Tuesday, September 9, 2008

Ramadan peluang mengislah diri



Ustaz Zainudin Hashim

Umat Islam seluruh dunia wajib bersyukur kerana masih lagi berkesempatan pada tahun ini menikmati kehadiran bulan Ramadan yang ditunggu-tunggu, kerana kedatangannya membawa seribu makna yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.

Iklan

Apapun Ramadan memang benar-benar menjanjikan yang terbaik berupa amalan-amalan, yang bukan sahaja tidak dijanjikan pada bulan-bulan lain selainnya, malah setiap amalan itu pula diganjari dengan pahala yang berlipat kali ganda. Ia bertujuan untuk menggalakkan umat agar suka beribadat untuk mencari keredaan Allah SWT.

Ditambah pula dalam Ramadan terdapat 'Lailatul Qadr', tadarus al-Quran, tazkirah, sesi berbuka puasa dan sahur, qiamullail, iktikaf, pengeluaran zakat fitrah, sedekah, penyediaan juadah berbuka puasa untuk orang yang berpuasa, bersolat jemaah pada solat lima waktu, bersegera melakukan kebaikan dan banyak lagi merupakan amalan-amalan yang boleh melonjakkan prestasi seorang individu Muslim itu kepada Allah SWT.

Bayangkan, bahawa Rasulullah s.a.w. ada menegaskan dalam sebuah hadisnya yang diriwayatkan oleh Salman al-Farisi maksudnya, setiap amalan sunat seseorang Muslim itu pada bulan Ramadan dianggap sebagai satu amalan fardu, dan amalan fardunya pula diganjari hingga 700 pahala, ia bertujuan menggalakkan kepada semua agar bersungguh melakukannya dan meraih pahala daripada allah SWT.

Kaedah bagi melakukan pengislahan diri pada bulan Ramadan

* Iringkan diri anda sentiasa bersama niat yang suci untuk melakukan pengislahan diri sepanjang bulan Ramadan.

* Persiapkan diri anda dengan perancangan rapi untuk berubah dan sentiasa raikan perancangan tersebut.

* Paling utama yang perlu anda lakukan ialah pulihkan hubungan baik dengan Allah, jadikan Ramadan tahun ini sebagai langkah permulaan ke arah itu dengan sentiasa memerhatikan segala kekurangan yang telah anda lakukan terhadap-Nya dalam segenap tindakan beribadat sebelum kehadiran Ramadan.

* Jadikan Ramadan tahun ini untuk bertekad melakukan solat fardu pada awal waktu secara berjemaah di masjid atau surau, sama ada ketika berada di rumah atau di pejabat.

* Mulakan tekad untuk bertadarus al-Quran, bukan sahaja dalam bentuk bacaan, malah meneliti ayat-ayatnya yang terdiri daripada arahan, larangan, janji syurga dan neraka, pahala dan dosa, mengenai hukum-hukum Allah yang wajib dilaksana, ayat-ayat gembira, sedih, ancaman dan sebagainya bagi membangkitkan rasa tanggungjawab untuk menjadikan diri sebagai hamba Allah yang kerdil di sisi-Nya, kerana al-Quran adalah kitab Allah yang abadi hingga ke akhir zaman.

* Berjanji di hadapan Allah untuk menjadi hamba-Nya yang baik, dengan melakukan amar makruf dan nahi mungkar.

* Menjadikan pelaksanaan solat fardu lima waktu sebagai pemangkin kepada meninggalkan perkara-perkara terlarang, sepertimana yang ditegaskan Allah dalam al-Quran, ia dapat dilakukan melalui penghayatan terhadap segenap bacaan yang terkandung dalam ibadat tersebut.

* Bertekad untuk melakukan 'taubat nasuha' iaitu dengan niat dan berazam untuk meninggalakan segala kejahatan, tidak mahu mengulanginya semula, bersahabat dengan orang-orang yang boleh meningkatkan keimanan kepada Allah SWT, kerana setiap satu kesalahan walaupun kecil bentuknya, jika ia dilakukan, sesungguhnya ia telah mengundang kemarahan Allah, menggembirakan syaitan, menjauhkan diri anda daripada syurga, mendekatkan diri kepada neraka, menyebabkan Rasulullah s.a.w. sedih di dalam kubur, menyakiti para Malaikat, mengkhianati seluruh makhluk yang ada di muka bumi ini.

* Layani kedua-dua ibu bapa dengan baik dan sopan khususnya pada bulan Ramadan, ia juga termasuk menghormati golongan yang lebih tua daripada diri anda seperti abang, kakak, para guru dengan ungkapan yang boleh membangkitkan rasa hormat terhadap mereka.

* Berbuat baik terhadap jiran tetangga, kawan-kawan, saudara mara, mohonlah kemaafan atas kesalahan yang pernah anda lakukan terhadap mereka, bukan tunggu menjelangnya awal Syawal.

* Hadiri majlis-majlis tazkirah yang boleh membangkitkan kesedaran dan tanggungjawab terhadap agama.

* Carilah keaiban diri sendiri untuk melakukan pengislahan dengan bersungguh-sungguh, kerana sepanjang Ramadan adalah waktu yang palin sesuai untuk melakukannya, janganlah biarkan Ramadan berlalu tanpa melakukan perkara yang terbaik buat diri anda sendiri.

* Tinggalkan tabiat buruk menjelang Ramadan seperti suka melewatkan solat fardu, melepak, tidak suka berkunjung ke masjid atau surau.

* Hormati bulan Ramadan dengan menutup aurat dengan sempurna lebih-lebih lagi jika anda seorang Muslimah, kerana orang yang tidak menghormati bulan Ramadan dengan menjaga maruah dan harga dirinya tidak mungkin akan diberi syafaat (recommendation) Rasulullah s.a.w. untuk masuk syurga pada hari Kiamat.

Yang penting, pengislahan diri yang mahu anda lakukan itu pada bulan Ramadan, janganlah terhenti dengan kedatangan bulan Syawal, kerana Allah SWT bukan sahaja ada pada bulan Ramadan, malah sepanjang bulan, sepanjang masa Dia memerhatikan kita.

Mudah-mudahan Ramadan tahun ini adalah yang terbaik untuk kita persembahkan ke hadrat Allah SWT. Ingatlah saudara-saudari, umur kita semakin hari semakin meningkat tua, perhatikan sepanjang kita hidup yang sudah pun mencecah puluhan tahun dengan memakan rezeki Allah.

Apa yang telah kita lakuan untuk agama-Nya dari sudut sumbangan, jasa bakti seperti yang pernah ditonjolkan oleh pasa sahabat baginda sebelum mereka meninggal dunia. Sama-samalah kita fikirkan. - lanh/mks.

Langsing di bulan puasa cara Oriva



lella wati abd. Kadir menunjukkan langkah-langkah penggunaan set pelangsingan Oriva. Minum satu sachet Oriva Diet Plus yang dicampur dengan air suam atau air oren.


Bagi yang mahu mengurangkan berat badan, bulan puasa adalah masa yang paling sesuai untuk memulakan usaha ini kerana Ramadan memberi peluang kita mengurangkan pengambilan makanan di samping pembersihan badan secara menyeluruh.

Langkah perlu dilakukan cukup mudah iaitu hanya dengan menjaga pemakanan, melebihkan pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran dan minum banyak air, sekurang-kurangnya satu liter sehari, khususnya air masak.

Presiden Oriva Profesional Beauty Marketing (M) Sdn. Bhd., Lella Wati Abd. Kadir berkata, bagi mendapatkan tubuh yang langsing di samping menjalankan ibadah berpuasa, produk pelangsingan Oriva yang dihasilkan daripada ramuan semula jadi dan tumbuh-tumbuhan boleh membantu.

Menurutnya, disarankan pada waktu sahur, pengguna mengambil satu sudu Aloe Vera Gel bagi menyegarkan tubuh dan menambahkan tenaga baru serta menstabilkan suhu tubuh diikuti dengan satu sachet Oriva Diet Plus bagi membantu rasa kenyang dan agen pembakar lemak serta disusuli dengan meminum Oriva Cafe atau Choco Drink Plus bagi memberi tenaga.

Menurutnya, bagi berbuka pula, dicadangkan mengambil Aloe Vera Gel dengan kordial kurma madu sebelum sembahyang. Selepas sembahyang Maghrib, ambil Oriva Diet Plus kemudian barulah boleh memakan makanan berat.

“Pada waktu pagi selepas mandi, pengguna perlu menyapu Body Reforming Gel di bahagian yang bermasalah seperti di depan dan belakang lengan, perut dan pinggang, pinggul dan punggung, depan dan belakang paha serta tempat yang berselulit.

“Urut perlahan-lahan selama dua hingga tiga minit sehingga meresap. Ini akan membantu menurunkan berat badan dan mengurangkan sakit sendi.

“Pada sebelah malamnya iaitu sebelum tidur, patut diamalkan menyapu Body Contour Gel. Sebelum sapu, ukur terlebih dahulu di bahagian yang bermasalah. Sapukan secara mengusap perlahan-lahan dan biarkan kering dan meresap.

“Setelah sejam kemudian, ukur semula di tempat tadi dan lihat perbezaannya. Ia bertindak sebagai pembakar lemak,’’ katanya ketika ditemui di Wangsa Melawati, Selangor, baru-baru ini.

Lella yang telah menceburi bidang kecantikan ini sejak tahun 2000 lagi yakin sekiranya pengguna mengamalkan set produk pelangsingannya itu, berat badan yang diidamkan akan dicapai.

Jelasnya, bagi rancangan pengurusan berat badan pada hari biasa iaitu bukan bulan puasa, Oriva menyarankan supaya pengguna mengamalkan langkah seperti berikut:

Sarapan pagi
- Minum satu sudu Aloe Vera Gel
-Ambil satu sachet Oriva Diet Plus yang dicampur dengan air suam

Selepas setengah jam
- Ambil satu gelas air kosong atau teh o panas
- Sekeping roti atau bijirin
- Sepotong epal hijau/oren/belimbing

Minum pagi
- Dua gelas air kosong x 250 ml

Makan tengah hari
- Ambil satu sachet Oriva Diet Plus yang dicampurkan dengan satu air suam

Selepas setengah jam
- Ambil satu gelas air kosong
- Satu hidangan buah prun/anggur /tembikai /betik

Minum petang
- Dua gelas air kosong x 250 ml

Makan malam
- Ambil satu sachet Oriva Diet Plus yang dicampurkan dengan satu gelas air suam

Selepas setengah jam
- Satu hidangan tembikai/betik/epal hijau/timun
- Minum satu sudu Aloe Vera Gel
- Ambil empat biji Oriva Cleanse (diambil pada pukul 10 malam setiap tiga kali seminggu)

Katanya, yang memiliki Diploma Confederation of International Beauty Therapy and Cosmetology dari London, dalam menjalankan perniagaan ini, beliau selalu mengamalkan prinsip tidak mudah putus asa dan selalu reda dengan sesuatu yang terjadi serta mengutamakan pelanggan.

“Saya mahu pelanggan mendapat produk yang terbaik dan berkualiti, justeru itu, setiap produk yang ditawarkan akan dicuba oleh saya sendiri. Saya bukan seperti orang lain yang menjual produk tetapi tidak menggunakan produk tersebut. Saya mahu kepuasan yang tidak terhingga diperoleh oleh pelanggan.

“Contohnya, produk pelangsingan betul-betul memberi kesan kepada saya kerana dahulu berat saya 60 kilogram (kg) tetapi dengan menggunakan produk tersebut telah turun kepada 42kg hingga sekarang.

“Selalunya, penurunan berat badan akan berlaku dalam tempoh dua minggu selepas menggunakannya tetapi ia juga bergantung kepada metabolisme seseorang,’’ katanya penerima anugerah Usahawan Mara tahun 2006 dan anugerah Belia Wilayah Persekutuan Malaysia 2006.

Bagi yang berminat boleh mendapatkan set pelangsingan Oriva serendah RM89 hingga RM265 dengan menghubungi 03-41492005.

Puasa kembalikan manusia ke alam fitrah



Dr Osman Nasir
Wed | Aug 27, 08 | 1:31:24 pm MYT

Kita akan menghadapi bulan puasa dalam bulan Ramadhan yang mulia yang jatuh pada bulan September ini. Sesungguhnya pada bulan ini lah kita akan kembali kepada alam fitrah yang semula jadi jika kita puasa mengikut sunnah Rasulullah s.a.w.

Iklan

Pada ketika kita mengamalkan puasa itulah kita akan melakukan beberapa ibadah yang menyesuaikan diri kita dengan alam kejadian kita.

Amalan puasa yang bermula dengan sahur waktu malam dan berbuka waktu Maghribnya memakan masa lebih kurang tiga belas jam.

Masa itulah yang sebenarnya diperlukan oleh tubuh untuk menghadam makanan keseluruhannya. Makanan yang masuk ke dalam perut itu akan dihadam menjadi sel, darah, otot dan lain-lain.

Inilah sepatutnya kita lakukan hari-hari tetapi dalam keadaan sebenarnya dalam tabiat kita makan sehari-hari kita makan banyak kali �sarapan, makan pukul sepuluh, makan tengah hari, makan dan minum teh petang dan makan malam � di mana belum pun sempat proses penghadaman berlaku sepenuhnya makanan dimasukkan ke dalam perut terus menerus sehingga proses penghadaman terganggu.

Ini menyebabkan makanan yang tidak sempat dihadam akan diketepikan sahaja dan membusuk di dalam perut dan usus. Gas pun terkumpul dan gas ini menyebabkan kita sakit perut, sakit kepala dan bila gas dan toksid naik ke permukaan kulit di muka maka jerawat timbul, kelumumur dan macam-macam lagi.

Maka puasa di siang hari sebenarnya kembalikan kita ke alam fitrah di mana kita telah mendisiplin diri kita makan ikut fitrah dan ini sesuai dengan sains perubatan.

Ketika berbuka, hendaknya jangan kita makan banyak cukup sekadar minum segelas air dan makan kuih sedikit atau makan sedikit kurma.

Kemudian kita tunaikan solat Magrhrib. Setelah itu minumlah sedikit demi sedikit setiap setengah jam hingga waktu jam sebelas malam barulah makan yang berat sedikit.

Kalau kita terus makan dengan banyaknya ketika berbuka ianya akan menyebabkan perut menjadi terkejut dan mengalami sakit. Bila kita hendak memulakan perjalanan dengan kenderaan kita tidak memulakan enjin dengan kuat tapi dalam keadaan perlahan-lahan sebelum melajukan kenderaan. Begitu juga dengan tubuh kita.

Begitu juga ketika kita bersahur jangan makan banyak sangat. Ketika kita puasa disiang hari tubuh kita akan menghadam makanan yang kita makan ketika bersahur.

Kalau kita makan banyak maka banyaklah kerja alat penghadaman kita maka kita akan menjadi tersangat letih kerana kekuatan tenaga akan tertumpu pada penghadaman sahaja. Sedangkan disiang hari kita perlu juga terus bekerja mencari nafkah untuk diri dan keluarga.

Solat fardu

Dan sudah tentu kita mesti menunaikan solat-solat fardu yang lima waktu. Kalau pada hari dan bulan lain dari Ramadhan kita lakukan solat tapi tidak regular maka pada bulan Ramadhan lakukanlah dengan penuh semangat tanpa ponteng.

Pada orang yang tidak solat dia tetap akan membasuh muka dan tangan sekejap-kejap untuk merasa nyaman bekerja maka waktu solat sudah tentu kita akan membasuh muka dan lain-lain kawasan tubuh kita; maka dengan sendirinya kita telah merasa nyaman, bersih dan membersihkan diri kita dari dihinggapi jutaan kuman pada kulit kita yang terdedah. Tambahkan pahala kita dengan solat-solat sunnat rawatib.

Solat tarawih

Pada malam harinya kita solat tarawih atau nama sebenarnya solatullail. Pada siang hari dengan kikta berpuasa maka perjalanan darah agak 'slow' sedikit maka dengan kita solat terawih kelancaran perjalanan darah menjadi laju sedikit dan kembalikan kita kepada edaran darah yang normal.

Sesungguhnya solat tarawih sepatutnya dilakukan setiap hari, tarawih pada bulan Ramadan adalah sebagai latihan kepada bulan-bulan yang lain.

Mengaji al-Quran

Kita digalakkan membaca al-Quran pada setiap malam Ramadan sebagai latihan kepada membaca al-Quran setiap hari di bulan-bulan selain Ramadan.

Bila kita membaca al-Quran kita mencipta gelombang suara, secara automatik kita mencas kuasa elektrik-magnetik di dalam diri kita, mata kita bergerak, otot-otot muka bergerak, leher kita bergerak, telinga bergerak untuk mendengar bacaan kita itu, 'MAKA JADILAH KEPALA KITA SEPERTI KOTAK SUIS ELEKTRIK' atau seperti komputer yang diberi isiannya.

Inilah satu daripada kebaikan membaca al-Quran setiap hari, tetapi hari ini kita perhatikan amalan bacaan al-Quran tidak lagi menjadi amalan seharian umat Islam. Kalau ada pun mereka menyimpan kaset atau CD al-Quran sahaja.

Kalau di rumah kita baca dengan anggota keluarga kita dan ini akan rapatkan hubungan antara ibu bapa dan anak-anak. Di peringkat masyarakat membaca atau bertadarus di surau dan masjid akan merapatkan ukhuwah Islamiyah di kalangan penduduk.

Orang yang puasa dengan sendirinya mendisiplinkan dirinya dengan tidak makan dan minum di siang hari, menjauhkan perkara maksiat dan lain-lain perkara mungkar.

Dan dia bersama-sama jutaan umat Islam seluruh dunia melakukan puasa ini .Gambarkan keadaan suasana puasa, buka ,sahur dan melakukan ibadah solat tarawih dan tadarus al-Quran di seluruh dunia oleh umat Islam � alangkah indahnya suasana ini.

Maka sesungguhnya dengan ibadah puasa manusia telah kembalikan dirinya ke alam fitrah. - mks. _

Jakarta rampas RM454j harta Suharto


JAKARTA 29 Ogos - Kerajaan Indonesia merampas aset bernilai AS$134 juta (RM454 juta) dari sebuah firma yang mempunyai kaitan dengan keluarga bekas Presiden Suharto, kata seorang menteri Kabinet, hari ini.

Menteri Kewangan, Sri Mulyani Indrawati berkata, tindakan terbaru itu merupakan satu lagi langkah tegas oleh kerajaan bagi mengekang penguasaan dinasti bekas Presiden tersebut.

Menurut Sri Mulyani, Bank Mandiri diarahkan untuk memindahkan wang 1.225 trilion rupiah itu dari akaun Timor Putra Nasional milik anak bongsu Suharto, Hutomo Mandala Putra atau Tommy ke sebuah akaun kerajaan bagi "menyelamatkan wang negara".

Wang itu dirampas selepas Timor gagal menjelaskan hutang beberapa bank kerajaan selepas krisis kewangan 1997.

Peruntukan besar Sabah, Sarawak

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Timbalan Perdana Menteri berkata, peruntukan besar yang diberikan kepada Sabah dan Sarawak dalam Bajet 2009 bertujuan mengecilkan jurang pembangunan antara Semenanjung Malaysia dengan kedua-dua negeri itu.

Menurut Datuk Seri Najib Tun Razak, langkah itu juga selaras dengan janji dan komitmen kerajaan selama ini untuk membawa lebih banyak pembangunan ke negeri-negeri tersebut.

''Rata-rata Ahli Parlimen dari negeri itu juga menyarankan supaya kerajaan melihat keunikan Sabah dan Sarawak terutama daripada segi saiz keluasannya dan tahap pembangunannya yang rendah serta kadar kemiskinan yang tinggi.

''Oleh itu adalah menjadi hasrat kerajaan untuk mengecilkan jurang pembangunan antara Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau mengulas pembentangan Bajet 2009 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menyaksikan peruntukan besar untuk kedua-dua negeri tersebut.

Selain program pembasmian kemiskinan, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan sebanyak RM580 juta untuk Sabah dan RM420 juta bagi Sarawak dalam usaha meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup rakyat kedua-dua negeri itu.

Friday, September 5, 2008

Agong yakini BN – PM *Abdullah perjelas ura-ura pembangkang tubuh kerajaan 16 Sept.


PUTRAJAYA 5 Sept. – Cubaan pakatan pembangkang menyebarkan khabar angin mengenai pembentukan kerajaan baru melalui tindakan lompat parti telah pun dimaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, khabar angin mengenai pembentukan kerajaan oleh pakatan pembangkang pada 16 September itu ditimbulkan ketika beliau menghadap Seri Paduka baru-baru ini.

Menurut Abdullah, Tuanku Mizan menyatakan rasa gembira dan yakin dengan kewibawaan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam menguruskan pentadbiran negara dan membaiki kualiti hidup rakyat pelbagai kaum.

Abdullah memberitahu, beliau menyembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa kerajaan BN mempunyai tanggungjawab dan mendapat sokongan padu daripada rakyat untuk meneruskan agenda pembangunan negara.

“Tuanku gembira dengan apa yang kita lakukan, Seri Paduka ucapkan selamat berjaya,” kata Perdana Menteri kepada pemberita selepas membentangkan Laporan Separuh Tahun 2008 Pasukan Petugas Khas Pemudah Cara Perniagaan (Pemudah) di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Adalah menjadi rutin Abdullah pada setiap Rabu untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara sebelum mesyuarat Jemaah Menteri bagi memaklumkan perkembangan semasa politik dan ekonomi negara.

Mengenai isu lompat parti itu yang digembar-gemburkan, beliau berkata: “Saya dengar banyak khabar angin bahawa akan berlaku lompat parti pada 16 September ini.

“Saya pasti (lompat parti) 16 September tidak akan berlaku... orang kita (Ahli Parlimen BN) tidak akan meninggalkan kita.

“Kita tidak akan beri peluang untuk mereka (pembangkang) menubuhkan kerajaan pada 16 September.”

Tarikh 16 September dicanangkan oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya sebagai tarikh beliau akan berjaya membawa kira-kira 30 orang Ahli Parlimen BN menyertai Pakatan Rakyat dan seterusnya membentuk kerajaan baru.

Ketika ini, BN mempunyai 140 kerusi di Parlimen, manakala Pakatan Rakyat yang terdiri daripada parti PKR, DAP dan Pas memiliki 82 wakil rakyat. Kelebihan majoriti BN di Parlimen ialah sebanyak 60 kerusi.

Abdullah turut ditanya mengenai tindakan Kelab Penyokong-Penyokong Kerajaan BN (BNBBC) menganjurkan rombongan sambil belajar ke luar negara untuk Ahli Parlimen BN dari 7 hingga 19 September seperti yang dilaporkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris.

Menjawab pertanyaan sama ada tindakan tersebut ada kaitan dengan usaha mengelakkan Ahli-Ahli Parlimen itu daripada dipengaruhi elemen ‘tarikh 16 September', Perdana Menteri berkata:

“Kalau mereka hendak pergi, biarlah mereka pergi... apa nak dihubungkaitkan dengan 16 September.

“Mereka bukannya orang yang nak melompat daripada BN. Bersekongkol dengan parti pembangkang tidak ada dalam niat mereka.”

Abdullah menegaskan: “Kita bukannya kerajaan yang telah kalah. Parti kita masih memerintah kerajaan dan kita mampu jayakan pemerintahan.”

Perdana Menteri memberitahu, beliau juga tidak tahu-menahu tentang perancangan rombongan tersebut dan bukan pihak yang menganjurkannya.

Ditanya jika berlaku perubahan kerajaan pada 16 September nanti, adakah ia boleh ditafsirkan sebagai rampasan kuasa, Abdullah memberi jaminan bahawa khabar angin itu tidak akan berlaku.

Ujarnya, kerajaan BN tidak akan memikirkan ‘sesuatu yang mungkin berlaku’ tetapi memberi tumpuan kepada kerja-kerja untuk menjadikan Malaysia lebih baik termasuk meningkatkan lagi daya produktiviti.

“Saya telah buat banyak pengumuman. Dalam ucapan Bajet 2009, banyak yang boleh dikecapi jika kita bersedia untuk bekerjasama dan menumpukan kepada kerja,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata, BN mempunyai tanggungjawab besar kepada rakyat yang memberikan BN mandat untuk memerintah dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Menurut Abdullah, dalam pilihan raya umum itu, para pengundi telah memberi amaran tentang apa yang tidak menggembirakan mereka, namun mereka juga memberi sokongan yang mencukupi untuk BN menubuhkan kerajaan.

Mengenai sistem penyampaian awam dan perkembangan Badan Pencegah Rasuah (BPR), Perdana Menteri berkata, agensi itu tidak boleh dimajukan dalam sehari.

“Ia memakan masa yang lama. Penyiasat perlu dilatih. Kita tidak boleh cari seorang penyiasat dan minta mereka jalankan tugas sebagai penyiasat. Itu bukan caranya... kita perlu lakukannya secara profesional,” tambah beliau.

Abdullah menambah: “Orang melemparkan pelbagai tuduhan kepada saya, (antaranya) tuduhan konspirasi menyiasat tuduhan rasuah.

“Kita tidak boleh beritahu bahawa semua yang berlaku di sekeliling kita adalah disebabkan konspirasi pihak berkuasa. Ini gila.

“Jika anda salah, maka anda salah tanpa mengira anda berada dalam kerajaan atau pembangkang. Tidak bermakna jika (siasatan) berlaku kepada pembangkang, maka ia adalah konspirasi daripada kerajaan.”

Pelapis ulama PAS 'paling tidak memuaskan

dikemaskini Barisan pelapis kepemimpinan ulama PAS kini berada dalam keadaan krisis – pengetahuan mereka yang berusia bawah 40 tahun "paling tidak memuaskan" dan tertumpu aspek keagamaan sahaja.

"Saya selalu dengar ceramah-ceramah ulama muda ini. Masih stereotaip (hujahnya). Daripada ucapannya, kita tahu sudut bacaannya, kefahamannya," kata Naib Presiden PAS Mohamad Sabu kepada Malaysiakini.

mohamad sabu 040908 03"Masih mengecewakan saya," jelasnya lagi, mengulas prestasi kepemimpinan ulama yang disokong beliau sejak ia diperkenalkan awal 1980-an selepas PAS terpengaruh dengan kejayaan Revolusi Islam di Iran.

Berbeza dengan generasi tua pemimpin ulama parti itu, kata penceramah popular itu, barisan muda lulusan agama dalam PAS sekarang dilatih di negara-negara Arab yang tidak demokratik sehingga menyebabkan mereka hanya bertujuan lulus peperiksaan.

"Sebab kita lihat, latar pengajian mereka di Mesir, Arab Saudi, atau Syria. Negara-negara ini terkongkong daripada sudut politiknya, pendedahannya, dengan penindasan yang berlaku di sana.

"Sekarang ini, kalau di Mesir, Syria dan negeri-negeri Arab, semuanya negeri yang diktator. Jadi, aliran pengajian mereka (bergantung) kepada buku (sahaja) untuk lulus peperiksaan.

"(Keadaan) itu yang saya rasa rimas sedikit dengan perkembangan semacam ini," kata Mohamad sewaktu ditemui di kediamannya di Shah Alam semalam.

"Berlainan dengan ulama-ulama kita di tahun 1950-an dan 1960-an. Kebanyakannya lulusan (agama) dari India.

"Jadi di sana, di universiti-universiti Aligarh, Deoband dan sebagainya, (orientasinya) lebih bersikap sains politik. (Misalnya) profesor Zulkifli Mohamad di zaman itu."

Bekas ahli parlimen Kuala Kedah itu menambah, barisan ulama di beberapa negara lain seperti Iran dan Lubnan mempunyai gabungan kepakaran ilmu-ilmu kontemporari dan ilmu agama.

"Kita harap ulama-ulama kita pun sampai ke peringkat itu. Ertinya, bukan hanya bidang fekah semata-mata tetapi boleh bercakap dalam pelbagai bidang.

Mohamad bagaimanapun tetap menyokong kepemimpinan ulama PAS dan berharap pengetahuan barisan ulama parti itu menguasai lebih banyak pengetahuan semasa dan berani mengetengahkan khazanah ilmu Islam untuk diterapkan dalam politik Malaysia.

Beliau enggan mengulas saranan ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub yang berhasrat menganjurkan seminar penilaian semula kepemimpinan ulama seperti ucapan dasarnya di muktamar dewan itu di Ipoh, bulan lalu. [LIHAT VIDEO DI SINI]


Teks penuh wawancara isu tersebut seperti berikut:

Malaysiakini: Bagaimana Tuan Haji melihat kepimpinan ulama sekarang ini dalam PAS?

Mohamad: Saya setuju kepimpinan ulama diteruskan. Ulama sendiri (bagaimanapun) perlu bersedia menimba ilmu dan berkecimpung dalam hal-hal politik, (kualiti kepimpinan ulama) mesti dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Kepimpinan ulama timbul (dalam PAS) selepas Revolusi Iran 1979. Cuma pada waktu itu, kerana (wujud konsep) kepimpinan ulama, pemeriksa kira-kira pun, di peringkat kawasan (PAS), kalau boleh mereka hendak (lantik) seorang ustaz. Itu salah kefahaman di masa itu.

Kepimpinan ulama itu (bermaksud) parti dipandu sepenuhnya oleh sebuah majlis yang dipanggil Majlis Syura. Di peringkat eksekutif, sesiapa pun boleh, asalkan bertaqwa.

Macam kita lihat presiden Iran, boleh (lantik) seorang ulama macam Akbar Hashemi Rafsanjani, Mohammad Khatami - hujjatul Islam.

Boleh juga seseorang yang latar belakangnya seorang guru, seperti Mohammad Ali Rajai atau latar belakang (aktivis pelajar) seperti sekarang ini, (presiden kini) Mahmoud Ahmadinejad.

Jadi, semua mereka ini bekerja bawah satu panduan majlis ulama (Iran).

Kepimpinan ulama, apakah ia masih berkesan atau memerlukan banyak peningkatan?

Perlu banyak peningkatan. Ulama-ulama sendiri, kalau di Iran, mereka kadang-kadang ada kelulusan doktor falsafah (PhD) dalam bidang perancangan bandar (dari luar negara). Mereka pulang, belajar di Qom (pusat pendidikan agama terulung) tujuh hingga lapan tahun.

Apabila berunding di peringkat antarabangsa, orang tengok seseorang (pemimpin Iran) ini berserban, tetapi latar belakangnya PhD dalam pelbagai bidang.

Misalnya, apabila mereka pergi ke Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) berunding tentang nuklear (kontroversi pembinaan loji antara negara itu dengan Amerika Syarikat), (kalau) kita kata (tertanya-tanya), beliau dari pondok mana?

Padahal beliau seorang (pemegang) PhD yang kemudiannya belajar (di Qom) untuk mengambil peringkat hujjatul Islam. Jadi, ulama-ulamanya sampai ke peringkat itu.

Kita berharap ulama-ulama kita pun sampai ke peringkat itu.

Ertinya, (mereka) bukan hanya (menguasai) bidang fekah semata-mata tetapi boleh bercakap dalam segala bidang. Jadi, kepimpinan ulama perlu dipertahankan tetapi perlu peningkatan.

bersih memo to suhakam 130907 mat sabuMasalah utama sekarang, ulama kita tidak akses ilmu-ilmu luar (bukan agama)?

Ya, ia perlu. Kerana kegagalan-kegagalan gerakan Islam, saya nampak, antaranya garis panduan dan dasarnya tidak kuat. Jadi, dasar itu mestilah kuat, (dan) dipegang orang yang begitu hebat.

Tetapi di peringkat eksekutif, mungkin doktor, mungkin seorang ustaz, mungkin seorang ulama, tetapi mereka yang mengetahui serba-serbi untuk mempertahankan dasar-dasar Islam.

Di muktamar Pemuda PAS, (ketuanya) Salahuddin Ayub menyebut dalam ucapan dasarnya, kepimpinan ulama perlu "penilaian semula." Jadi, sebenarnya apa masalah utama?

Macam saya sebut tadi...

Masalah akses ilmu?

Masalah akses ilmu. Apabila seseorang itu mendapat PhD dalam syariah. Bagi orang kita, orang Malaysia ini, (kelulusan) macam itu dikira tamat pengajian. Tetapi bagi orang lain, (kelulusan) itu hanya satu permulaan. Dia akan belajar lagi dan duduk di satu tempat (untuk mendalami lagi ilmu).

Sejauh mana seriusnya masalah ini (dalam PAS)?

Kita kena terus mendesaklah. Kita berharap generasi ulama muda akan memainkan lebih peranan.

Misalnya kita bercakap (soal) peradaban Barat, etika Barat, ulama berkata kita mesti arif tentang perkara-perkara ini. Sebab, kalau kita ingin melawan Barat ini, ... sedangkan etika (Islam) kita yang lebih baik tidak kita terjemahkan, ...

Tuan Haji melihat kebangkitan ulama muda ini, tokoh-tokohnya?

Masih mengecewakan saya. Misalnya saya ambil contoh sekarang. Yang menonjolkan (idea) hendak memerintah mengikut cara (khalifah Islam) Umar Abdul Aziz, (ketua menteri Pulau Pinang) Lim Guan Eng. Kenapa?

Sebab beliau tahu bagaimana (keadilan) pembahagian kekayaan antara harta kerajaan dengan harta peribadi – yang juga disebut oleh (menteri besar Selangor) Tan Sri Khalid Ibrahim.

Khazanah (ilmu) Islam ini yang ulama kita perlu tonjolkan -- pemerintahan yang baik pada masa akan datang.

Nampaknya tokoh-tokoh ulama dalam PAS, yang muda-muda ini...

Kurang menonjolkan perkara-perkara seperti ini.

Dan kurang berkualiti jika dimaksudkan dengan yang lama maksudnya?

Kalau dibandingkan dengan ulama kita, bukan soal pakaian maksudnya. Kalau kita bandingkan dengan (pemimpin Hizbullah di Lubnan) Hassan Nasrullah.

Bagaimana dengan serbannya itu beliau dapat memikat semua kumpulan – Kristian Druz, Sunni, Syiah, semua menghormatinya, pemikirannya dan kepimpinannya.

Ulama-ulama seperti ini yang saya hendak lihat muncul. Setakat ini saya...

Tidak ada? Kurang?

Hendak kata tidak ada... Itulah, paling tidak memuaskan.

Tuan Haji sebut kepimpinan ulama perlu peningkatan, tetapi Salahuddin menyebut "penilaian semula".

Itu pendapat peribadi beliau. Saya nampak begitu (seperti dijelaskan di atas).

Saya selalu mendengar ceramah-ceramah ulama muda ini. Masih stereotaip (hujahnya). Daripada ucapannya kita tahu sudut bacaannya, kefahamannya.

Antaranya Tuan Haji?

(Ketawa) Tidak boleh sebut namalah. Saya sebut secara umum. Jadi, saya nampak peningkatan itu ... (sangat kurang)

Mereka ini dapat lingkungan umur?

Bawah 40 tahun.

Mereka ini kurang (kewibawaan) berbanding ulama berumur atas 40 tahun?

Sebab kita lihat, latar pengajian mereka di Mesir, Arab Saudi, atau Syria.

Negara-negara ini terkongkong daripada sudut politiknya, pendedahannya, dengan penindasan yang berlaku di sana.

mohamad sabu 040908 02Tidak ada demokrasi, lebih teruk daripada (demokrasi) Malaysia.

Berlainan dengan ulama-ulama kita di tahun 1950-an dan 1960-an. Kebanyakannya lulusan dari India.

Jadi di sana itu, universiti-universiti Aligarh, Deoband dan sebagainya, (orientasinya) lebih bersikap sains politik.

Lepas itu mereka balik. Misalnya (pemimpin PAS) profesor Zulkifli Mohamad di zaman itu.

Tetapi sekarang ini, kalau di Mesir, Syria dan negeri-negeri Arab, semuanya negeri yang diktator. Jadi, aliran pengajian mereka (bergantung) kepada buku (sahaja) untuk lulus peperiksaan.

Itu yang saya rasa rimas sedikit dengan perkembangan semacam ini.

Istilah "penilaian semula" yang digunakan (Pemuda PAS) itu berat dan serius. Sebab, menilai semula boleh bermaksud menolak atau menerima (kepemimpinan ulama).

(Perkara) itu kena tanya Ketua Pemuda. Bagi saya, dasar itu sudah elok. Majlis Syura itu semuanya sudah elok. Cuma peningkatan perlu dibuat.

Apakah (kenyataan) ini menunjukkan Pemuda PAS tidak selesa dengan kepimpinan ulama?

Saya tidak mahu komenlah perkara itu. (Ketawa kecil) Kena tanya Salahuddin sendiri perkara itu.

Adakah kepimpinan ulama ini lebih mirip kepada pendekatan Syiah? Kalau dalam (politik) Sunni, perkara ini tidak berapa jelas.

Saya tidak nampak (isu) mazhab di situ. Sebab dunia Sunni ini, dan dunia Islam ini, kita tengok apabila kita merdeka, kembali kepada kediktatoran sebab garis panduan tidak ada. Masa revolusi itu, bagus, tetapi ia kembali kepada (pemerintahan) diktator.

Macam (bekas presiden Iraq) Saddam Hussein, sediakan anaknya (sebagai pengganti). Kemudian (bekas presiden Syria) Hafiz al-Asad, juga mewariskan (kuasa) kepada anak dia.

(Presiden Libya) Muammar Gaddafi juga sedang menyediakan anaknya (sebagai pengganti).

Dan kita balik kepada (kedikdatoran) itu. Dan kita lihat, di negara-negara orang Islam, imejnya (demokrasi) tidak ada sebab garis panduannya tidak ada.

Dalam kepimpinan ulama kita, dasar ini (demokrasi) saya pegang sungguh-sungguh. Tetapi saya kata, pengisiannya itu.

Kalau (kepemimpinan ulama) itu kita kata (pendekatan) Syiah, dalam negara Sunni, manakah modelnya yang hendak kita tonjolkan?

Maknanya (kepemimpinan ulama) merentas aliran?

Maknanya merentas aliran. Jadi, dasarnya tidak salah. Yang saya sebut ini, pengisiannya itu.