Saturday, March 28, 2009

Kerajaan diminta pantau pelajar di Mesir Mesir


PENGHANTARAN pelajar ke Mesir perlu dilaksanakan secara berpusat di bawah pengendalian Kementerian Pengajian Tinggi bagi memastikan pelajar dapat dipantau bagi mengelak mereka mudah terpengaruh dengan dakyah persatuan yang dikuasai pembangkang.


Wakil Kelab Umno Luar Negara, Wan Md Hazlin Agyl Wan Hassan mendakwa persatuan pelajar di Mesir, Persekutuan Melayu Republik Arab di Mesir (Pemeram) kini mengancam minda dan fikiran pelajar supaya menentang kerajaan.

“Pihak Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) di sana tidak lagi mampu memantau pembabitan pelajar dalam gerakan ejen pembangkang ini. Malah, pegawai dan pelajar kita di Mesir juga takut dan tertekan dengan Pemeram akibat tindakan mereka yang antaranya menyekat pelajar daripada tinggal di asrama kerajaan yang dikuasai mereka.


“Ini bukan isu baru tetapi sudah lama disuarakan,” katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar Presiden semalam.

Wan Md Hazlin juga mencadangkan supaya kerajaan mengharamkan persatuan itu sebagai badan bukan kerajaan (NGO) di Mesir.

“Rundingan perlu segera diadakan bagi menyedarkan pelajar terbabit. Biasiswa dan tajaan pelajar yang menyertai Pemeram juga perlu ditarik balik,” katanya.

Sementara itu, bagi mengembalikan kepercayaan generasi muda terhadap Umno, katanya, barisan kepemimpinan baru disaran tidak mengenepikan peranan dan sumbangan idea serta komitmen pelajar sekembalinya mereka daripada tamat pengajian di luar negara.

“Kami juga sentiasa pentingkan aspek agama untuk memastikan jati diri terpelihara. Justeru, rakan kami di Jordan, Syria, Mesir dan Pakistan memohon supaya mereka ditempatkan di barisan depan pembentukan sahsiah terpuji,” katanya.

“Kami yakin usaha mengembalikan kepercayaan anak muda kepada Umno dapat dijayakan dengan ilmu yang ada dan pengalaman berdepan dengan ideologi remaja yang agresif,” katanya.

Friday, March 13, 2009

10 1A hadiah untuk ibu


ALOR SETAR 12 Mac - ''Kejayaan ini untuk ibu yang banyak berkorban demi kami sekeluarga.''

Itu luahan perasaan Nurul Aini Md. Isa, 18, yang berjaya memperoleh 10 A1 dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008.

Nurul Aini yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Asma di sini menganggap kejayaan yang diperoleh adalah berkat doa ibunya, Mizah Hashim, 50.

"Ibu saya hanya pulang setahun sekali ke tanah air kerana bertugas sebagai jururawat di Arab Saudi.

"Malam ini dia akan kembali ke sana dan keputusan peperiksaan ini sekurang-kurangnya dapat membuatkan mama tersenyum untuk kembali bertugas di sana," ujarnya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut pelajar cemerlang itu, pengorbanan ibunya yang sanggup bertugas di luar negara demi menambah pendapatan keluarga membuatkan dia berazam untuk mendapat keputusan cemerlang dalam SPM.

"Ayah saya bekerja sebagai pemandu teksi dan sepanjang ketiadaan ibu, ayah yang membantu menguruskan keluarga kami.

"Jerih mereka untuk memastikan saya mendapat pendidikan sempurna amat dihargai," ujarnya.

Jelas Nurul Aini, dia berhasrat untuk meneruskan pengajian dalam bidang perubatan dan mahu bekerja sebumbung dengan ibunya.

Pelajar pekak dapat 12 A


PUTRAJAYA 12 Mac - Seorang pelajar pekak, N. Aghilan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Bukit, Kajang, Selangor muncul pelajar cemerlang apabila mendapat keputusan 12 A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008.

Seorang pelajar rabun, Muhammad Shafiq Shahdon dari Sekolah Menengah Sains Johor, Kluang pula berjaya mendapat 1A bagi semua sembilan mata pelajaran yang diambilnya.

Seramai 435 calon berkeperluan khas pelbagai kecacatan menduduki peperiksaan SPM 2008 dengan seramai 208 calon atau 47.8 peratus berjaya mendapat sijil SPM berbanding 189 calon pada 2007.

Demikian diumumkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

562 cemerlang STAM '08


PUTRAJAYA 12 Mac - Seramai 3,098 orang daripada keseluruhan 4,687 calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2008 memperoleh sekurang-kurang gred Maqbul (lulus) dalam setiap mata pelajaran.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, daripada jumlah itu, seramai 562 calon memperoleh gred Mumtaz (cemerlang) iaitu 12 peratus, manakala gred Jayyid Jiddan (kepujian) sebanyak 17.3 peratus dan Jayyid (baik), 21.2 peratus.

Beliau berkata, pencapaian kali ini menunjukkan sedikit penurunan berbanding 2007 apabila mencatatkan jumlah calon yang lulus sebanyak 3,098 orang atau 66.1 peratus, manakala calon memperoleh gred Rasib (gagal) meningkat kepada 33.8 peratus.

''Prestasi setiap mata pelajaran pada peringkat Mumtaz juga tinggi iaitu antara 6.2 peratus membabitkan subjek Insya dan Mutalaah hingga 22.6 peratus iaitu Hafzil Quran dan Tajwid.

''Majoriti calon mendapat pangkat Jayyid iaitu dengan peratusan antara 24 peratus membabitkan subjek Arudh dan Qafiah hingga 41.5 peratus iaitu Fikah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengumumkan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan STAM 2008 di sini hari ini.

Sebanyak 10 subjek ditawarkan kepada calon STAM iaitu bidang bahasa membabitkan Nahu dan Sarf, Insya dan Mutalaah, Adab dan Nusus, Arudh dan Qafiah serta Balaghah.

Bidang syariah pula melibatkan subjek Fikah, Hadis dan Mustalah Hadis, manakala bidang usuluddin membabitkan Hafzil Quran, Tajwid, Tafsir dan Ulum Tafsir, Tauhid dan Mantiq.

STAM adalah bagi melayakkan pelajar agama negara ini melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar atau ke universiti-universiti di negara Asia Barat dengan syarat sekurang-kurangnya mendapat gred Maqbul bagi setiap mata pelajaran.

Alimuddin berkata, kerajaan bercadang untuk menaik taraf kedudukan STAM selaras dengan standard Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

''Ini bagi membolehkan semua calon sijil agama itu layak memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tempatan pada masa depan selain berpeluang ke Al-Azhar," katanya.

MRSM kekalkan pencapaian cemerlang


KUALA LUMPUR 13 Mac – Seramai 277 daripada 7,603 calon Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di seluruh negara yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 berjaya mendapat gred 1A dalam semua subjek yang diambil.

Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Nam Marthinin berkata, pencapaian itu menunjukkan keputusan yang lebih baik berbanding 150 orang pada tahun sebelumnya iaitu penambahan sebanyak 1.43 peratus.

Menurutnya, secara keseluruhan MRSM masih mengekalkan kecemerlangannya dalam peperiksaan tersebut.

‘‘Seramai 1,079 pelajar atau 14.19 peratus mendapat A iaitu sama ada 1A atau 2A bagi semua subjek dan menunjukkan peningkatan berbanding 979 orang pada tahun 2007.

‘‘Sebanyak 12 subjek mencatatkan peningkatan dalam pencapaian Gred Purata Subjek (GPS) dan beberapa buah MRSM memperolehi 100 peratus pencapaian dalam gred A,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, lima daripada 34 buah MRSM telah berjaya mendapat Gred Purata Maktab (GPM) kurang daripada 2.0.

‘‘Jumlah keseluruhan GPM yang berjaya dicapai MRSM ialah 2.2343 berbanding dengan 2.1578 pada tahun 2007 dengan peningkatan sebanyak 0.0765.

‘‘MRSM Langkawi mencatatkan GPM yang terbaik iaitu 1.4041 diikuti MRSM Taiping (1.5391), MRSM Pengkalan Chepa (1.5439), MRSM Tun Ghafar Baba (1.6865) dan MRSM Alor Gajah (1.9326),’’ katanya.

Selain itu, katanya, sebanyak 26 buah MRSM lain mencapai sasaran yang telah ditetapkan iaitu mendapat GPM di bawah 2.50 sekali gus menyamai pencapaian tahun 2007.

41,000 berpeluang ke IPTA


SEREMBAN 13 Mac - Sebanyak 41,000 tempat ditawarkan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau kelayakan setaraf yang ingin melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) negara ini.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dr. Hou Kok Chung berkata, jumlah berkenaan meliputi peluang pelajar yang berkelayakan untuk melanjutkan pelajaran dalam pelbagai jurusan di 20 buah IPTA di seluruh negara.

''Bagaimanapun, bilangan tersebut tidak termasuk tempat yang ditawarkan di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang merangkumi 41 universiti kolej dan 433 kolej di sekitar negara ini.

''Di samping itu, IPTS yang tidak mempunyai had pengambilan pelajar diyakini mampu menampung keperluan pengajian bagi pelajar lepasan SPM atau STPM di negara ini untuk melanjutkan pelajaran mereka,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum perjanjian antara Thompson Rivers University dan Legenda Education Group di sini hari ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya tentang kelayakan calon yang layak untuk merebut tempat di IPTA, beliau memberitahu, calon-calon bukan sahaja akan dinilai dari segi kecemerlangan akademik, malah dari aspek penyertaan kokurikulum.

''Kita mengambil kira 90 peratus dari segi akademik dan 10 peratus bagi keaktifan calon yang menyertai kegiatan kokurikulum semasa di sekolah.

''Oleh itu, saya ingin menyarankan lepasan yang memohon agar berhati-hati semasa memilih bidang kerana dikhuatiri permohonan tidak berjaya atau tidak dapat melanjutkan dalam jurusan pilihan utama yang diingini calon disebabkan tidak aktif dalam kegiatan kokurikulum." jelas beliau.

Dalam perkembangan lain, Kok Chung berkata, kementerian banyak menerima aduan berhubung agensi di luar negara mengenakan bayaran yang tinggi bagi pemeriksaan kesihatan sebelum melanjutkan pelajaran di negara ini.

''Sejak kebelakangan ini, saya menerima banyak laporan daripada pelajar asing yang terpaksa membayar dua hingga tiga kali ganda jumlah bayaran pemeriksaan kesihatan di luar negara berbanding di negara ini.

''Ini secara tidak langsung akan menjejaskan tarikan para pelajar asing untuk melanjutkan pelajaran di Malaysia," ujar beliau.

Katanya, kerjasama dari IPTS amat diperlukan bagi memaklumkan kepada agensi yang dilantik di luar negara bahawa pelajar asing dibenarkan untuk menjalankan pemeriksaan tersebut sebaik tiba di Malaysia.

''Undang-undang negara telah memperuntukkan bahawa pelajar asing boleh menjalankan pemeriksaan kesihatan di negara ini dalam tempoh 30 hari selepas mereka tiba di negara ini," jelas Kok Chung.

Resipi kejayaan Madihah dapat 20A


KETIKA keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan semalam seorang pelajar, Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal, 18, membuat kejutan apabila mencatat keputusan cemerlang 19 A1 dan satu A2.

Kejayaan pelajar dari Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan), Kota Bharu, Kelantan ini agak istimewa kerana dia adalah anak seorang nelayan yang hidup dalam keadaan serba kekurangan berbanding pelajar cemerlang SPM sebelum ini yang datang dari keluarga yang agak senang.

Wartawan Utusan Malaysia, AZRAN FITRI RAHIM dan jurugambar, HAFIZ JOHARI menemui Nik Nur Madihah di rumah keluarganya di Kampung Parang Puting, Pengkalan Chepa, Kota Bharu untuk mengetahui rahsia kejayaannya.

Dia yang pernah menjadi antara pelajar terbaik peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) peringkat kebangsaan 2006 itu bertukar menjadi selebriti sekelip mata kerana kecemerlangannya itu.

Malah wartawan yang berpusu-pusu untuk menemu bualnya terpaksa menunggu giliran untuk memasuki rumah yang disewa bapanya dengan harga RM90 sebulan kerana ia terlalu sempit dan agak uzur.

Rumah kecil itu menjadi gambaran kehidupan sukar mereka sekeluarga malah bilik kecil yang dilindungi almari di ruang tamu menjadi tempat dia berehat manakala ruang tamu yang mampu memuatkan kira-kira empat orang itu menjadi bilik belajar tetapnya pada setiap hari.

UTUSAN MALAYSIA: Bagaimana timbulnya idea untuk mengambil 20 mata pelajaran dalam peperiksaan SPM tahun lepas?

NIK NUR MADIHAH: Sebelum ini jika dilihat kebanyakan pelajar cemerlang datang dari keluarga yang senang seperti anak guru, pegawai bank, oleh itu, timbul idea saya mahu buktikan kepada masyarakat bahawa anak nelayan juga mampu mencatatkan kejayaan yang cemerlang seperti orang lain.

Jadi, saya mencabar diri sendiri supaya mencatat sejarah dengan 20A.

Apakah resipi kejayaan dan bagaimana saudari belajar sehingga mencatatkan keputusan cemerlang ini?

Keputusan ini adalah di luar jangkaan, saya sasarkan hanya 18A. Paling penting ialah banyak berusaha dan belajar secara strategik, sekiranya timbul masalah cepat bertanya kepada guru dan selebihnya bertawakal.

Strategi yang saya maksudkan ialah memberi tumpuan sepenuhnya ketika belajar kerana saya tidak mempunyai jadual belajar yang khusus seperti orang lain. Saya belajar ketika terasa mahu belajar sahaja tetapi ia berterusan.

Siapakah di sebalik kejayaan ini dan bagaimana mereka membantu untuk kejayaan ini?

Ibu bapa dan guru-guru banyak memberi dorongan, tanpa mereka saya mungkin tidak mencapai kejayaan ini.

Saya sebenarnya merahsiakan kepada ibu bapa bahawa saya mengambil 20 mata pelajaran dalam SPM sehinggalah keputusan peperiksaan percubaan keluar baru saya beritahu kedudukan sebenar dan mereka memberikan sokongan malah ayah memberi cabaran tambahan.

Saya rahsiakan sebab saya mahu membuat kejutan. Jadi keputusan ini adalah sumbangan kecil saya kepada ibu bapa yang banyak berjasa untuk membesarkan saya.

Dorongan guru-guru di Sekolah Menengah Arab Maahad Muhammadi (Perempuan) bagaimana?

Amat baik, malah guru yang menyelia saya, Mohd. Razali Konok mencadangkan supaya saya berhubung dengan bekas pelajar terbaik SPM 2006, Siti Fatimah Mukhtar, selepas itu saya sentiasa berhubung dengannya untuk mendapatkan nasihat.

Sebagai anak nelayan, bagaimana kehidupan saudari?

Kehidupan kami sekeluarga amat sukar, kadang-kadang tidak ada makanan. Oleh itu, sejak tahun enam saya mengamalkan puasa sunat pada setiap hari Isnin dan Khamis.

Secara purata saya akan membawa wang poket tidak sampai RM1 malah kadang-kadang tiada wang untuk makan di sekolah kerana wang yang diberikan oleh ayah hanya cukup untuk tambang bas ke sekolah kira-kira RM4 untuk pergi dan balik.

Di sekolah saya hanya makan roti atau bawa bekal nasi goreng. Saya menerima semua ini dengan reda kerana faham ayah tidak mempunyai pendapatan tetap secara purata sekitar RM500 - RM700 sebulan.

Bagaimana saudari belajar dengan keadaan rumah yang sempit dan kurang selesa ini?

Saya belajar di ruang tamu, Alhamdulillah tiada gangguan kerana tiga adik saya sudah besar dan dua daripadanya tinggal di asrama.

Adakah saudari merasa rendah diri berbanding rakan-rakan lain yang lebih selesa dan mewah di sekolah?

Tidak, malah saya menjadikan ia satu cabaran untuk mengubah kehidupan keluarga kami.

Kehidupan yang sukar terutama ketika musim tengkujuh atau bot ayah rosak menjadikan saya lebih insaf untuk berusaha bersungguh-sungguh. Pada ketika ayah tidak dapat ke laut, kami hanya makan nasi berlauk telur goreng.

Kenapa tidak tinggal di asrama dan adakah saudari mendapat kemudahan biasiswa?

Kalau tinggal di asrama kos lebih tinggi, lagi pun saya lebih selesa dan tenang belajar di rumah kerana tiada gangguan walaupun rumah tidak sebesar mana.

Saya tidak pernah mendapat biasiswa dari mana-mana agensi cuma sumbangan yang diberikan oleh guru-guru melalui Cikgu Razali sebanyak RM200 sebulan.

Adakah saudari mendapat tuisyen daripada pusat tuisyen di luar sekolah bagi mata pelajaran yang tidak diajar di sekolah?

Tidak, ayah tidak mampu. Saya beruntung kerana sekolah menyediakan guru lain untuk lapan mata pelajaran yang tidak diajar di sekolah, saya bersama rakan-rakan akan belajar subjek tersebut pada kelas tambahan ketika cuti hujung minggu tetapi bagi mata pelajaran sastera saya belajar sendiri dan tidak pernah mengikuti kelas secara formal.

Lapan subjek ini, Pendidikan Agama Islam, Prinsip Akaun, Perdagangan, Ekonomi, Tasawur Islam, Geografi, Sains dan Sastera saya belajar ketika tingkatan lima.

Bagaimana dalam tempoh setahun saudari mempelajari semua subjek-subjek ini?

Seperti saya jelaskan tadi, banyak berusaha dan bertanya. Idea untuk menambah lagi mata pelajaran hanya timbul ketika tingkatan lima kerana pada tingkatan empat saya terpaksa menumpukan pada 24 mata pelajaran termasuk 12 subjek agama untuk peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU).

Adakah saudari menjawab semua soalan mata pelajaran Sains dan Matematik seperti Fizik dan Kimia dalam bahasa Inggeris?

Ya, sebab lagi mudah dan ditekan oleh guru sejak awal lagi.

Apakah hobi dan cita-cita saudari?

Hobi saya ialah membaca, kalau ada masa lapang saya akan membaca terutama novel tulisan Faisal Tehrani. Saya bercita-cita untuk menjadi seorang ahli fizik, disebabkan tidak ramai orang Melayu menjadi ahli fizik.

Di mana mahu melanjutkan pelajaran?

Di luar negara tetapi tempat khusus atau universiti mana saya tidak kisah.