Wednesday, August 6, 2008

Persidangan penyelidikan dunia di Malaysia


BAGI memperkasakan lagi perkembangan tekonologi di negara ini, satu persidangan antarbangsa yang meliputi sesi suai padan perniagaan dan pameran teknologi SIRIM-WAITRO pada 12 hingga 14 Ogos ini.

Penganjuran persidangan itu adalah bersempena Perhimpunan Agung dan Kongres Dwi Tahunan Pertubuhan Penyelidikan Gunaan Sedunia (WAITRO) ke-19 yang dengan Malaysia selaku tuan rumah.

Sesuai dengan tema persidangan kali ini, ‘Mengaplikasikan Inovasi Teknologi ke arah Keuntungan’, persidangan tersebut merupakan platform terbaik bagi peserta menerokai konsep, strategi, model, proses dan alat inovasi teknologi untuk tujuan pengkomersialan.

Menurut Naib Presiden Bahagian Penyelidikan dan Teknologi Sirim Berhad, Dr. Zainal Abidin Mohd. Yusof persidangan tiga hari itu juga akan diisi dengan pelbagai program antaranya, pembentangan idea-idea baru dalam membiayai mekanisme dan sumber bagi merangsang pembangunan inovasi.

“Hasil penglibatan peserta dari luar negara juga diyakini membuka peluang untuk para peserta berkongsi idea dan kaedah terbaik untuk memupuk semangat keusahawanan dalam mengendalikan perniagaan berkaitan,’’ katanya.

Sementara itu, persidangan tersebut menyasarkan penglibatan serta penyertaan dari wakil-wakil syarikat swasta, ahli perniagaan, pihak universiti, badan kerajaan, entiti dan institusi penyelidikan yang terlibat dalam sistem pembangunan inovasi.

Peserta akan berpeluang untuk berinteraksi dengan menyertai sendiri pameran dan program khas yang diwujudkan iaitu sesi suai padan perniagaan.

Penganjuran pameran tersebut disasarkan bagi penyelidik tempatan, antarabangsa serta penggiat industri untuk mempamerkan produk, perkhidmatan mahupun teknologi mereka berteraskan tema penganjuran.

Ini merupakan peluang keemasan bagi peserta untuk melebarkan teknologi serta mempromosi produk masing-masing kepada hadirin serta delegasi antarabangsa yang hadir ke persidangan ini.

Ia juga merupakan platform yang terbaik bagi mencipta kesedaran pasaran dan penyelidikan dalam pembangunan pencarian produk mahupun teknologi terbaru bagi dimanfaat bersama.

Lebih menarik, menerusi penyertaan persidangan dan pameran tersebut, para peserta berpeluang untuk mengikuti sesi suai padan perniagaan.

Menerusi program khas tersebut, dijangkakan peserta berpeluang untuk membina serta mewujudkan hubungan rangkaian antara penggiat serta pencipta teknologi dari seluruh dunia.

Ia yang bertindak sebagai platform pelebaran teknologi berteraskan perniagaan itu berupaya untuk membantu para peserta bagi mengenal pasti syarikat mahupun rakan kongsi yang berpotensi untuk menjana keuntungan menerusi perluasan teknologi.

Secara tidak langsung, rangkaian perniagaan dapat diperluaskan sehingga ke peringkat antarabangsa sekali gus memperkasakan individu ,organisasi dan juga industri perkembangan teknologi negara.

Bagi yang berminat untuk menyertai persidangan tersebut, maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari laman web www.sirim-waitro2008.com.

IPTA/IPTS disaran giatkan program kajian


KUALA LUMPUR 1 Ogos - Semua Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/S) di negara ini disaran menggiatkan usaha program kajian bagi melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam sektor penyelidikan negara.

Presiden Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Tan Sri Datuk Dr. Abu Bakar Suleiman berkata, saranan itu perlu disahut setiap IPTA dan IPTS di seluruh negara terutama dalam bidang perubatan dan kesihatan memandangkan negara kini masih kekurangan tenaga mahir dalam sektor terbabit.

''Berbanding di negara luar seperti Jepun dan Singapura, Malaysia hanya mempunyai seramai 17,790 ahli kajian setakat tahun 2002.

''Daripada jumlah tersebut, setakat ini, hanya 11,000 ahli kajian yang menjalankan kajian sepenuh masa, sedangkan ahli kajian di negara luar kian bertambah dari tahun ke tahun,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Ucaptama Seminar 'Celebration Of Research', Strengthening Linkage In Research' di IMU, Kampus Bukit Jalil, di sini hari ini.

Menurut beliau, walaupun kerajaan memberi sokongan penuh termasuk menyediakan peruntukan, namun ia belum dapat menjamin kualiti sesebuah kajian yang dijalankan berikutan kekurangan tenaga mahir dalam bidang penyelidikan perubatan.

''Jika ada peruntukan pun, tetapi negara masih kurang tenaga mahir, sudah tentu hasil kajian juga tidak sampai kepada tahap yang memuaskan, tidak kira apa jua kajian yang dibuat.

''Hal ini perlu ditangani segera kerana saya percaya ia dilihat boleh membantutkan kepentingan kemajuan negara,'' katanya.

Sementara itu, Abu Bakar berkata, selain mengembangkan jalinan usaha sama dengan universiti luar negara, universiti tempatan juga disaran untuk meningkatkan kualiti akademik pelajar-pelajar menerusi bahan pengajaran dan kaedah pembelajaran.

Selain itu, katanya, tenaga pengajar di setiap IPTA juga harus terdiri daripada mereka yang memiliki kelayakan dalam bidang penyelidikan hingga peringkat doktor falsafah bagi membantu usaha tersebut.

Terdahulu, seramai 80 pelajar perubatan IMU hadir pada seminar sehari tersebut.

Antara panel jemputan yang hadir adalah Pengarah Institut Penyelidikan Sistem Kesihatan, Dr. Maimunah Abdul Hamid, Pengarah Pembangunan Produk Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr. Kalanithi Naseretnam dan Pengarah Bioteknologi Kebangsaan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovatif, Prof. Datuk Dr. Mohammed Noor Embi.

Doktor falsafah pertama UTeM tahun ini


MELAKA 6 Ogos - Konvokesyen Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang diadakan pada Sabtu dan Ahad ini bakal mencipta sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya menganugerahkan ijazah Doktor Falsafah (Ph.D).

Naib Canselornya, Profesor Dr. Ahmad Yusoff Hassan berkata, sejak ditubuhkan tujuh tahun lalu, inilah kali pertama seorang pelajar lulus di peringkat Ph.D dalam bidang kejuruteraan.

Menurut beliau, graduan Kejuruteraan Pembuatan itu, Hasbullah Ashari mengambil masa selama empat tahun untuk mencapai kejayaan tersebut.

''Walaupun baru seorang sahaja graduan mendapat Ph.D pada konvokesyen kali ini, namun ini merupakan salah satu landasan untuk UTeM terus berkembang dan mengikuti jejak universiti lain yang lebih dewasa," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, konvokesyen tersebut akan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob yang juga Canselor universiti itu di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.

''Pada konvokesyen UTeM kali ini, kami akan menganugerahkan 1,442 penerima bagi semua peringkat termasuk ijazah sarjana, diploma dan sijil daripada 14 fakulti," katanya.

Katanya, jumlah penerima pada konvokesyen kali ini juga meningkat berbanding majlis yang sama tahun lalu iaitu seramai 1,3465 orang.

Kata Ahmad Yusoff, daripada 1,442 graduan yang mendapat anugerah masing-masing, seramai 218 pelajar menerima anugerah diploma, 1,196 (sarjana muda), 27 (sarjana) manakala seorang graduan mendapat Ph.D.

Ujarnya, Fakulti Kejuruteraan Pembuatan seramai 318 pelajar, Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (315 pelajar), Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (287 pelajar), Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (263 pelajar), Fakulti Kejuruteraan Elektrik (235 pelajar) dan seramai 24 graduan dari Institut Pengurusan Teknologi dan Keusahawanan.

Kata beliau, sempena konvokesyen kali ini juga, dua graduan akan menerima Anugerah Pelajaran Diraja, dua graduan Hadiah Canselor, sembilan graduan untuk Hadiah Industri manakala 22 graduan lagi mendapat Hadiah Naib Canselor.

Sementara itu, beliau turut mempelawa orang ramai agar berkunjung ke tapak penganjuran Pesta Konvokesyen UTeM yang bermula pada 8 Ogos di kawasan tempat letak kereta di hadapan bangunan Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka di MITC.

Katanya, program anjuran Majlis Perwakilan Pelajar dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UTeM itu menyasarkan kunjungan kira-kira 10,000 orang bagi memeriahkan sambutan.

Pelbagai acara disediakan sempena program itu antaranya forum perdana bertajuk Cintakan Dunia, Takutkan Mati, senamrobik, pertandingan bercerita dan nyanyian kanak- kanak, Sepetang Bersama Raihan dan Konsert Bersama Fly FM.

Graduan wanita atasi lelaki


KUALA LUMPUR 6 Ogos – Bilangan graduan wanita yang mencapai gred nilai kumulatif cemerlang (CGPA) jauh mengatasi graduan lelaki pada majlis konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-36 tahun ini.

Ketua Pejabat Perhubungan Awam dan Korporat UKM, Padlon Yahya berkata, pada konvokesyen kali ini, daripada 139 orang yang mencapai CGPA 3.70 ke atas, 105 orang atau 75 peratus adalah graduan wanita berbanding 34 orang graduan lelaki.

‘‘Pada tahun ini juga, UKM menghasilkan enam orang pakar ortodontik, iaitu pakar dalam bidang pemasangan pendakap gigi,’’ katanya.

Sekolah King Edward saksi pelbagai sejarah negara





JIKA wajah bangsa Malaysia sebenar ingin dijejak susur galurnya, barangkali ia akan turut berpenghujung di Sekolah King Edward VII (SKE VII), Taiping, Perak.

Sekolah yang kini berusia 125 tahun itu menyimpan sejarah keharmonian dan perpaduan kaum utama di negara ini iaitu Melayu, Cina dan India seawal penubuhannya pada Julai 1883.

Merupakan sekolah pertama dalam Negeri-Negeri Selat, sekolah ini pada awal penubuhannya dikenali sebagai Sekolah Pusat (Central School) dengan 13 orang pelajar sebelum bertambah kepada 55 orang setahun kemudiannya.

Pada 1905, ketika bangunan sekolah itu dipindahkan ke tapak seperti hari ini ekoran pertambahan bilangan pelajar, guru besarnya iaitu Roger Francis Stainer mencadangkan namanya ditukar kepada King Edward, iaitu Raja British yang menggantikan Queen Victoria yang meninggal pada 1901.

Penukaran nama itu sendiri mencatatkan satu sejarah kerana adalah sesuatu yang luar biasa bagi seorang raja British memberikan keizinan untuk namanya digunakan sebagai gelaran sekolah.

Namun bagi Sekolah Pusat, ia mendapat perkenan King Edward VII kerana British ketika itu mahu menjadikan sekolah tersebut sebagai model kepada pendidikan di negara-negara Komanwel.

Lalu, lahirlah Sekolah King Edward VII, iaitu sekolah pertama di Tanah Melayu yang dinamakan sempena nama raja British dan dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Idris Mersid Al-Azam Shah Iskandar Shah pada 19 Januari 1906.

Identiti utama sekolah itu iaitu pintu gerbang unik yang menjadi lambang prestij dibina pada 1908, manakala pokok besar yang masih gagah berdiri di hadapan sekolah itu sehingga kini pula merupakan landskap asal sekolah berkenaan yang ditanam pada 1910.

Menyusuri akar sejarahnya yang panjang, sekolah itu juga akan menemukan catatan peristiwa yang sukar untuk dilupakan termasuk dijadikan ibu pejabat polis rahsia tentera Jepun, Malayan Kempeitai. Pada zaman itu juga, bangunan asal sekolah itu telah dijadikan pusat penyeksaan tahanan tentera.

Sekolah itu bagaimanapun dibuka semula pada 1 Oktober 1945 tetapi beroperasi di bangunan sementara di Institusi St. George dengan seramai 660 pelajar yang sebahagian besar daripadanya merupakan bekas tentera dan sukarelawan yang terselamat ketika berjuang menentang Jepun.

Namun di sebalik catatan suka dan duka sepanjang 125 tahun lalu, SKE VII bagaimanapun kekal bertahan sehingga kini dengan tradisi dan budaya asal yang masih lagi subur seiring dengan perubahan zaman.

Antara yang menjadi kebanggaan sekolah itu dan juga negara pastinya prestij produk yang dihasilkannya iaitu pelajar yang berkualiti yang menyumbang kepada pembangunan negara dalam pelbagai lapangan bidang di kemudian hari.

Antara tokoh-tokoh terkemuka yang lahir daripada corak pendidikan SKE VII yang menekankan pendidikan bercorakkan disiplin dan pembinaan karakter serta personaliti cemerlang itu termasuk Presiden pertama Singapura, Yusuf Ishak dan Menteri Besar pertama Perak, Tan Sri Ghazali Jawi.

Tokoh lain termasuk, Ketua Angkatan Tentera, Jeneral (B) Tan Sri Mohamed Ghazali Che Mat; bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Abdullah Ayub; bekas Menteri Perdagangan, Tan Sri Dr. Lim Swee Aun; Pengerusi Media Prima, Datuk Abdul Mutalib Mohamed Razak dan Pengerusi Pendidikan Albukhary, Datuk Seri Dr. Abdul Shukor Abdullah.

Malah, sekolah berkenaan juga terkenal di kalangan kerabat diraja apabila menerima pelajar berdarah bangsawan termasuk Sultan Perak, Almarhum Sultan Iskandar Shah dan Almarhum Sultan Abdul Aziz serta Raja Di Hilir Perak, Almarhum Raja Kamarulzaman Raja Mansor.

Mengimbau kenangan ketika menuntut di sekolah berkenaan pada tahun 1957 hingga 1962, Abdul Shukor berkata, sesi pengajian tersebut tahun itu adalah tempoh penuh bersejarah bagi SKE VII apabila menjadi tahun terakhir diketuai seorang guru besar dari British.

Pada 1963 SKE VII mula menerima guru besar rakyat tempatan iaitu Bion Dury.

‘‘Banyak perubahan selepas peralihan guru besar British kepada rakyat tempatan terutamanya dari segi budaya, semangat dan tradisi sekolah. Bukanlah mahu mengagungkan British, tetapi jika konsep pendidikan pada era itu terbukti mampu melahirkan anak bangsa kebanggaan negara, mengapa ia tidak dipertahankan?” katanya.

Perbezaan yang cuba disampaikan oleh Abdul Shukor itu sebenarnya menjurus kepada konsep dan pendekatan pendidikan pelajar terdahulu yang sangat berbeza dengan generasi hari ini.

Lebih menekankan kepada pembinaan jati diri, personaliti dan karakter yang cemerlang, pelajar dahulu tampil lebih berkarisma dan penuh keyakinan berbanding generasi pelajar moden yang lebih mementingkan pencapaian akademik semata-mata.

‘‘Pembinaan personaliti unggul itu pula dipupuk menerusi penglibatan dalam aktiviti sukan seperti bola sepak, ragbi dan kriket serta aktiviti berpersatuan seperti pengakap yang jelas mementingkan aspek disiplin yang tinggi,” katanya.

Barangkali kerana penekanan terhadap aktiviti sukan itu juga, SKE VII turut terkenal dalam melahirkan jaguh sukan negara dalam pelbagai lapangan bidang seperti Ahmad Nazri, M. Dattaya, Junaidah Aman, M. Karathu dan ramai lagi.

Malah, SKE VII juga mempunyai kaitan yang sangat penting dengan sukan ragbi apabila menjadi sekolah pertama yang memperkenalkan sukan itu di Tanah Melayu dan pernah menjadi jaguh yang tidak pernah kalah sepanjang 28 tahun sebelum rekod itu dileburkan pada 1957.

Generasi SKE VII selepas merdeka pula meneruskan legasi penguasaan sekolah itu dalam sukan berkenaan apabila masih lagi menjadi pasukan yang digeruni apabila menjuarai pelbagai kejohanan sukan dalam dan luar negara termasuk buat pertama kali muncul sebagai pemenang tempat ketiga Kejohanan Ragbi Sekolah Lelaki Asia.

Terlepas sambutan 100 tahun yang sepatutnya diraikan pada 1983, ulang tahun ke-125 SKE VII yang disambut tahun ini tidak dibiarkan berlalu begitu sahaja oleh pelajar-pelajar sekolah itu dan semestinya bekas pelajarnya.

Abdul Shukor yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola sambutan perayaan itu menjelaskan, pelbagai aktiviti akan diadakan dalam memeriahkan sambutan ulang tahun itu yang perasmiannya telah pun disempurnakan oleh Datuk Seri Dr. Ling Liong Sik pada bulan lalu.

Ia termasuk perlawanan ragbi merebut piala Yeoh Teng Khoo dan piala Lim Swee Chin, acara sukan sekolah, pertandingan golf tahunan, jamuan perayaan 125 tahun dan banyak lagi.

Sambutan juga akan diserikan dengan majlis makan malam khas pada 19 Oktober yang dijangka dihadiri Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Raja Muda Perak, Dr. Raja Nazrin Shah.

Pada majlis yang sama, sebuah buku istimewa yang menyimpan sejarah 100 tahun KSE VII iaitu ‘Buku Edisi Mewah’ akan dilancarkan.

Bertindak sebagai Pengerusi Jawatankuasa penerbitan, Abdul Mutalib berkata, buku itu memuatkan sejarah, tradisi dan budaya sekolah berkenaan sepanjang 100 tahun lalu yang dirakamkan menerusi artikel-artikel dan gambar kenangan.

Bagaimanapun kemuncak kepada sambutan ulang tahun akan berlangsung pada 31 Julai ini membabitkan perarakan pelajar dan alumni sekitar bandar Taiping dengan diiringi dua ekor anak harimau dari Zoo Taiping.

Anak harimau itu merupakan simbolik kepada lambang sekolah berkenaan yang turut terkenal dengan slogan bahasa latin iaitu ‘Magni Nominis Umbra’ yang bermaksud ‘di bawah bayangan nama agung’.

Atasi 'diskriminasi' guru lulusan IPTA


SERDANG 29 Julai - Kerajaan akan berusaha mengatasi masalah 'diskriminasi' yang dialami guru lepasan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang dibebankan dengan pelbagai syarat ketat sebelum dibenarkan mengajar di sekolah.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, antara syarat itu ialah mesti lulus dengan purata gred kumulatif (CGPA) minimum 2.75 sebelum layak mengambil ujian dan ditemuduga untuk jawatan guru.

"Syarat ini yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran perlu dikaji semula memandangkan guru-guru lepasan Institut Pendidikan Guru (IPG) tidak perlu mematuhinya sebaliknya terus di tempatkan di sekolah.

"Perkara ini seolah-olah menafikan pendidikan dan latihan yang diberikan pensyarah di IPTA dan mengurangkan minat graduan untuk menjadi guru," katanya dalam ucapan perasmian Program Sekolah Kluster-Universiti dan Seminar Permuafakatan Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran Tahun 2008 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalannya, Datuk Idris Haron.

IPG kini melatih guru untuk peringkat prasekolah dan sekolah rendah manakala IPTA memberikan fokus untuk melahirkan tenaga pengajar di sekolah menengah, kolej matrikulasi, kolej komuniti dan politeknik.

KualitiMohamed Khaled yang berharap masalah itu diselesaikan menerusi seminar permuafakatan itu berkata, isu lain yang perlu diatasi ialah berkaitan sebilangan kecil pelajar perguruan di IPTA yang mendapat pembiayaan Kementerian Pelajaran berbanding pelajar di IPG yang semuanya diberikan pembiayaan.

"Kualiti pelajar yang memohon program perguruan juga perlu dilihat semula oleh kedua-dua kementerian kerana berlaku ketidakseragaman syarat asas kemasukan.

"Syarat kemasukan di IPG ialah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) manakala ke IPTA pula Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau matrikulasi," jelasnya.

Sementara itu, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam ucapan yang dibacakan oleh Timbalannya, Dr. Wee Ka Siong berkata, sebanyak 60 sekolah kluster akan dijadikan sekolah angkat kepada IPTA menerusi Program Sekolah Kluster-Universiti.

Beliau berkata, langkah itu akan membolehkan IPTA berperanan sebagai mentor kepada pihak sekolah yang akan dibenarkan menggunakan kemudahan di universiti bagi melakukan penyelidikan dan pengkomersialan ciptaan baru.

"Sekolah angkat ini akan berpeluang menggunakan perpustakaan dan juga terlibat dalam program akademik dan kemasyarakatan anjuran IPTA.

"Sekolah juga akan dapat menggunakan gimnasium, kolam renang dan mendapatkan nasihat pakar pemakanan dan pensyarah sukan yang berkelayakan tinggi di universiti," jelasnya.

Kementerian Pelajaran tubuh tiga bahagian baru


PUTRAJAYA 1 Ogos - Kementerian Pelajaran menubuhkan tiga bahagian baru bagi memperkasakan sistem pendidikan negara di bawah penstrukturan semula kementerian itu yang bermula sejak Mac lalu.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (gambar) berkata, tiga bahagian baru tersebut adalah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kluster, Bahagian Psikologi dan Kaunseling dan Unit Pengurusan Sumber Manusia.

''Di samping itu, sektor pendidikan juga dibahagikan kepada tiga teras utama iaitu Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan, Sektor Operasi Pendidikan dan Sektor Pembangunan Profesionalisme.

''Menerusi penstrukturan semula itu, sebanyak 17 jawatan guru dan pegawai telah dinaikkan gred," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2007 dan Perhimpunan Bulan Ogos di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong.

Seramai 354 pegawai dan guru menerima APC 2007.

Kali terakhir proses penstrukturan semula kementerian dilakukan pada 1995.

Hishammuddin memberitahu, bagi memastikan sistem penyampaian pendidikan dapat disalurkan dengan lebih berkesan, pemantapan organisasi turut dilaksanakan di peringkat pejabat pelajaran daerah (PPD).

''Keputusan kerajaan untuk meluluskan penubuhan lapan PPD baru telah mewujudkan 92 jawatan baru dan daripada jumlah tersebut, 52 jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP).

''Selain itu, 20 jawatan Pegawai Pelajaran Daerah Model A yang melibatkan negeri Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Pulau Pinang, Selangor, Terengganu dan Kuala Lumpur, telah dinaikkan gred," katanya.