula hari ini, bertekad memperoleh kejayaan cemerlang.

Tiga daripada mereka mengalami cacat penglihatan, manakala dua lagi rabun.

Biarpun mengakui kekurangan diri, mereka seperti calon-calon normal yang lain turut berhasrat menghadiahkan kejayaan kepada ibu bapa dan guru-guru yang banyak memberi dorongan dan sokongan selama ini.

Seorang calon yang cacat penglihatan, Mohd. Nazri Yacob, 18, berkata, dia sering berdoa semoga dorongan dan sokongan keluarga, guru-guru serta usaha gigihnya selama ini membuahkan hasil yang terbaik.

Menurutnya, kejayaan yang diimpikan itu kelak akan digunakan sebagai pembakar semangat untuk mencapai cita-cita menjadi seorang peguam.

"Semoga doa saya dimakbulkan. Peperiksaan hari ini merupakan langkah pertama untuk mencapai cita-cita berkenaan," katanya yang mengalami cacat penglihatan ketika berusia lima tahun akibat pembedahan membuang ketumbuhan di dalam otak.

Mohd. Nazri berkata, dia tidak menghadapi masalah untuk mengulang kaji pelajaran kerana sudah biasa menggunakan sistem braille, malah dia akan mengulang kaji selama empat jam sehari.

Bagaimanapun, anak ketiga daripada empat beradik itu lebih selesa mengulang kaji bersendirian kerana baginya adalah mudah merangka jadual sendiri.

Bagi N. Tanamala, 18, yang mengalami rabun tahap B2, dia menghadapi masalah ketika belajar di dalam kelas kerana tidak begitu nampak apa yang ditulis oleh guru di papan hitam.

Bagaimanapun, atas bantuan rakan-rakan, dia berjaya memahami apa yang diajar selain mengulang kaji pada waktu malam.

"Dalam banyak-banyak subjek, saya paling suka Sejarah biarpun ia sedikit susah," katanya yang berhasrat menjadi guru Sejarah suatu hari nanti.

Kelima-lima sahabat ini merupakan antara 229 calon yang menduduki SPM di sekolah berkenaan pada tahun ini.

84 calon SPM, STPM SMK Tengku Ibrahim terima sijil graduasi


SETIU 10 Nov. - Seramai 84 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ibrahim yang mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada tahun ini diraikan dalam majlis graduasi di sekolah itu semalam.

Perasmian majlis itu yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Setiu, Datuk Mohd. Jidin Shafee adalah sebagai perangsang kepada pelajar terbabit yang akan menduduki peperiksaan tersebut bermula esok.

Setiap pelajar berkenaan yang memakai jubah graduasi menerima sijil yang disampaikan oleh Mohd. Jidin di dewan sekolah itu.

Pengetua SMK Tengku Ibrahim, Abdullah Mohd. Nor berkata, setiap pelajar yang menerima sijil itu dipilih berdasarkan pencapaian mereka yang mendapat kepujian dalam semua mata pelajaran dalam peperiksaan percubaan SPM baru-baru ini.

''Pelajar STPM yang menyertai majlis graduasi itu pula adalah mereka yang mendapat purata nilai gred kumulatif 2.0 ke atas dalam peperiksaan percubaan STPM," katanya.

Menurutnya, majlis itu adalah salah satu usaha pihak sekolah untuk memastikan para pelajar itu mendapat keputusan yang cemerlang dalam SPM dan STPM yang bermula esok.

Beliau memberitahu, daripada 84 pelajar yang menerima sijil berkenaan, 38 adalah calon SPM manakala 46 adalah calon STPM dan mereka diharap berjaya mengharumkan nama sekolah itu nanti.

Majlis tersebut yang pertama kali diadakan oleh sekolah berkenaan turut dihadiri oleh ibu bapa pelajar.

Ajar Sains, Matematik dalam BM – Rahman


KUCHING 12 Nov. – Tun Abdul Rahman Yaakob berkata kedudukan Bahasa Malaysia (BM) akan terus terpinggir sekiranya subjek Sains dan Matematik diajar dalam Bahasa Inggeris (BI).

Bekas Menteri Pelajaran itu yang bertanggungjawab melaksanakan sistem pendidikan yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pada tahun 1970, berkata Bahasa Malaysia patut dikembalikan menjadi bahasa pengantar bagi meningkatkan peranan bahasa tersebut dalam sistem pendidikan negara.

“BM akan dipinggirkan, tak patut jika (pengajaran dalam BI) diteruskan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah pada Wacana Ilmu: Pembangunan Pendidikan Di Sarawak, hari ini.

Abdul Rahman berkata, isu yang membabitkan pendidikan negara perlu diserahkan kepada pakar pendidikan untuk merancang sementara tugas ahli politik adalah menerima segala cadangan sebelum sesuatu dasar pendidikan diperkenal dan dilaksanakan.

Beliau yang juga bekas Ketua Menteri Sarawak dari 1970 hingga 1981 dan Yang Dipertua Negeri Sarawak selama lima tahun bermula 1981, berkata sekiranya sesuatu keputusan berkaitan sistem pendidikan negara dibuat oleh golongan bukan benar-benar pakar dalam bidang tersebut, ia mungkin gagal mencapai objektif yang dikehendaki.

Semasa ceramahnya yang dianjurkan Institut Aminudin Baki, Abdul Rahman berkata, tindakan menggunakan BI merupakan tindakan mundur ke belakang dan bukan ke depan.

APEX cabaran paling besar warga USM


KOTA BHARU 5 Nov. - Pengiktirafan Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai universiti berstatus Program Pemacu Untuk Kecemerlangan (APEX) merupakan cabaran paling besar perlu dipikul oleh warga USM.

Timbalan Pengarah Kanan (Pengurusan) Hospital USM, Mohd. Sayuti Wan Ismail berkata, ia menuntut warganya agar membuat lonjakan transformasi untuk bersaing di peringkat global dan menempatkan diri dalam kelompok 100 universiti terbaik dunia dalam tempoh lima tahun.

''Ia memerlukan pengorbanan dan komitmen tinggi daripada warga USM supaya cita-cita ini tercapai," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Sains Makmal Perubatan Kebangsaan Kali Ke-2 di sini semalam.

Persidangan tiga hari itu dihadiri 112 peserta dari seluruh negara, terdiri daripada juruteknologi makmal perubatan dan pegawai sains termasuk pegawai penyelidik dari hospital dan pusat-pusat pengajian tinggi awam.

Persidangan itu dianjurkan oleh Persatuan Sains Makmal Perubatan, Kampus Kesihatan USM.

Katanya, usaha ke arah memartabatkan profesion Sains Makmal Perubatan di peringkat negara dan antarabangsa adalah selari dengan kedudukan dan status USM sebagai sebuah universiti penyelidikan.

Menurut beliau, persidangan ini dapat menyatukan idea kalangan ahli profesional mengenai kepakaran masing-masing dalam pelbagai disiplin Sains Makmal Perubatan.

Di samping itu katanya, ia dapat mendedahkan mereka kepada teknik dan penemuan baru yang berkaitan dengan bidang tugas dan tanggungjawab mereka.

Katanya, bidang Sains Makmal Perubatan sangat penting dalam diagnosis sesuatu penyakit dan hasil diagnosis dapat membantu para doktor dalam memberikan rawatan terbaik serta tepat kepada para pesakit.

Empat penjenayah Indonesia ditembak mati



MAYAT empat penjenayah warga Indonesia di atas jalan selepas mati ditembak oleh anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Seremban di Jalan Seremban-Labu berhampiran pejabat Kualiti Alam Sdn. Bhd., Seremban, semalam. – Gambar MD.SHAHJEHAN MAAMIN


SEREMBAN 16 Nov. – Empat penjenayah warga Indonesia yang diburu polis kerana terlibat kes samun dan rompakan bersenjata ditembak mati dalam satu kejadian di Jalan Seremban-Labu di sini pagi ini.

Mereka dipercayai terlibat dengan 24 kes samun di sekitar Seremban, Nilai, Labu, Mantin, Selangor dan Melaka pada tahun ini, selain rompakan bersenjata di Selangor serta Melaka.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh berkata, keempat-empat mereka yang menaiki kereta Proton Satria bertindak menyerang polis dengan parang menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri pada pukul 6 pagi di kawasan tersebut.

Menurutnya, 10 das tembakan dilepaskan mengenai kesemua penjenayah yang berusia 20-an itu yang juga didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

“Pergerakan kumpulan penjenayah itu telah diintip di kawasan tersebut sejak awal lagi dan apabila menyedari kehadiran polis, mereka cuba memboloskan diri tetapi terbabas kerana kereta mereka merempuh pembahagi jalan di kawasan tersebut.

“Ketika itulah mereka keluar dari kereta untuk menyerang polis menyebabkan polis terpaksa bertindak balas.

“Kita memang memburu mereka dari dulu lagi dan akan meminta bantuan polis antarabangsa (Interpol) untuk mengetahui sama ada mereka merupakan penjenayah bermusim di Indonesia,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Osman memberitahu, semua mayat suspek dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk bedah siasat.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati Proton Satria nombor pendaftaran JEE 1396 itu adalah kenderaan curi, selain itu polis turut merampas tiga bilah parang, pisau, pemotong besi, pemutar skru, mesin ketam elektrik dan masing-masing sebuah komputer riba, telefon bimbit serta kamera digital.

Jelasnya, polis turut menemui dadah jenis syabu dan pil eramin 5 dalam kereta dan pada mayat penjenayah terbabit.

Pesona Serama


Oleh Ziauddin Sharuddin
zia@bharian.com.my




Ayam terkecil dunia pandai menonjolkan diri dan memikat hati kini mempunyai nilai komersial, tersohor di seluruh dunia

AYAM serama disifatkan sebagai suka menunjuk-nunjuk. Jika ada kamera dan limpahan cahaya lensa, ayam ini segera mengangkat dada dan meluruskan ekor tegak ke atas hingga 90 darjah serta mengibas kedua-dua kepak.

Perwatakan dan gaya istimewa ayam serama menyebabkan Ahmad Fauzi Mohamed, jatuh cinta kepada ayam terkecil di dunia itu.


Walaupun Pengarah Urusan Serama Corporation Sdn Bhd, sudah lama mengetahui ayam ini, cintanya terhadap ayam serama baru berputik ketika berada di Kota Bharu, Kelantan, kira-kira lima bulan lalu.

Mengapa ayam serama? Inilah haiwan yang benar-benar berasal dari Malaysia. Haiwan lain seperti harimau dan badak juga ada di negara lain. Orang Utan juga tidak boleh dikaitkan sepenuhnya dengan negara ini.

Ayam serama sebenarnya diiktiraf dunia luar sebagai milik Malaysia. Pelbagai pihak di Amerika Syarikat mengiktiraf ayam serama berasal dari negara ini.

Ahmad Fauzi asyik melayan dua ayam serama kesayangannya yang pantang melihat air. (Gambar bawah) Reban ayam serama dua tingkat yang cantik dan bersih.

Ini yang menyebabkan Ahmad Fauzi yakin ayam serama mampu menjadi ikon kepada Malaysia kerana haiwan ini tidak terdapat di negara lain.

Usaha menjadikan ayam serama sebagai ikon Malaysia, katanya perlu dipertingkatkan kerana sesetengah negara Eropah bangga dengan baka ayam yang hanya ada di negara masing-masing. Malah, Perancis menjadikan ayam sebagai menjadi lambang negara itu.

Minat terhadap ayam serama mendorong Ahmad Fauzi, melakukan penyelidikan dan terkejut apabila mendapati bilangan ayam ini hanya tinggal kira-kira 3,000 ekor dan boleh dianggap menghampiri kepupusan.

Beliau melayari internet untuk mendapatkan maklumat berkaitan ayam serama, tetapi tiada laman web tempatan berkaitan ayam ini dan tidak ada panduan mengenai cara menternaknya.

“Melalui internet, saya mendapati pemeliharaan ayam serama berkembang di Eropah dan Amerika Syarikat. Malah, ada pertubuhan ayam serama dengan laman web masing-masing, iaitu Serama Council of North America dan World Serama Federation,” katanya.

Perkembangan menggalakkan di dunia luar mendorongnya bertekad mengubah kaedah penternakan ayam serama yang sebelum ini dilakukan secara tradisional.

Bermula dengan empat ekor yang dibawa dari Kelantan lima bulan lalu, ayam serama yang diternaknya di belakang rumahnya di Ampang Jaya, untuk tujuan pameran dan penyelidikan, kini mencecah kira-kira 300 ekor.

Beliau membuat penyelidikan sendiri untuk menternak ayam serama secara moden berbanding amalan tradisional yang tidak produktif.

Memanfaatkan pengalaman sebagai jurutera maritim, Ahmad Fauzi, membuat sendiri reban dua tingkat dan menggunakan kaedah penternakan moden bagi meningkatkan pengeluaran ayam serama berkualiti tinggi.

“Penternakan dilakukan secara sistematik. Ayam diberi campuran dedak mengandungi vitamin. Reka bentuk reban sesuai dengan pembesaran haiwan ini dan melindungi dari angin dan hujan melampau yang menyebabkan penyakit.

“Menternak ayam serama tidak cerewet jika aspek kebersihan dan pemakanan diberi perhatian rapi,” katanya.

Katanya, ayam betina hanya bertelur kira-kira lima biji telur setiap tiga bulan atau kira-kira 20 biji setahun.

“Telur yang dikutip setiap hari dikumpul setempat selama tujuh hari dan kemudian dimasukkan dalam mesin inkubator selama 21 hari. Selepas menetas, anak ayam dimasukkan dalam satu kotak yang dinamakan set induk palsu.

“Kotak itu berfungsi seperti ibu ayam yang memanaskan badan anaknya. Selepas 30 hari, anak ayam dimasukkan ke reban biasa,” katanya.

Dalam operasi harian, pegawai veterinar dibantu pekerja biasa menukar makanan dan air, membersihkan najis, memeriksa inkubator dan ayam. Setiap minggu, ayam dimandikan dan dilatih untuk menyertai pertandingan dan setiap bulan, kuku dipotong dan diberi ubat cacing.

Semua proses ini direkodkan dan jauh berbeza berbanding kaedah tradisional, ayam dilepaskan begitu saja serta mengabaikan aspek kebersihan dan pemakanan.

Selain itu, Serama Corporation menjalankan penyelidikan untuk melakukan permanian beradas bagi menghasilkan ayam serama berkualiti tinggi dan dijangka hasil kajian diketahui pertengahan tahun depan.

Harga ayam serama boleh mencecah RM80,000 seekor

AYAM serama lebih dikenali kerana kecantikan menyebabkan dibela hanya untuk tujuan menyertai pertandingan dan sekadar hobi.

Pengarah Urusan Serama Corporation Sdn Bhd, Ahmad Fauzi Mohamed, berkata penternakan ayam serama mempunyai potensi besar untuk diterokai kerana permintaan amat besar sedangkan pengeluaran ketika ini masih rendah.

Dari segi harga, katanya ayam serama yang menjuarai pertandingan boleh mencecah hingga RM80,000 seekor dan secara purata harga ayam ini adalah antara RM40,000 hingga RM50,000 seekor.

“Hanya orang kaya mampu memiliki ayam begitu. Ini tidak menghalang peminatnya sejauh Thailand, Indonesia dan Filipina datang untuk membelinya.

“Pengeluaran terhad menyebabkan orang biasa hanya mampu melihat. Tetapi keadaan ini mampu diubah jika pengeluaran kecil-kecilan sekarang digantikan dengan kaedah penternakan komersil,” katanya.

Kekurangan yang ada, katanya diisi Serama Corporation yang kini mempunyai ladang ayam serama di Pengkalan Chepa, Kelantan dan bakal membuka ladang seluas 1.6 hektar di Ulu Yam, Selangor, tahun depan.

Selain pertandingan, Ahmad Fauzi berkata, ayam serama berpotensi dieksport ke luar negara, terutama China yang melihat ayam serama sebagai bahan ubatan tradisional dan daging eksotik.

Katanya, saiz ayam serama selepas dibersihkan sesuai diletakkan dalam pinggan dan tidak perlu dipotong berbanding ayam biasa.

Dari segi harga, katanya penternak tidak perlu bimbang kerana pengeluaran telur yang sedikit menyebabkan ayam serama bersifat eksklusif.

Ahmad Fauzi mengakui bahawa minat orang ramai di negara ini terhadap ayam serama pernah melonjak tinggi pada suatu ketika, tetapi merudum akibat amalan tidak beretika sesetengah peniaga.

“Ada peniaga menjual ayam serama yang sebenarnya ayam katik dan ayam kampung. Ini mengecewakan orang ramai kerana ayam serama mempunyai ciri istimewa yang tidak ada pada ayam lain,” katanya.

Bagi menyemarak minat orang ramai terhadap ayam serama, katanya Serama Corporation membuka ruang pameran di Pasar Seni Kuala Lumpur pada setiap Sabtu dan Ahad, bermula 15 November.

Katanya, anak ayam serama berumur antara 45 hingga 60 hari akan dijual dengan harga antara RM250 hingga RM350 sepasang (dua ekor) berbanding harga sebenar yang mencecah antara RM800 hingga RM1,000.

Bagaimanapun, katanya usaha memajukan penternakan ayam serama sebagai industri memerlukan sokongan kerajaan melalui pelbagai agensi berkaitan penyelidikan, pembiayaan dan promosi dalam negara dan antarabangsa.

Pada masa sama, katanya mereka yang hendak menceburi penternakan ayam serama perlu berminat dan tekun.

FAKTA: AYAM SERAMA

  • Dipercayai berasal dari Kelantan.
  • Dipercayai hasil kacukan pelbagai burung eksotik, termasuk burung hutan.
  • Dikatakan nama serama berasal dari nama Seri Rama dan pada mulanya adalah haiwan peliharaan di istana.
  • Jangka hayat antara tujuh hingga 15 tahun
  • Berat ideal adalah 500 gram ke bawah dengan saiz adalah satu pertiga dari ayam biasa.
  • Ciri istimewa adalah ekor lentik, berdada tegak dan kepak lurus ke bawah
  • Mempunyai kira-kira 2,000 warna
  • Menjadi haiwan peliharaan kerana jinak, manja dan mengenali tuannya.
  • Haiwan ini mempunyai gelagat menarik seperti berjalan mengundur ke belakang.
  • Masyarakat Melayu percaya haiwan ini mempunyai khasiat perubatan.


PENILAIAN AYAM SERAMA

  • Jenis - Ciri utama ialah kepala melunjur ke belakang, bahagian belakang pendek, kepak menegak dan ekor panjang, penuh dan apabila berkembang, tidak menyentuh balung. Kedudukan tengah mata sama dengan kedudukan tengah kaki ketika berdiri.

  • Perwatakan - Kelihatan gagah, berani dan yakin. Lagak suka menonjol seperti berkokok dan suka berdiri.

  • Ekor - Saiz besar, menegak dan tinggi. Bulu pelepah ekor utama panjang, melentik di penghujung dan berkembang seperti bentuk V. Lawi (ayam jantan) menegak 90 darjah dan sedikit melentik ke belakang di penghujung.

  • Kepak - Ketika berdiri, kepak ayam dalam posisi menegak tetapi sedikit menghala ke belakang. Hujung kepak bersentuhan sedikit dengan lantai.

  • Badan - Tegap dan bulat. Dada ayam lebih luas dari bahagian belakang apabila dilihat dari atas. Dari tepi, badan berbentuk V. Belakang ayam pendek dan lebar di bahagian bahu.

  • Kaki - Tidak begitu rapat dan selari. Panjang sederhana dan seimbang dengan saiz kepak. Paha berotot dan sederhana panjang. Taji di bahagian tengah betis, keras, kecil dan menghala ke belakang kaki.

Sunday, October 19, 2008

Kesabaran mengundang kejayaan


Seronok Belajar Oleh Dr Ismail Zain


KAWAL diri anda daripada menonton rancangan TV yang boleh menjejaskan tumpuan terhadap peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada September ini. - Gambar hiasan


RAMAI murid yang mungkin sudah tidak sabar lagi menunggu menjelangnya hari peperiksaan. Ramai juga yang merasakan diri mereka ini ”terkurung” atau ”terikat” kerana tidak dapat bertindak atau melakukan perkara-perkara yang mereka minati seperti menonton televisyen (TV), mendengar lagu atau bersantai dengan rakan-rakan.

Sememangnya tindakan seperti di atas sepatutnya dihindari agar murid-murid dapat memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap peperiksaan. Oleh itu kesabaran amat diperlukan agar diri kita terkawal serta mampu memfokus perhatian kita sepenuhnya ke arah pembelajaran.

Dalam proses mengawal diri inilah murid-murid akan terasa begitu perit untuk melaluinya. Murid-murid akan terasa seolah-olah mengalami satu kerugian yang besar apabila rancangan TV yang diminati itu tidak dapat ditonton, atau laman-laman web bercorak hiburan tidak dapat dilayari. Pengalaman begini adalah satu perkara biasa terutamanya menjelangnya peperiksaan.

Sebenarnya keinginan seumpama ini adalah keinginan hasil daripada desakan hati yang tidak mampu menerima cabaran. Apabila disebut cabaran bermakna situasi atau kesukaran yang menguji diri dan tindakan kita untuk membuat sesuatu yang menguntungkan ke arah penyelesaian.

Individu yang sanggup menerima cabaran adalah mereka yang sanggup menahan hawa nafsu dalam usaha menentukan tindakan atau bertindak balas secara rasional. Mereka mengamalkan budaya murni ini dengan membuat perancangan yang rapi agar masa yang terluang ini tidak disalahgunakan atau dibiarkan berlalu dengan sia-sia sahaja.

Oleh itu, murid-murid sewajarnya mengambil langkah yang positif dalam proses mengimbangi diri kita sepanjang masa. Sebagai contoh, murid-murid harus memenuhi masa lapang anda dengan tindakan yang menjurus ke arah persiapan menghadapi peperiksaan. Aktiviti-aktiviti santai atau yang seumpamanya, harus dihentikan secara sukarela tanpa dipaksa. Kesedaran inilah yang menjadi satu cabaran buat diri anda.

Seperit mana sekalipun cabaran yang sedang dan akan anda lalui, namun berkat kesabaran, kesungguhan dan kegigihan anda itulah yang menjanjikan kejayaan. Kejayaan tidak datang bergolek tetapi kita harus berusaha dan usaha itu tidak akan menghampakan anda. Setiap usaha pasti akan berjaya.

Akhirnya murid-murid haruslah banyak bersabar serta laluilah segala cabaran dengan semangat yang kuat, hati yang cekal dan harapan yang tinggi.